Orentalis telah memberi banyak keraguan yang berunsurkan penipuan bagi menggugatkan keyakinan umat islam terhadap agama mereka dan menjauhkan umat islam dari beriman dengan kenabian Nabi SAW.

Diantara keraguan tersebut adalah mereka mendakwa bahawa Nabi SAW adalah seorang yang kuat nafsu dan menyandarkan dakwaan tersebut dari poligami yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.polygamy

Hakikatnya, poligami yang dilakukan oleh Rasulullah SAW mempunyai maksud yang tinggi . Seandainya Rasulullah SAW itu seorang yang kuat nafsunya, pastinya baginda akan memilih isteri-isteri yang masih dara, muda dan cantik. Akan tetapi, isteri-isteri baginda semuanya pernah menjadi janda kecuali Sayyidah Aisyah RA yang dikahwini pada usia beliau masih kanak-kanak.

Kemudian, Nabi SAW hanya melakukan poligami pada usia baginda 50 tahun, inilah kritikan yang sepatutnya sampai kepada para orentalis tersebut. Kerana , jika baginda mahu memuaskan nafsu syahwatnya, dan berenak-enak dengan isteri yang jelita dan bergetah, pastinya Rasulullah SAW akan berkahwin pada usianya masih muda. Kerana, umur muda diketahui oleh umum, umur yang enak untuk bersenang lenang dengan isteri, ada pula umur tua, adalah umur yang dianggap sebagai “putus harapan” dari kelazatan nafsu seks.

Tambahan pula, seorang lelaki yang kuat nafsunya akan menjadikan kehidupannya penuh dengan kesenangan dan kemewahan, beliau akan makan makanan yang enak-enak sahaja , tidur ditempat yang selesa dan tidak akan menghiraukan urusan yang tidak membawa keuntungan dunia kepadanya. Persolannya.. adakah perkara ini berlaku kepada nabi SAW?

Baginda dikenali dengan kehidupan yang zuhud dan sederhana.Bahkan, baginda sering kelihatan menahan lapar yang teramat sangat. Baginda juga adalah seorang manusia yang paling banyak melakukan puasa dan solat malam.

Diriwayatkan oleh Ibnu Mas`ud RA, beliau berkata :

“Nabi SAW tidur diatas sehelai pelapik kemudian bangun, dan terlihatlah kesan (birat) disisi kanannya, dan kami pun berkata kepada baginda : “Wahai Rasulullah, alangkah baik jika kami dapat berikan kamu tempat tidur yang enak” baginda bersabda : apa kaitannya aku dengan dunia ini ? aku hidup di dunia ini seperti seorang pengembara yang berhenti berteduh dibawah bayangan pokok ,aku berehat sekejap, kemudian aku meninggalkannya..”

Adakah kehidupan sebegini menunjukkan kehidupan seorang yang kuat nafsu keingginannya? Ataupun, kehidupan yang penuh dengan ketaqwaan, kebersihan, kesucian, dan zuhud yang sebenar -benarnya? Sesungguhnya, kehidupan seharian Rasulullah SAW telah mempertahankan baginda dari difitnah, dicaci dan didustakan.

Sayyid Qutb RH menyebutkan dalam kitabnya, Fizilalil Quran, :

“Nabi SAW telah memilih bagi dirinya dan keluarganya untuk hidup ala kadar sahaja, tidak berada dalam kehidupan senang lenang. Baginda tetap hidup dengan cara sedemikian walaupun baginda telah membuka tanah (Berjaya memerintah Negara), dan telah banyak rampasan perangnya. Dan tiada apa pun yang menghalaginya dari hiudp kaya raya dan bertambahnya harta,..”

HIKMAH POLIGAMI RASULULLAH SAW

Dengan itu, poligami yang dilakukan oleh rasulullah SAW merupakan poligami yang berteraskan keistimewaan yang hanya di khususkan Allah kepada Nabi SAW tanpa diberikan kepada ummatnya. Ianya adalah dengan tujuan yang besar. Bagi menjelaskan perkara ini, terdapat beberapa maksud yang dapat disimpulkan dalam poligami yang dilakukan oleh Rasulullah :

PERTAMA : HIKMAH DALAM PENYEBARAN ILMU

Sesungguhnya Ummahatul Mukminin (gelaran bagi para isteri Nabi SAW ) mempunyai peranan yang besar dalam penyebaran ilmu secara umum, dan hukum hakam yang dikhususkan kepada wanita diambil dari mereka secara khusus, kerana terdapat banyak hukum yang hanya dikhususkan kepada wanita yang Nabi SAW malu untuk menyebutkannya dihadapan wanita secara umum, oleh itu, baginda mengajar para isteri baginda hukum hakam tersebut, seterusnya merekalah yang menyampaikan kepada para wanita muslimah.

ilmu

Diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari dalam kitab beliau, dari Sayyidah Aisyah RA, :

“Seorang wanita telah bertanya kepada Nabi SAW akan mandi disebabkan haid, dan ditanya bagaimana untuk membasuhnya? : Maka Nabi SAW bersabda : Ambillah kain perca yang dicampur dengan wangian dan bersihkanlah ia, wanita itu bertanya : Bagaimana ianya dibersihkan? Rasulullah bersabda: Bersihkanlah . Wanita itu bertanya lagi, ; Bagaimana?. Rasulullah bersabda : Maha Suci Allah bersihkanlah, kemudian Aisyah RA berkata: aku tarik wanita itu kepadaku dan berkata kepadanya : Bersihkanlah dengan melalukan kain perca tersebut diatas kesan-kesan darah”

Demikianlah peranan yang diambil oleh para isteri Nabi SAW dalam menjelaskan perkara yang hanya dikhususkan kepada wanita.

Sepertimana yang kita ketahui, sunnah itu bukan hanya perkataan baginda sahaja, tetapi ianya juga perbuatan dan persetujuan baginda atas sesuatu perkara, oleh itu.. banyak perbuatan baginda dirumah yang tidak diketahui oleh orang ramai, yang hanya diketahui oleh insan-insan terdekat dengan bainda sahaja, ianya tidak lain dan tidak bukan adalah para isteri baginda sendiri. Mereka melihat perlakuan , percakapan dan persetujuan Rasulullah dan meriwayatkannya kepada ummat islam.

Sesungguhnya, telah terdapat jumlah yang besar dari periwayatan hadis itu bersumberkan dari riwayat Ummahatul Mukminin , Sayyidah Aisyah sendiri meriwayatkan 2210 hadis, 316 yang terdapat didalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim, 194 hadis Muttafaqun alaih, 54 yang hanya terdapat didalam Sahih Bukhari, dan 68 hadis pula yang hanya terdapat didalam sahih muslim. Sayyidah Ummu Salamah juga meriwayatkan 378 hadis, dan diikuti Sayyidah Hafsah dengan 60 hadis.

KEDUA : HIKMAH DALAM PENSYARIATAN

Hikmah ini ditunjukkan dalam perkahwinan baginda dengan Sayyidah Zainab binti Jahsyi, yang menunjukkan pensyariatan perkahwinan antara janda anak angkat yang telah diharamkan oleh orang jahiliyyah pada ketika itu.

Dalam adat jahiliyyah, anak angkat dinilai seolah-olah anak sendiri, mereka akan mendapat hak pewarisan ,sepertimana anak kandung, isteri mereka yang telah ditalakkan tidak boleh dinikahi oleh ayah angkat mereka, oleh yang demikian, pernikahan Rasulullah SAW dengan Sayyidah Zainab binti Jahsyi bekas isteri anak angkat beliau , Zaid bin Haritah , adalah untuk membatalkan adat jahiliah tersebut.

Allah SWT berfirman :

Maksudnya ;

Allah SWT tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala Yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) Yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.

Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara Yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[Al-Ahzab : 4-5]

Dan Allah SWT berfirman tentang perkahwinan Baginda SAW dengan Saiyyidah Zainab binti Jahsyi

Maksudnya :

(ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah Yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). dan sememangnya perkara Yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.

[Al-Ahzab : 37]

KETIGA : HIKMAH DALAM KEHIDUPAN BERMASYARAKAT

Telah sedia maklum bahawa Nabi SAW adalah seorang manusia yang paling menjaga hubungan dalam kehidupan bermasyarakat. Baginda akan menggunakan sebarang cara dan kaedah yang berbeza dan berbagai-bagai untuk menguatkan ikatan hati antaranya dan para sahabatnya .

Dengan itu, hubungan perkahwinan memainkan peranan yang amat besar dalam menyamai benih-benih kecintaan dan mencambahkan pohon-pohon kasih sayang. Baginda SAW telah mengahwini Sayyidah Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq, perkahwinan ini telah menguatkan lagi hubungan antara Rasulullah SAW dan Abu Bakar RHM, bahkan lebih mendalamkan kecintaan antara mereka berdua.

Begitu juga, Rasulullah SAW telah mengahwini Sayyidah Hafsah binti Umar Al-Khattab RHM bagi memuliakan beliau dan mengukuhkan tali perhubungan antara Baginda SAW dan Sayyidina Umar Al-Khattab RA.

KEEMPAT : HIKMAH DALAM POLITIK

Sebahagian isteri Rasulullah SAW dinikahi bagi menyatukan hatinya dan isterinya, serta dengan kabilah sekitarnya. Sepertimana yang dimaklumi, sekiranya seseorang individu itu mengahwini salah seorang wanita dari suatu kabilah, puak atau bangsa, maka beliau akan menjadi salah seorang dari mereka. Dengan itu, mereka akan saling tolong menolong antara satu sama lain dan saling kuat menguatkan antara mereka.

Sayyidah Juwairiyah binti Al-Haris dikahwini atas hikmah ini. Beliau merupakan anak kepada ketua bani Musthaliq yang ditawan ketika peperangan . lalu beliau mahu membebaskan dirinya dengan membayar fidyah, lantas beliau berjumpa dengan Rasulullah dan meminta pertolongan dari baginda Nabi SAW. Rasulullah SAW memberi cadangan kepada Sayyidah Juwairiah untuk mengahwininya dengan mahar bayaran fidyah, lalu dipersetujui oleh Rasulullah SAW.

Apabila tersebar berita perkahwinan tersebut, lantas para sahabat berkata ; “Adakah layak para ipar-ipar Rasulullah berada di bawah tawanan kita?” lantas mereka membebaskan semua tawanan dari bani Mustholiq .

Setelah bani Musthaliq melihat kemuliaan perilaku Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, mereka terus memeluk agama Islam dan telah menjadi pendokong dan pembantu Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Allah SWT.

cinta rasul

Rujukan :

Dr Majdi Muhammad Abdullah, TAISIR AL-MULK AL-ALLAM FI TAFSIR AYAT AL-AHKAM , kitab kuliah syariah tahun 2, 2010/2011, Universiti Al-Azhar cawangan Dumyat.