Dua hari berada di Kaherah menukilkan beberapa peristiwa yang memberangsangkan perasaan dan memanjangkan pemikiran saya selaku seorang hamba Illahi. Perjalanan yang mulanya untuk menyelesaikan satu urusan penting, telah diwarnai dengan pelbagai pengajaran dan didikan illahi.

Bermula dengan ketibaan saya di Rumah Perlis, Kaherah. Saya telah disambut dengan baik sekali oleh para sahabat-sahabat di sana. Sempat juga menjamu selera dengan masakan Ayam Masak Kari yang sungguh enak. Setelah tiba waktu maghrib. Saya turun ke surau di tingkat bawah kediaman berkenaan.

48 jam

PERISTIWA 1 : PAK CIK KHIR

Usai mengerjakan solat fardhu maghrib berjemaah dan solat jamak Isyak, saya berwirid sebentar bagi memberi laluan kepada Jemaah lain untuk mengerjakan solat sunat. Kelihatan seorang pak cik yang berbaju “1 Malaysia” juga berada bersama kami. Khabarnya, beliau datang dari London.

Setelah rakan-rakan lain selesai mengerjakan solat sunat, mereka berduyun-duyun meninggalkan perkarangan surau. Yang tinggal di dalam surau tersebut hanyalah saya dan Pak Cik Khir sahaja. Lantas saya mula bertanya khabar dan bersembang kecil dengan beliau.

Nampaknya, beliau adalah seorang ahli perniagaan yang suka berkongsi. Beliau menceritakan sedikit sebanyak tentang latar belakang beliau. Mempunyai 5 orang anak dan kini bermaustautin di London. Beliau berasal dari Alor Star, Kedah dan membesar disana.

Pak Cik Khir tidak mempunyai latar belakang agama yang kuat sehingga saya boleh katakan : Beliau benar-benar “Orang Awam”. Tidak mampu membaca Al-Quran apatah lagi mengenal apakah keperluan hadis dalam kehidupan seharian. Namun, beliau mempunyai keinginan yang tinggi untuk menguasai teknik membaca Al-Quran. Bahkan, beliau pernah berdoa ketika menunaikan haji supaya beliau mampu membaca Al-Quran seperti orang lain.

doa

Ya! Beliau bukanlah hebat dalam ilmu agama. Namun, sedetik perkongsian beliau telah berjaya menyentuh hati saya.

Kata Pak Cik Khir :

Saya ni bukanlah orang hebat agama.. tapi saya bersyukur dengan nikmat Allah. Bila saya lihat kehebatan manusia, saya lihat kehebatan Allah. Piramid yang dibina oleh Firaun di Giza itu tidak akan terbina tanpa kehebatan Allah yang mencipta akal manusia, air yang mengalir, ikan yang berenang juga demikian..

Seluruh jiwa terasa kerdil dengan ucapan tersebut, saya teringat kata-kata Ustaz Dahlan Ahmad Zain :

Diantara peribadi orang muslim dalam erti kata sebenar adalah ; apabila mereka melihat kehebatan manusia, mereka akan melihat kehebatan Allah

Subhanallah, Walhamdulillah wa La IlahaIllah… Allahu Akbar!

PERISTIWA 2 : MAK CIK BALKIS

ARMA

9 pagi, saya telah bertolak bersama Afdhal, Syatibi, Akram dan Hambali ke Asrama Rumah Malaysia Abbasiah ( ARMA ) bagi menyelesaikan beberapa urusan dokumen. Setelah tiba, kami dapati hanya Ustaz Rosni dan bebarapa pegawai sahaja yang baru tiba. Yang lain, mungkin sedang bermesyuarat. Lalu, saya memberi laluan kepada rakan lain bagi menyelesaikan urusan merekaterlebih dahulu, manakala saya menunggu pegawai yang akan menguruskan dokumen saya.

Sementara itu, saya sempat bermain-main dengan Nurul Huda, anak Ustaz Rosni. Budak kecil itu amat lincah dan comel sekali. Yang lebih menarik adalah, beliau tidak pandai berbahasa melayu namun petah berbahasa arab. Sungguh ! saya inginkan si comel yang demikian!

comel

Dalam masa yang sama, saya dapati sepasang suami isteri sedang menunggu ketibaan pegawai yang sama dengan saya. Saya tidak menegur mereka, hanya tersenyum. Kerana, saya amat sibuk dengan Huda.. budak itu mampu mengalihkan perhatian saya 100%.

Setelah pegawai yang dimaksudkan tiba, sepasang suami isteri tadi masuk ke bilik pegawai. Agak lama juga mereka di dalam. Selang beberapa lama, mereka berdua keluar dan terus menuju ke tempat saya melayani Huda. Rupanya mereka mahu meminta bantuan saya bagi mengisi sehelai borang terjemahan.

Setelah selesai, si suami masuk semula ke bilik pegawai bagi meminta cop pengesahan. Maka, ianya adalah peluang saya bersembang dengan Mak Cik Balkis. Bermula dengan bertanya asal usul, Mak Cik Balkis mula menceritakan latar belakang beliau. Dalam umur 42 tahun, beliau telah mempunyai 3 orang anak. Seorang telah meninggal akibat muntah berdarah setelah dua minggu berada di Mesir. Anak kedua sedang menanti konvokesyen MA dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Dan seorang lagi anak beliau berumur 11 tahun sedang mengikuti kursus bahasa Arab di Markaz Nil , Mesir.

Mak Cik Balkis adalah seorang ibu yang amat prihatin dan penyayang. Ketika Arwah anak sulung beliau belajar di Hadhramaut, Yaman. Beliau pernah mengunjungi anak beliau disana, begitu juga menghantar arwah ke Mesir pada 2008, dua minggu sebelum kematian arwah. Hebatnya beliau, saya tidak nampak wajah kekecewaan beliau ketika menceritakan detik kematian anak sulung kesayangannya itu. Bahkan, beliau menggalakkan pula anak keduanya untuk menyambung pengajian dalam bahasa arab di Qatar. Beliau adalah seorang ibu yang amat prihatin terhadap anak-anak. Bayangkan, beliau sangup berulang-alik ke luar Negara bagi melihat perkembangan anak-anaknya. Beliau juga telah 5 bulan berada di Mesir dan turut serta dalam kursus bahasa arab. Kini beliau di Mustawa kedua.

Banyak juga yang saya bualkan dengan beliau: namun, saya sempat menukilkan kata-kata beliau sebelum meninggalkan perkarangan ARMA;

belajar sungguh-sungguh di mesir ni

Anda tahu… itulah kata-kata yang sering disebutkan oleh ibu saya tiap kali saya menghubungi beliau. Itulah kata-kata seorang ibu. Ibu Mithali.

PERISTIWA 3: MUHANDIS THAHIR

cairo

Perjalanan pulang ke Dumyat, saya mulakan dengan menaiki Van dari Hayyu Sabik ke Ramsis. Di dalam van tersebut, saya duduk bersebelahan dengan seorang pak cik arab yang mempunyai sedikit masalah pergerakan. Mungkin disebabkan lutut atau kakinya tidak berfungsi dengan baik. Beliau memperkenalkan namanya sebagau Muhandis Thahir. Muhandis adalah gelaran kepada seorang arkitek. Walaupun mempunyai pekerjaan yang begitu hebat, beliau tidak sombong bahkan teramat ramah dan santun. Beliau bertanya asal usul saya dan saya katakan : Saya orang Malaysia!

Lalu, beliau bertanya adakah saya mengenali Muhammad, Perdana Menteri Malaysia? Jawab saya, itu adalah perdana menteri yang lama, sekarang sudah bertukar kepada Najib. Tetapi, mungkin beliau tidak berjaya memahami jawapan tersebut. Lalu beliau tegas memuji; Muhammad adalah seorang menteri yang ikhlas, sebab itulah Negara Malaysia boleh maju.

Saya hanya tersenyum.Smile 

Muhandis Thahir bertanya lagi, saya belajar dalam kos apa??. Syariah. Lalu beliau bertanya soalan yang amat memalukan saya…. Awak sudah hafal Al-Quran keseluruhannya?? Merah padam muka saya. Lantas beliau memberi nasihat-nasihat percuma kepada saya. Katanya:

Awak perlu menghafal Al-Quran supaya dapat menyebarkan dakwah di Malaysia. Saya kenal Malaysia. Di sana, terdapat berbilang-bilang agama. Ada Buddha, Hindu , dan lain-lain. Awak perlu hafal Al-Quran. Gunakan Al-Quran untuk berdakwah. Dalam Al-Quran terdapat pelbagai mukjizat ilmiah yang telah di benarkan oleh kajian sains moden. Awak cari buku ini di kedai-kedai buku Medan Hussein, Al-Ikjaz Ilmi lil Quran, karangan Dr Zaghlul Najjar. Ada 4 jilid kesemuanya. Ia dapat membantu awak.”

Beliau juga sempat memberi tips hafalan kepada saya:

bacalah Al-Quran dengan penuh cinta. Ia adalah kalamullah. Untuk menghafal, anda perlu ulang-ulang membaca ayat-ayat tersebut. Saya juga telah berjaya menghabiskan 30 juzuk. Sehingga saya mahir dalam ingatan. Saya mampu menghafal sesuatu kenyataan dengan hanya membaca sekali atau dua kali sahaja

PENUTUP : EPISOD CINTA DARI ILAHI

episod cinta

Keyakinan saya adalah. Perjalanan kurang 48 jam saya di Kaherah adalah ketentuan Ilahi. Perkongsian ini bukan hanya untuk saya sahaja,malahan juga untuk rakan pembaca sekelian. Allah mahukan kebaikan dari diri kita. Semoga ia bermanfaat dalam meneruskan baki-baki kehidupan kita di muka bumi ini. Setiap seorang yang saya temui dari ketiga-tiga peristiwa ini mempunyai latar belakang yang berbeza. Namun, kesemuanya mampu melonjak episod cinta dari Illahi. Cinta yang melahirkan ketenangan, membuahkan peranan.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Barangsiapa yang Allah hendaki kebaikan lahir dari seseorang, maka Allah akan fahamkan dia dalam urusan Agamanya

[Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim]