Ceria dan indah cuaca bumi Dumyat hari ini betul-betul menyenangkan hati saya, sehinggakan, perjalanan saya menuju ke masjid untuk solat asar sebentar tadi diiringi dengan senyuman yang memanjang..

Terdetik rasa syukur yang amat sangat..

Setelah selesai beberapa minit menunaikan solat sunat tahiyatul masjid, iqamah pun dikumandangkan oleh seorang remaja arab.. tiba-tiba senyuman saya melerek apabila melihat kejadian tolok menolak antara satu sama lain dikalangan jemaah masjid untuk menjadi imam.. sebenarnya, ini adalah pertama kali saya melihat kejadian tersebut berlaku di Mesir ini.. kebiasaannya bukanlah begitu, imam tersangat mudah dicari dan mudah didapati.. bahkan, telah menjadi adat orang mesir, "siapa qamat dialah imam"..

Kejadian tolak menolak ini juga selalu berlaku di Malaysia, bumi penuh kehijauan … oleh itu, saya merasakan sedikit sentuhan untuk berkongsi tentang solat jemaah dan hal pemilihan imam.

Solat Jemaah

Mungkin ramai dikalangan kita masih belum mengetahui bahawa solat jemaah yang pertama didirikan sejak diwajibkan adalah di Madinah Bandar Nabi SAW selepas berhijrah ,kerana sebelum berhijrah, Nabi dan para sahabat Baginda berada dalam keadaan penuh keterdesakan sehinggakan sukar untuk menyatakan syiar islam secara jelas dan nyata. Namun setelah berhijrah, syiar-syiar islam seperti solat , azan dan sebagainya mula disebarkan.

Hukum

Solat jemaah hukumnya adalah fardhu kifayah bagi setiap solat fardhu kecuali solat jumaat, kerana solat jumaat adalah fardhu ain dilakukan secara berjemaah..

FARDHU AIN : kewajipan yang mesti dilakukan oleh semua orang islam, tanpa ada pengecualian.

FARDHU KIFAYAH : Kewajipan yang ditetapkan kepada semua orang islam, tetapi jika sebahagian orang islam telah melakukannya, sebahagian yang lain sudah tidak wajib melakukkannnya lagi..

Pemilihan imam

Baiklah..kita masuk kepada fasa mengetahui siapakah yang layak menjadi imam??

Di Malaysia khususnya, kita telah mempunyai imam-imam tetap yang telah dilantik oleh Jabatan Agama, atau orang kampung,jika di satu surau atau masjid, merekalah yang paling utama selepas pemerintah untuk menjadi imam, namun persoalannya, bagaimanakah pemilihan tersebut diambil?

Sunnah Pemilihan imam diambil berpandukan hadis nabi SAW;

jemaahSesuatu kaum itu diimami oleh orang yang paling baik bacaan Al-Qurannya, jika bacaan Al-Quran mereka semua sama, maka pilihlah dari kalangan yang paling mengetahui sunnah/hadis (dalam solat ) , jika didalam bidang sunnah juga sama, maka pilihlah dari kalangan yang paling awal berhijrah (paling banyak pengorbanan kepada agama), jika mereka dari segi hijrah juga sama, pilihlah dari umur yang lebih tua.

(Hadis riwayat Imam Muslim)

KESIMPULANNYA;

1) Yang Paling baik bacaan Al-Qurannya ,jika semua sama…

2) Yang Paling memahami solat cara Nabi SAW, jika semua sama..

3) Yang Paling banyak pengorbanan, jika semua sama..

4) Yang Paling berumur / paling dihormati

Namun demikian perlu diingati, peringkat-peringkat ini mestilah diambil mengikut tertibnya.. supaya mendapatkan imam yang betul-betul berkualiti.

Peringkat yang saya berikan ini adalah cara sunnah, ia bukanlah ketetapan yang wajib diikuti tetapi ianya seharusnya diikuti.

Tuntasnya, setiap orang islam perlu untuk mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan keberanian yang jitu , supaya kita tidak berlengah-lengah dalam mengerjakan suruhan Allah SWT. Oleh itu, jika ada yang menolak kita untuk menjadi imam, sudah pastinya mereka tahu bahawa kita sudah layak menjadi imam.. Pikullah tanggungjawab tersebut dengan berani dan bertaqwa!