Peribadi pertama :

atasi-marah"Wei meon! hang nei tak tahu hukum ka? Arak tu kan haram, hang nak masuk neraka macam si badul tu ka? hang nie dah lah bodoh, jahil, bengong pulak tu, ada otak tak mau nak pikiaq, akai letak kat pala lutut!"

 

Peribadi kedua :

mendidik"Asalamualaikum Meon, aku ada dengaq, hang ada buat something yang tak sesuai dilakukan oleh seorang muslim, betul ker? Kalau betul….. aku harap hang mahu bertaubat dan bersegera untuk melakukannya sebab.. sepanjang kehidupan ini, kita diciptakan untuk menjadi yang terbaik dan orang yang terbaik adalah orang yang sentiasa bertaubat memohon keampunan tuhan setelah merasa diri melakukan kesalahan.. aku yakin, hang tergolong dalam golongan yang terbaik! :)"

 

**********************************************************

Kedua-dua peribadi yang saya nyatakan diatas merupakan peribadi yang berbeza , mempunyai matlamat berbeza dan juga akan menghasilkan sesuatu kesan yang berbeza juga.

Peribadi pertama mencerminkan bagaimana seorang yang mempunyai sedikit pengetahuan agama dan bertindak dengan penuh emosi menghukum orang lain yang melakukan kesalahan tanpa mengira sahabat ataupun siapa sahaja.

Matlamat mereka amat samar dan kabur sekali, mereka bertindak menghukum manusia kerana merasa diri mereka sahaja yang terbaik dan berkeyakinan diri mereka tidak akan terjerumus kearah perbuatan yang ditegur.

Mungkin golongan ini memakai istilah "berkata benar walaupun menyakitkan". Namun adakah sesuai istilah ini dugunakan kepada orang yang jahil, tersilap langkah dan masih tidak berjaya memahami Islam dengan sebaiknya.

Peribadi jenis ini lebih suka menghukum dari memberikan penyelesaian, mereka tidak ubah seperti seorang budak lelaki yang marah dan bertindak menumbuk sebatang pokok kelapa di halaman rumah.

Pokok kelapa tersebut tidak tumbang, malahan budak tersebut akan lebih merasa sakit akibat perlakuannya.

Si Meon yang dinasihati oleh peribadi pertama tidak akan memperolehi keinginan untuk berubah, bahkan keadaan akan menjadi lebih parah lagi apabila, si Meon akan melakukan sesuatu yang menyakitkan peribadi pertama seperti mencerca, memaki dan sebagainya… ini adalah kesan yang tidak baik dan menjatuhkan maruah para pendakwah.

Peribadi kedua pula, membayangkan seorang individu yang melihat "cahaya" yang masih tersimpan didalam jiwa seseorang manusia, oleh itu.. beliau menasihati si meon dengan penuh kesabaran dan adab tatasusila sesama muslim.

Bukan setakat mempercayai potensi berubah si Meon, bahkan beliau memberi peransang yang membangkitkan nilai perubahan didalam jiwa Meon.

Matlamat peribadi kedua juga amat jelas, beliau menasihati si Meon untuk berubah kerana merasakan deria cinta sesama muslim dan keharuman dakwah yang sentiasa mengalir di jiwa-jiwa pendakwah.

Apakah kesan yang akan diterima oleh si Meon dan peribadi kedua?

Meon mungkin akan berusaha untuk berubah dan mencari nilai baru dalam kehidupannya, namun, jika perkara tersebut tidak berlaku, si Meon tidak juga akan bertindak mencerca dan memaki peribadi kedua lantaran merasakan deria cinta dan kasih yang mencengkam didalam jiwa peribadi kedua.

Demikianlah kehidupan manusia yang senantiasa melalui detik-detik kehidupan yang mencabar, terkadang manusia tersilap langkah dalam mengatur jalan perjuangan dakwah dan tarbiah, namun segalanya akan menjadi yang terbaik apabila, masing-masing berusaha sedaya upaya mencari penyelesaian yang harmoni dan aman damai tanpa ada rasa duka sengketa.

Justeru, selaku seorang manusia yang mempunyai nilai kehidupan muslim yang teragung dan tertinggi, maka seharusnya kita menjadi contoh kepada manusia lain yang sedang mencari jalan yang benar dalam kehidupan dan berusaha menjadikan dakwah dan tarbiah sebagai mahar untuk mendapatkan syurga suatu hari nanti, insyaAllah..

"Allahlah Pelindung bagi orang yang beriman, Dia mengeluarkan manusia dari kegelapan kekafiran , syak wasangka, dan kejahilan kepada cahaya hidayah , keimanan dan keilmuan. Manakala ,orang yang kafir pula, pelindung mereka adalah Syaitan, dia mengeluarkan mereka dari cahaya keimanan kepada kegelapan kekafiran, dosa maksiat dan kejahilan. Mereka itu adalah penghuni neraka, mereka akan tinggal kekal didalamnya."

-Tafsir al-Wajier, surah Al-Baqarah ; 257