Demokrasi adalah sebuah pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih dalam pilihan raya.

(Rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka)

Apabila definasi tersebut difahami, maka setiap pemerintah akan sedar bahawa mereka hanyalah wakil kepada sistem rakyat. Bukan mereka pemiliknya, tetapi mereka bekerja untuk kebajikan rakyat.

Oleh itu, penulis bersetuju dengan slogan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PRU12 :

Bekerja Bersama Saya, Bukan Bekerja Untuk Saya

pak lah

Islam tidak memerangi demokrasi. Bahkan Islam mengiktiraf bahawa demokrasi mempunyai banyak unsur yang diperjuangkan Islam, antaranya keadilan dan tanggungjawab.

Allah berfirman, (Maksudnya):

Sesungguhnya Kami telah utuskan semua utusan Kami dengan pelbagai penjelasan (bukti dan mukjizat). Dan Kami turunkan bersama mereka sebuah kitab dan neraca timbangan supaya mereka menegakkan al-Qisth dikhalayak manusia.

[Al-Hadid: 25]

Apakah makna al-Qisth? Al-Qisth adalah keadilan. Allah menyuruh para rasul berurusan dengan manusia dengan keadilan. Keadilan adalah neraca timbangannya. Apabila keadilan musnah, maka musnahlah satu pemerintahan yang gemilang.

Lebih merisaukan adalah semakin ramai pemimpin dan orang ramai kehilangan personaliti tanggungjawab. Tanggungjawab yang akan dipersoalkan dihadapan Allah Taala.

Rasulullah pernah mengingatkan umatnya:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang imam (pemerintah) bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin kepada ahli keluarganya dan dia akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin dirumah suaminya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Orang suruhan adalah pemimpin pada (pengurusan) harta tuannya, dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada harta bapanya dan bertanggungjawab atas kepimpinannya. Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab atas kepimpinannya.”

[Rekod Sahih al-Bukhari: 893]

Apabila kita memahami konteks keadilan dan tanggungjawab serta tuntutan syarak terhadapnya. Maka kita akan ketahui bahawa diri kita akan dihadapkan dihadapan Allah Taala. Setiap perkara yang kita lakukan akan diperhitungkan. Tanpa mengira agama, bangsa, pangkat, jawatan, nama dan sebagainya.

Disana tiada lagi perbezaan. Semua manusia sama. Namun, alangkah sedihnya: umat Islam kini terlupa memikirkan soal berhadapan dengan Allah. Tidak seperti umat yang awal, mereka menjadikan pandangan Allah yang paling utama. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata:

Sekiranya seekor kambing mati sia-sia diatas sungai Furat, tidakkah kamu melihat bahawa aku akan dipersoalkan tentangnya dihadapan Allah di hari Akhirat kelak?

[Ruj. Kerajaan Islam dan Hak Bekerja, al-Qaradhawi]

Allah berfirman (Maksudnya):

Allah memerintahkan kamu semua untuk menunaikan amanah kepada keluarga kamu. Apabila kamu menjalankan hukuman sesama manusia, maka berhukumlah dengan keadilan.

[Annisa`: 58]

Wallahu alam.

 jalur-gemilang-8

p/s: Penulis bukan ahli dalam mana-mana parti politik.