menulis Seseorang yang menimba ilmu pengetahuan sepatutnya menjadikan bidang penulisan sebagai salah satu keperluan asasi dalam kehidupannya, jika beliau tidak dapat menulis, beliau akan merasakan dirinya penuh kekurangan dan kejelekan.

Penulisan yang dimaksudkan adalah penulisan ilmiah berupa kajian ataupun penterjemahan yang diadaptasikan dengan pencerahan yang lebih mudah dan senang difahami.

Penulisan ilmiah mampu memanjangkan nyawa yang singkat, mencambahkan ilmu yang terhad dan meluaskan pemikiran yang sempit.

Nyawa yang dimiliki tidak akan berkekalan, tambahan pula, umur ummat nabi Muhammad saw amatlah singkat , ilmu yang sedikit pula akan disampah-sarapkan jika tidak disebarkan, pemikiran pula akan bertambah sempit bila hanya melihat situasi diri sendiri dan kawasana kediaman sahaja..

Sudah menjadi bidang tanggungjawab penuntut ilmu untuk berkhidmat kepada ilmu yang dipelajari, tanpa mengira batasan bidang dan profesinalisme. Bahkan, saling menyumbang antara satu sama lain.

Mungkin ada yang mula berkata-kata :

"wah… menulis?? Bukan bidang yang senang dan mudah.. ia perlukan kepakaran, ketelitian dan kematangan yang tinggi!"

Ya! Perkara tersebut perlu ada didalam jiwa setiap penulis, namun persoalannya, dimanakah kepakaran, ketelitian dan kematangan itu diperolehi jika tidak pernah mencuba untuk menulis dari peringkat bawahan?

Sebagai seorang penuntut ilmu, kita perlu menulis supaya ianya menjadi penyambung kepada ilmu yang kita pelajari.

Justeru, atas kesedaran "semua penuntut ilmu perlu cuba untuk menulis", saya menyarankan mereka untuk mengikuti beberapa proses mendidik kematangan dalam penulisan yang diberikan oleh Ustaz Hairul Nizam Mat Husain didalam kertas kerja beliau bertajuk "Penulisan Ilmiah, berdasarkan Manhaj Al-Azhar" ;

1) Proses menimba Ilmu

2) Proses menterjemahkan ilmu dalam bentuk tulisan

3) Proses perbincangan dan kritikan ilmiah terhadap tulisan yang telah dihasilkan.

Penuntut Ilmu juga boleh menggunakan medan blog sebagai sebuah jalan dan cara menyampaikan tulisan yang telah dikarang untuk dikongsikan bersama. Bahkan, medan internet ini adalah medan dakwah terpantas setakat ini… para ilmuan seharusnya menyebarkan ilmu melalui medan ini.

Tuntasnya , penulisan itu amatlah penting bagi seseorang penuntut ilmu, ianya seolah-olah darah yang mengalir dalam tubuh badan ilmuan..ia akan memberi tenaga yang luar biasa apabila darah itu panas dan menggelegak, tetapi akan mengakibatkan kematian apabila habis ataupun kurang.

Daripada Abdullah bin Amr ; sesungguhnya, Nabi SAW pernah bersabda : Sampaikanlah ajaran dariku sekalipun satu perkataan dan ambillah cerita-cerita dari bani israil tanpa ada halangan untuk meninggalkannya, barangsiapa yang berdusta atas namaku, maka bersiap sedialah kerana kursinya terbuat dari api neraka.

( Hadis Riwayat Bukhori 3461)