Kasih sayang itu sering ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran melalui pelbagai kefahaman. Namun tafsiran yang terbaik dan soleh itu sentiasa mendahalui jiwa-jiwa orang beriman. Mereka memahami tafsiran kasih sayang itu melalui kefahaman yang dikehendaki oleh islam.

Kasih sayang didalam Islam adalah campuran 2 elemen utama yang datang secara berperingkat dan difahami melalui sorotan hadis Nabi SAW :

ukhuwwah Kamu tidak akan masuk syurga selagimana kamu tidak beriman, dan kamu tidak akan beriman selagimana kamu tidak saling berkasih sayang, oleh itu , mahukah kamu aku tunjukkan suatu cara yang jika kamu lakukannya, kamu akan saling berkasih sayang?... sebarkanlah salam diantara kamu.

Riwayat Muslim

secara ringkasnya, boleh difahami melalui rumus :

Iman + Ukhuwwah = Kasih Sayang → Syurga

Apabila lahir keimanan didalam jiwa setiap hamba , maka wujudlah ukhuwwah yang membesar dan berperanan dalam setiap tingkah laku, akhirnya akan melahirkan kasih sayang sebenar yang akan membawa ke syurga . Kasih sayang yang boleh menggegarkan dunia dan menggemparkan sejarah.

Dalam hadis diatas, kita dapat memahami bahawa binaan kasih sayang yang soleh itu hanya muncul dan wujud dalam situasi keimanan yang berpaksikan cintakan akhirat..selagimana kekuatan keimanan belum menjadi perkara utama dalam perhubungan manusia maka, kasih sayang dan ukhuwwah itu hanyalah palsu dan tidak mempunyai apa-apa makna sebenar..

Saya masih ingat sebuah pertemuan dengan beberapa orang sahabat saya di kaherah satu ketika dahulu, salah seorang dari mereka memberi nasihat kepada saya; katanya;

Pertemuan kita sesama muslim ini tidak hanya pertemuan jasad-jasad, tetapi pertemuan kita adalah pertemuan ukhuwwah dan keimanan..

Itulah hakikat sebenar ukhuwwah islamiah..paksinya adalah keimanan , jika iman yang menjadi pemacu ukhuwwah pastinya ia menjadi ukhuwwah yang sebenar dan tiada tolak bandingan..

Sebuah cerita yang ingin saya kongsikan, cerita berkenaan 3 orang sahabat yang mempunyai ukhuwwah yang amat ajaib dan luar biasa, cerita ini berlaku pada peperangan Yarmouk pada zaman sahabat Rasulullah SAW;

Salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Jahim Bin Huzaifah yang menyertai peperangan tersebut meriwayatkan cerita ini, Abu Jahim bercerita.

“Semasa Perang Yarmuk itu saya sedang mencari saudara sepupu saya yang berada di barisan hadapan sekali. Saya bawa bersama-sama sedikit air agar dapat memberi faedah buat dirinya. Tatkala saya menjumpainya dia sedang terbaring berlumuran darah. Dia mengerang kesakitan dan harapan untuknya hidup sangat tipis sekali. Melihat keadaannya itu saya lantas berkejar kepadanya untuk memberikan air. Tetapi ketika hampir saya memberikannya air itu saya terdengar seorang lagi pejuang Islam sedang berteriak: “Berikanlah saya air! air!” Mendengar suaranya itu saudara sepupu saya lantas memberi isyarat agar saya pergi melayani orang itu lebih dahulu dan memberikannya air itu. Maka saya pun tanpa lengah lagi terus pergi mendapatkan orang itu. Pejuang itu amat saya kenali, tidak lain adalah Hasyim Bin Abilas.

Tetapi sebelum sempat saya memberikan air kepada Hasyim saya terdengar suara orang mengerang di sebelahnya pula, juga meminta air. Hasyim pula kali ini mengisyaratkan saya supaya memberikan air itu lebih dahulu kepada orang yang mengerang dekatnya. Bagaimanapun sebelum sempat saya pergi kepada pejuang yang ketiga itu ia pun telah mati syahid. Lalu saya pun bergegas semula kepada Hasyim tetapi sedihnya ia juga telah mati syahid. Tanpa lengah lagi saya terus pergi mendapatkan saudara sepupu saya itu. Sungguh tidak tahan rasa di hati saya kerana saya dapati dia juga telah mati syahid. "

Demikianlah kasih sayang sebenar yang tiada tolak bandingnya, cinta ukhuwwah yang berpaksikan keimanan dan cintakan akhirat. Mendahulukan sahabat atas dasar ikatan kasih sayang yang amat teguh.. mereka sanggup berkorban hanya semata demi sahabat mereka sendiri.. sungguh!, inilah contoh ukhuwwah sebenar.

Mereka adalah generasi yang wajib dicontohi, generasi yang menggoncangkan dunia dan menggegarkan sejarah… benarlah pujian Allah SWT kepada mereka:

"kamu adalah sebaik-baik umat, kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan bahkan yang lebih membuatkan kamu istimewa adalah kamu beriman kepada Allah SWT"

Ali-imraan ; 110

Konklusinya, marilah sama-sama kita memahami erti ukhuwwah dengan kacamata sebenar dan mencontohi para pejuang Islam dahulu bagi mengukuhkan lagi ikatan cinta ukhuwwah dan kasih sayang antara kita…semoga , kegemilangan mereka satu ketika dahulu dapat diulangi semula melalui tangan-tangan kita sendiri.