Alhamdulillah. Penuh kesyukuran saya panjatkan kepada Allah s.w.t., dek kerana nikmat kurniaannya kita mengecapi kesenangan sementara di dunia ini.

Amma Ba`d,

Usai solat Jumaat 15 Jun, saya pulang ke rumah lantas memeriksa peti email yahoo milik saya. Menunggu keputusan dari pihak Must Read SDN BHD. Adakah manuskrip “50 Kisah Menarik Riwayat Imam al-Bukhari” diluluskan mahupun tidak.

Alhamdulillah. Mereka telah menyatakan kelulusan dalam email yang dibalas.

buku

SINOPSIS BUKU

Saya masih tidak pasti bilakah buku tersebut akan berada di Pasaran. Saya harap ia akan cepat berada di pasaran dan memberi manfaat kepada seluruh umat Islam.

Buku tersebut merupakan himpunan hadis dari rekod Imam Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah. Al-Ju`fi.  Al-Bukhari. Digelar juga Syeikhul Islam dan Imam al-Huffaz.

Beliau menghimpunkan 7563 Hadis sahih didalam buku beliau: Jami` al-Sahih atau lebih dikenali dengan Sahih al-Bukhari.

Dari hadis-hadis tersebut, saya memilih lima puluh hadis yang memberikan lima puluh gambaran cerita yang pernah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w.

Menariknya, kebanyakan cerita yang dipaparkan merupakan dari Rasulullah s.a.w. sendiri. Seperti: Kisah Si Sopak, Botak dan Buta, Kisah Musa dan Khidhir, Kisah Dajjal, Kisah 1000 Dinar (Keajaiban Tawakkal), Kisah Terperangkap Di Dalam Gua, dan banyak lagi.

Saya juga menyertakan rekod bagi setiap hadis yang dipaparkan. Ianya bagi memudahkan para pembaca menyemak semula hadis tersebut dari buku asalnya (Sahih al-Bukhari).

40 MENJADI 50

Pada mulanya, saya berhajat memilih empat puluh hadis sahaja bagi menepati hadis:

Siapa yang menyimpan ke atas umatku sebanyak empat puluh hadis, dalam perkara agamanya, nescaya dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari Kiamat nanti dalam kalangan Fukaha` dan Ulama`.

Namun, hadis tersebut disahkan sebagai lemah (Dhoif) oleh para pengkaji hadis. (Rujuk Muqaddimah Syarah Empat Puluh Hadis an-Nawawiah)

Walaupun hadis berkenaan masih boleh dijadikan Fadilat amalan, saya bertekad tidak mengamalkannya, dek kerana sebuah hadis lain yang dipakai oleh para penggumpul 40 hadis adalah lebih kuat dan sahih:

Semoga orang yang hadir dapat menyampaikan kepada orang yang tidak hadir. Barangkali orang yang hadir itu menyampaikan kepada orang yang lebih memahami perkara tersebut berbandingnya.

[Rekod Sahih al-Bukhari: 67]

HAJAT

Saya berharap, buku ini akan memberi manfaat ilmu kepada seluruh pembaca dan penyampainya.

Rasulullah berkata dalam hadis yang popular:

Apabila seorang manusia telah meninggal dunia, terpotonglah (terhentilah) semua amalannya melainkan tiga perkara: (1) Melainkan sedekah jariah, (2) atau ilmu yang bermanfaat, (3) atau anak soleh yang mendoakannya.

[Rekod Sahih Muslim: 1631]

Semoga Allah memudahkan urusan hamba-hambanya mencari nilai ketaqwaan.

Wallahu Alam.