“Kita bekerjasama pada perkara yang kita sepakati, dan memberi keuzuran (excuse) kepada perkara yang kita selisihi.”

Sebenarnya, ungkapan tersebut berasal dari Syeikh Rasyid Redha, pemilik majalah Al-Mannar dan Tafsir al-Mannar. Kemudian, diulang sebut pula, oleh Syeikh Hasan al-Banna dalam beberapa surat dan ceramah beliau. Sehinggakan, orang ramai telah menyangka bahawa ungkapan tersebut berasal dari beliau.

Syeikh Rasyid Redha menamakannya dengan ; “Kaedah Yang Berkilauan” – قاعدة الذهبية – ianya adalah kaedah yang beliau tetapkan pada komunikasi diantara orang berselisih dari golongan  orang yang menghadap kiblat (Ahli Qiblah).

smile

KITA BEKERJASAMA PADA PERKARA YANG KITA SEPAKATI

Yang dimaksudkan dengan bahagian ini adalah; umat Islam saling bantu membantu dalam membangunkan perkara-perkara baik, yang  tidak bercanggah dengan perlembagaan Islam.

Ini adalah kerjasama yang wajib. Ianya diwajibkan oleh Allah Taala dalam al-Quran, tatkala Dia berfirman, bermaksud:

Bekerjasamalah dalam perkara baik dan taqwa, jangan pula kamu bekerjasama pada perkara dosa dan permusuhan.

[Al-Maidah:2]

Kita tidaklah berprasangka, bahawa orang yang mengeluarkan kata-kata ini bermaksud saling tolong menolong sesama islam sekalipun, pada perkara yang salah. Ini suatu yang Mustahil!. Kerana, umat Islam tidak akan bersatu dalam perkara yang sesat.

Dari Ibnu Umar r.a. beliau berkata : bahawasanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Sesungguhnya umatku tidak akan bersatu dalam perkara yang sesat.

[Riwayat Tirmizi]

baby-smile

KITA SALING MEMBERI UZUR (EXCUSE) PADA PERKARA YANG KITA SELISIHI

Ucapan ini, adakalanya membawa kepada perkara yang terpuji, dan adakalanya, membawa kepada perkara yang dikeji. Kerana, memberi keuzuran kepada sesuatu perkara yang diperselisihi itu bergantung kepada bentuk sesuatu perselisihan. Tidak semua perselisihan itu dapat menerima keuzuran pemiliknya. Sekiranya, perselisihan itu dalam perkara yang dibolehkan, maka keuzuran itu diterima. Tetapi, sekiranya perselisihan itu tidak dibolehkan seperti, perselisihan dalam nas yang jelas, atau kesepakatan (Ijmak) yang sahih, maka tiada lansung keuzuran kepada perkara tersebut. Bahkan, wajib pula untuk menentang perkara itu, dan berpaling darinya.

Oleh itu, sekiranya perselisih pada perkara yang  tidak dibenarkan, dan membawa kepada penghalang amar makruf nahi munkar , menyelimuti kebenaran dengan kepalsuan, perkara baik dengan kemungkaran, dan sunnah dengan bidaah. Maka ianya tertolak.

Sehinggakan, perselisihan yang boleh dipertimbangkan (Muktabar) sekalipun, keuzuran padanya tidak menghalang ianya diperbahaskan diantara orang yang berselisih. Supaya diterangkan kebenaran tanpa menyakitkan hati dan memburuk-burukkan orang yang berselisih. Itulah langkah ulama ummah dari kalangan salaf dan khalaf.

debate

REVOLUSI KAEDAH

Namun, kaedah ini telah diperbincangkan semula oleh Ustaz Abdul Halim Muhammad Abu Syaqqah r.h.m – pemilik kitab “Pembebasan Wanita pada Zaman Risalah” - , beliau merubah perkataan “memberi keuzuran” dengan “berdebat”. Beliau r.h.m. berpendapat: setiap perkara yang diperselisihi menerima perdebatan. Sekiranya perdebatan itu bersungguh-sungguh mencari kebenaran,dan jauh dari fanatik.

Inilah prinsip yang kita gunakan ketika menghadapi aliran yang menongkah arus ahli sunnah wal jamaah. Kita boleh bersatu dalam satu perkara, dan boleh berselisih dalam perkara yang lain.

Dr Yusuf al-Qaradhawi sendiri mendekati Mazhab Syiah berpandukan kaedah ini dengan memperhalusi kaedah Ustaz Abdul Halim Muhammad:

Kita bekerjasama pada perkara yang kita sepakati, dan berdebat pada perkara yang kita selisihi.

Wallahu Ta`ala `alam.

______________________

Syihabudin Ahmad

Jabatan Pengajian Islam dan Bahasa Arab,

Fakulti Perundangan Islam,

Universiti al-Azhar, Dumyat. Mesir.