Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa umat Islam tidak digalakkan mengahwini penganut ajaran Syiah.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut pada 15 dan 16 November lalu sebagai satu peringatan kepada umat Islam berkaitan hukum pernikahan ahli Sunnah Waljamaah dengan penganut Syiah.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang juga pengerusi jawatankuasa fatwa negeri berkata keputusan tersebut dibuat sebulat suara.

Mufti Perlis Juanda Jaya

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata keputusan jawatankuasa ini dibawa kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Menurutnya MAIPS telah diperakukan keputusan itu dalam mesyuaratnya pada 7 Disember 2010.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Juanda berkata, keputusan tersebut dibuat ekoran wujudkan kes pelajar Malaysia yang berkahwin pelajar asing dari Iran dan Pakistan yang bermazhab Syiah.

"Sebab itulah kita keluarkan pandangan dalam bentuk nasihat, supaya mereka prihatin terhadap perkara ini," tambah.

Perkahwinan seumpama itu, tambahnya, jika berlaku, boleh mengakibatkan masalah kekeluargaan di kemudian hari sekiranya berlaku perceraian, termasuk isu perebutan anak.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Dr Juanda berkata, jawatankuasa fatwa negeri turut berbincang mengenai kursus ESQ dalam beberapa siri mesyuarat di samping beberapa taklimat yang disampaikan oleh pelbagai sumber.

esq_1

"Jawatankuasa yang bersidang pada 15 dan 16 November 2010 telah mengambil keputusan supaya umat Islam diberikan peringatan dan nasihat berkaitan kursus latihan kepimpinan ESQ yang dijalankan di negara ini," katanya.

Berikutan itu, katanya, jawatankuasa fatwa negeri telah memutuskan sebulat suara menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati terhadap buku ESQ karangan Ary Ginanjar Agustian dan kursus-kursus latihan yang ada kaitan dengan buku berkenaan.

Beliau berkata, ini kerana terdapat banyak istilah dan kenyataan yang mengelirukan dan boleh membawa kepada kecelaruan akidah.

Selain itu, tegas Dr Juanda, sebarang aktiviti berkaitan ESQ adalah dilarang daripada dijalankan di negeri Perlis.

Keputusan tersebut juga, tegas beliau telah diperakukan dalam mesyuarat MAIPs pada Jawatankuasa ini telah diangkat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan telah diperakukan dalam mesyuarat yang bersidang pada 7 Disember lalu.

sumber : malaysiakini