Kedengaran azan zohor melalui corong pembesar suara sekitar kawasan Madinatul Hujaj , Jeddah.

“Bayun, jom solat jamak qasar.. dah masuk waktu zohor nie..”

“eh, eh…. Bukan kita sekarang dah ada kat sini lebih tiga hari ker? Masih boleh buat jamak ker?”

“yer tak yer jugak yer…. Macam mana hah?!!”

***

شهاب1519

Kekeliruan terhadap solat musafir berlaku kepada umum masyarakat, samada mereka sedang mengikuti pengajian Islam mahupun tidak, oleh itu, marilah kita melihat sedikit pencerahan berkenaan masalah ini :

Allah SWT berkata didalam ayat 7, surah Al-Hajj :

Allah tidak menjadikan urusan agama kamu itu suatu yang sempit, susah dan payah.

Allah SWT tidak memberikan suatu ketetapan syariat yang akan membawa kepada kesusahan dan kesulitan kepada manusia, bahkan Dia menjadikan urusan umat islam itu mudah dengan kesesuaian suasana.

Tatkala manusia merasa susah dalam menjalankan urusan agamanya, Allah SWT menjadikan agama itu satu kemudahan, sehingga menjadikan hukum hakam Islam itu dapat dipraktikkan dimana sahaja.

Musafir adalah suatu perjalanan jauh yang menyiksakan. Manusia terpaksa mengorbankan masa rehatnya dan menggantikannya dengan kepenatan yang meletihkan. Oleh itu, Allah SWT telah memudahkan pelbagai urusan agama kepada orang yang bermusafir, diantaranya adalah kewajipan solat.

شهاب1466

BAGAIMANA MELAKUKAN SOLAT DALAM KEADAAN MUSAFIR?

Allah SWT telah memberi keringanan kepada orang yang bermusafir dengan dua jenis keringanan :

Pertama : Keringanan dari jumlah rakaat, ia dinamakan Qasar – pemendekan

Kedua : Mengerjakan dua solat ardhu dalam satu waktu, bagi memberi ruang kepada orang yang bermusafir untuk berehat, ia dinamakan Jamak – menggumpulkan

SOLAT QASAR

Solat Qasar adalah solat empat rakaat yang ditunaikan dengan hanya dua rakaat sahaja. Ianya adalah, solat Zohor , Asar, dan Isyak.

Telah terdapat dalil dari Al-Quran yang menyatakan keharusan solat seperti ini :

Sekiranya kamu bermusafir, tidaklah berdosa untuk kamu memendekkan solat empat rakaat kepada dua rakaat sahaja, ianya dilakukan jika kamu merasa takut diserag oleh orang kafir, sehingga mengakibatkan diri kamu terbunuh mahupun terluka, ianya juga boleh dilakukan dalam keadaan aman tenteram tanpa peperangan. Sesungguhnya , orang kafir itu setiasa mencari-cari kamu dan memusuhi kamu.

[surah An-Nisa` : 101, tafsir Al-Wajier]

Diriwayatkan dari buku Sahih Muslim, Hadis ke 1350 :

Daripada Ya`la bin Umaiyah , dia berkata :

Aku bertanya kepada Umar bin Al-Khattab RA : -beliau membaca ayat 101 surah An-Nisa`- adakah ianya hanya boleh dilakukan pada waktu aman? Saidana Umar menjawab : aku juga pernah rasa terkejut sepertimana engkau terkejut,lantas aku bertanya kepada Rasulullah tentang hal tersebut, lalu baginda berkata : “ianya adalah pemberian (sedekah) Allah kepada kamu, maka terimalah pemberian itu” .

Hadis di atas menunjukkan , solat Qasar tidak hanya khusus pada waktu ketakutan perangan sahaja, ianya juga boleh dilakukan pada ketika aman.

شهاب1516

SYARAT-SYARAT SOLAT QASAR

Solat Qasar mestilah mempunyai beberapa syarat bagi menjadikan ianya diterima :

1-      Kewajipan solat adalah ketika sedang dalam musafir

Sekiranya seseorang mendengar azan, pada ketika itu,  dia belum memulakan perjalanan, lalu beliau memulakan perjalanan tanpa menunaikan solat tersebut, maka dia tidak boleh melakukan solat Qasar kerana kewajipan solat itu telah diwajibkan padanya ketika waktu dia belum bermusafir lagi.

Begitu juga, sekiranya seseorang itu mendengar azan ketika dalam permusafiran, namun dia tidak menunaikan solat tersebut. Dia menangguhkan solat itu sehinggalah sampai ke rumahnya. Maka dia juga tidak boleh melakukan solat Qasar kerana dia telah menamatkan waktu musafir.

2-      Mestilah melepasi sempadan jarak qasar

Seseorang yang mahu memendekkan solatnya, perlulah melepasi jarak 81 Km atau lebih, sekiranya dia tidak melebihi had kawasan tersebut, dia masih belum diiktiraf sebagai seorang yang bermusafir.

Anas bin Malik berkata :

Aku solat Zohor bersama Rasulullah SAW di Madinah sebanyak empat rakaat , dan solat Asar di Zul Halifah sebanyak dua rakaat. Zul Halifah terletak diluar sempadan dua bagunan dari Madinah.

[Sahih Muslim, 1357]

3-      Tidak berniat untuk bermusafir empat hari ,tidak termasuk hari sampai dan pulang.

Sekiranya dia berniat untuk bermusafir selama empat hari, maka dia telah diwajibkan untuk mendirikan solat secara sempurna, tanpa memendekkan solat. Ini kerana beliau telah dikira seorang yang bermukim. Beliau hanya mempunyai hak untuk memendekkan solat apabila pulang ke tempatnya.

Sekiranya dia berniat untuk bermusafir kurang dari empat hari, ataupun pada satu tempoh yang tidak diketahui, kerana satu urusana yang tidak diketahui bila akan selesai, maka beliau boleh melakukan solat Qasar dalam tempoh itu sehinggalah 18 hari. Tidak termasuk waktu pergi dan balik.

Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (1229) :

Daripada Imran bin Hushain RA , dia berkata :

Aku telah menyertai peperangan bersama Rasulullah SAW, dan aku juga telah bersamanya ketika Al-Fath berlaku. Baginda berada di Makkah selama lapan belas malam, baginda hanya bersolat dua rakaat (qasar). –al-Fath adalah sinonim yang diberikan kepada pembukaan kota Makkah-

Baginda nabi memendekkan solat empat rakaat pada ketika itu kerana baginda tidak dapat mengetahui, bilakah masa berakhirnya urusan baginda.

4-      Tidak ditunaikan bersama orang yang bermukim

Jika dia bersolat bersama-sama imam yang solat sempurna, maka wajib baginya untuk tidak memendekkan solat.

Sekiranya dia bersolat bersama-sama imam yang juga memendekkan solat sepertinya, maka dia dibolehkan untuk memendekkan solat bersama imam.

Jika dia bersolat bersama-sama dengan orang yang bermukim, hendaklah dia menjadi imam, dan dia memendekkan solat. Setelah selesai, dia memalingkan mukanya kebelakang dan berkata : sempurnakanlah solat kamu, saya sedang bermusafir.

Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (1229) :

Rasulullah berkata :

Ibnu Abbas pernah ditanya :

Apakah keadaan seorang yang bermusafir,apabila dia mengerjakan solat fardhu empat rakaat dengan dua rakaat sekiranya bersorangan, dan mengerjakan empat rakaat sekiranya dia menjadi makmum kepada imam yang bermukim? : Ibnu Abbas menjawab : Keadaan solat tersebut adalah sunnah.

[ hadis sahih riwayat imam Ahmad ]

شهاب1419

SOLAT JAMAK

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari [1056] , :

Dari Ibnu Abbas RA berkata :

Rasululah akan menggumpulkan solat zohor dan asar dalam satu waktu sekiranya dia bermusafir, begitu juga Baginda menggumpulkan solat maghrib dan insyak.

Diriwayatkan pula oleh Imam Muslim [705] :

Dari Ibnu Abbas RA juga, beliau berkata :

Nabi SAW pernah menggumpulkan dua solat dalam satu waktu ketika baginda bermusafir dalam peperangan Tabuk, Baginda menggumpulkan antara solat zohor dan Asar, Maghrib dan Insyak. Said bin Jubeir bertanya kepada Ibnu Abbas : kenapa baginda melakukan demikian? Ibnu Abbas menjawab : Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.

PEMBAHAGIAN SOLAT JAMAK

1-      Jamak Takdim = mengerjakan dua solat fardhu dalam waktu pertama

2-      Jamak Takhir = mengerjakan dua soat fardhu dalam waktu kedua

Diriwayatkan dari Abu Daud [1208]:

Daripada Muaz RA berkata :

Berlaku sebuah peristiwa ketika nabi SAW  daam perjalanan peperangan Tabuk. Apabila beliau bergerak sebelum tegak matahari, baginda akan menakhirkan solat zohor, sehingga menggumpulkannya dalam waktu asar, dan menunaikan kedua-dua solat itu dalam waktu asar.

Apabila Baginda bergerak selepas tergelincirnya matahari, baginda akan bersolat zohor dan asar dalam waktu zohor, kemudian meneruskan perjalanan.

Apabia baginda bergerak sebelum maghrib, baginda akan mengakhirkan solat maghrib , dan menggumpulkannya dalam solat insyak, dan menunaikan kedua solat tersebut dalam waktu insyak.

Sekiranya baginda bertolak selepas maghrib , baginda akan menyegerakan solat insyak, dan menunaikan kedua solat tersebut dalam waktu maghrib.

SOLAT-SOLAT YANG BOLEH DIKUMPULKAN

Setelah membaca hadis riwayat Abu Daud di atas, dapatlah di ketahui bahawa, solat yang boleh dikumpulkan hanyalah : solat zohor dengan asar , solat insyak dan maghrib. Oleh itu, tidak sah jika menggumpulkan solat subuh dengan insyak atau zohor, ataupun sebagainya.

SYARAT JAMAK TAQDIM

1-      Dikerjakan secara tertib – dimulakan dengan solat yang pertama terlebih dahulu, seperti : zohor dahulu sebelum asar dan maghrib dahulu sebelum insyak.

2-      Berniat untuk mengumpulkan solat yang kedua sebelum selesai menunaikan solat pertama. Disunatkan untuk berniat sedemikian ketika takbiratul ihram

3-      Disegerakan kedua-duanya. Selepas menunaikan solat yang pertama, tidak dianjurkan untuk berzikir atau sebagainya, bahkan diwajibkan untuk terus menunaikan solat yang kedua. Sekiranya seseorang yang ingin menjamakkan solat melambat-lambatkan waktu sebelum solat kedua, maka solat jamaknya tidak sah. Beliau wajib untuk solat jamak takhir.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari RA [1041],

Dari Ibnu Umar RA berkata :

Aku pernah melihat Nabi SAW ,apabila baginda menyegerakan permusafiran, Baginda akan mengakhirkan solat maghrib dan menunaikannya dengan tiga rakaat. Kemudian memberi salam. Setelah itu, beginda segera bangun untuk menunaikan solat insyak dengan dua rakaat. Kemudian memberi salam.

4-      Tidak menjadi masalah  bersolat ketika di rumah

SYARAT JAMAK TA`KHIR

Pertama : berniat untuk mengumpulkan solat yang pertama ke dalam yang kedua, ketika waktu solat pertama. Sekiranya waktu solat zohor telah luput, sedangkan dia belum berniat , maka dia perlu Qada` (ganti) solat zohor dalam waktu Asar.

Kedua : solat yang kedua mestilah difardhukan ketika dalam perjalanan. Sekiranya telah sampai ke rumah, tetapi azan untuk solat yang kedua belum lagi dikumandangkan, maka tidak boleh solat jamak ta`khir.

Tiada syarat tertib ketika mendirikan solat Jamak.

شهاب1354

SYARAT MUSAFIR YANG MENGHARUSKAN JAMAK DAN QASAR

Syarat Pertama : jarak perjalanan mestilah sepanjang 81 Km atau lebih, sekiranya kurang dari jarak ini, perjalanan tersebut tidak dinamakan musafir.

Syarat Kedua : Tempat tujuan yang dikenal pasti. Tidak dikira sebagai satu permusafiran sekiranya satu perjalanan tidak diketahui arah tujuan, atau seorang yang hanya mengikut perjalanan ketuanya tanpa mengetahui ke mana dia mahu pergi.

Syarat Ketiga : Perjalanan tidak bertujuan maksiat. Sekiranya tujuan perjalanan adalah bagi melakukan kmaksiatan, perjalanan tersebut tidak dikira sebagai permusafiran. Seperti seorang yang bermusafir untuk menjual arak, atau merompak dan sebagainya, kerana Qasar adalah sebuah keringanan yang diberikan islam. oleh itu, keringanan mestilah dengan amanah, dan amanah tidak akan terdapat dalam orang yang berbuat maksiat.

MENGGABUNGKAN DUA SOLAT KETIKA HUJAN

Diriwayatkan dari Imam Bukhari [518] :

Dari Ibnu Abbas RA : Nabi SAW telah bersolat di Madinah sebanyak tujuh dan lapan rakaat : Zohor dengan Asar, dan Maghrib dengan Insyak.

Imam Muslim menambah : tidak disebabkan situasi ketakutan ataupun dalam permusafiran.

Tidak boleh mengumpulkan keduanya (Zohor dengan Asar, Maghrib dengan Insyak) dalam waktu kedua. Mungkin saja hujan akan berhenti apabila tiba waktu kedua, maka akan menghilangkan sebab keuzuran.

Gabungan solat ketika hujan mestilah dilengkapi dengan syarat-syarat tertentu :

1-      Mestilah solat yang didirikan secara berjemaah di Masjid yang terletak jauh dari tempat tinggal,. Perjalanan ke Masjid akan merbahayakan dirinya. Jaraknya dikira dengan kebiasaan kawasan setempat.

2-      Hujan turun ketika memulakan kedua-dua solat, dan ketika memberi salam yang pertama.

NOTA KAKI :

Solat jamak juga boleh dilakukan sekiranya mengalami sakit yang menyukarkan diri untuk bersolat. Begitu juga kepada doktor dan pembantunya, jika mereka melakukan pembedahan kritikal yang mengambil masa yang terlalu lama, maka, mereka juga dibolehkan untuk jamak takdim.

Rujukan :

Dr Wahbah Az-Zuhaili , TAFSIR AL-WAJIEZ, Dar Al-Fikr, Damsyik , Syria

Dr Musthafa Al-Bugho, Dr Musthaa Al-Khin, Ali Syarbaji , FEQH MANHAJI ALA MAZHAB IMAM AS-SYAFIIE, Dar Al-Qalam 1992, Damsyik , Syria.

Al-Imam Taqiudin Abi Bakar,KIFAYATUL AKHYAR, Dar al-Kutub Al-ilmiah 2001, Beirut, Lubnan.

شهاب1454

p/s:menulis artikel ini ketika menanti giliran untuk pulang ke Malaysia. Masih tidak tahu bila akan dapat berjumpa keluarga di Perlis.