Perpaduan merupakan pembungaan bagi perkembangan, kemajuan, dan kemakmuran sesebuah negara. Malahan didalam Islam menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w menuntut kita agar memelihara persaudaraan dan rasa saling hormat menghormati di antara sesama Muslim. Maknanya, persatuan atau perpaduan di antara sesama Muslim amat dititikberatkan oleh Nabi s.a.w.

perpaduan Demikian juga salah satu dari semangat al-Quran adalah semangat perpaduan atau persatuan. Kerana itu jumlah ayat yang menganjurkan semangat perpaduan lebih banyak daripada ayat yang menjelaskan perihal perpecahan. al-Quran juga menghuraikankan tentang sebab perpecahan yang terjadi kerana kedengkian antara golongan sesama mereka juga kerana kecintaan manusia kepada dunia, tidak menggunakan akal sihat, dan saling tidak percaya antara mereka.

Pada ketika ini umat Islam di negara ini sedang mengalami suatu macam kekalutan yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin politik, ulama-ulama, parti pemerintah dan pembangkang. Secara fitrah ummah sebenarnya menuntut keamanan dan perpaduan, bukan persengketaan. Fitrah semulajadi manusia inginkan kehidupan yang aman damai kerana di situ letaknya kebahagiaan dan keharmonian yang diidamkan oleh semua maanusia. Justeru itulah manusia sangat inginkan kepada perpaduan. Lebih penting dari itu umat Islam inginkan amalan yang sebenar bukan berbaur dengan kepentingan politik, perbadi atau sebagainya.

Memang tidak dinafikan, untuk berpendapat dan berfikiran sama tidak mungkin tetapi untuk bersatu pasti tiada halangan asalkan semua pihak bersikap jujur pada diri sendiri dan menghormati orang lain. Nabi Muhammad s.a.w telah membuktikan hakikat tersebut di dalam setiap tingkah laku, khususnya dalam hubungan sesama manusia.

Sikap jujur, toleransi, dan menghormati orang lain merupakan sikap yang berupaya membawa kepada kejernihan hubungan, sekali gus memantapkan penyatuan ummah bagi menangani segala macam bentuk permasalahan yang datangnya sama ada daripada kalangan ummah itu sendiri mahupun dari dunia luar.

Kepentingan kesatuan atau perpaduan ummah itu dapat diselaraskan dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (sebelum Islam) bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati kamu. Maka menjadilah kamu kerana nikmat-Nya bersaudara, padahal dahulu kamu sudah berada di tepi jurang neraka, tetapi Dia menyelamatkan kamu daripadanya.” (Ali-Imran: 103)

ukhuwah1 Nikmat yang dimaksudkan menerusi ayat tersebut ialah Islam - di mana yang menyebut Islam itu sebagai nikmat (yang membuat manusia bersaudara) bukan ahli tafsir atau ulama mana-mana pun, tetapi Allah s.w.t sendiri.

Tidak ada yang dapat menyatukan perbezaan di antara selain Islam dan tidak ada yang mampu menciptakan persaudaraan, juga selain Islam. Ingatlah, bahawa Islam bukan hanya sekadar milik umat tertentu sahaja.

Justeru itu, tiada alasan bagi sesama umat Islam untuk berpecah belah kerana al-Quran mengajar kita agar jangan terlalu cepat menghukum orang lain yang mungkin kebetulan berbeza dari segi fahaman. Kita seharusnya membetulkan fahaman yang salah atau meragukan itu dengan penuh hikmah dalam suasana persaudaraan. Itulah yang diajarkan atau disarankan oleh al-Quran.

Sikap tidak mahu bertolak ansur dengan mengatakan diri sendiri yang benar belaka sedangkan orang lain tidak betul ,sesat dan kafir merupakan antara sifat yang akan melonggarkan ukhuwah sesama ummah. Inilah yang disebut di dalam al-Quran sebagai tanda-tanda musyrik kerana ‘memutlakkan’ pendapatnya sendiri dan tidak menghiraukan pendapat orang lain.

Justeru kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha melakukan kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta kedamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan. Sehubungan ini Allah s.w.t menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhbubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal: 1)

Amatlah rugi apabila seseorang yang telah dianugerah Islam sentiasa berada di jalan perpecahan dan perbalahan.