Guru saya, Ustaz Dahlan Mohd Zain (Meninggal 1431H) seorang ulama dari negeri Perlis pernah berkata:

“TARBIYAH tanpa DAKWAH, takkan ke mana-mana,

DAKWAH tanpa TARBIYAH, sia-sia”

Kata-kata ini sentiasa berlegar dan bermain dalam ucapan setiap anak muridnya. Bahkan, saya sendiri begitu teruja dengan kata-kata ini.

Otherland_II_wallpaper_by_webby85

Dari kefahaman saya, proses pentarbiahan (Pendidikan, Pembentukan, dan Pengkaderan) tidak mampu bergerak dengan baik apabila proses tersebut  tidak bermatlamatkan dakwah. Contohnya: sebuah sekolah yang dipenuhi sarana pengajian ilmu agama dan ilmu keduniaan moden yang hebat, dididik oleh guru-guru yang hebat, tidak akan mampu membina masa depan ummah dan masyarakat yang berjaya jika dakwah Islamiah tidak menjadi tulang belakang dalam setiap proses tersebut. Ia seumpama sebuah acuan yang dibina hanya untuk dihapuskan, bukan untuk membentuk.

Inilah yang dimaksudkan dengan Firman Allah Taala:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya:

Dan siapakah yang lebih baik perkataannya berbanding orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari kalangan orang Islam (yang berserah diri kepada Allah secara total)”

[Al-Fushilat: 33]

Demikian juga Dakwah, ia akan menjadi satu seruan yang sia-sia apabila tidak didasari sebarang proses Tarbiah yang benar dan ikhlas. Contohnya: Sebuah pertubuhan yang menyeru kembali kepada Islam hanya akan menjadi persatuan kosong apabila ia tidak di dasari sebarang proses tarbiah, bilangan yang mengikut amat minima, dan pengikut pula berjuang tanpa matlamat dan bercita-cita kosong. Bahkan, dakwah yang tidak didasari oleh tarbiah akan menghasilkan kecelaruan dalam kefahaman umat Islam, seterusnya akan menjadi amalan yang sia-sia di dunia dan akhirat.

Allah Taala berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya:

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan (balasan baik) pada Hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.

[Al-Ahzab: 21]

Persoalannya, bagaimana mahu menjadikan Rasulullah ikon ikutan dalam dakwah dan kehidupan seandainya tiada didikan (Tarbiah) dari al-Quran, as-Sunnah dan Sirah Rasulullah?? Apa erti sebuah dakwah seandainya tiada metodologi yang kukuh untuk menjayakannya?

Tuntasnya, Dakwah dan Tarbiah adalah dua perkara yang perlu bersatu dan tidak terpisah, oleh itu ambillah keduanya dengan sekata.

(HEBAHAN)

·         Insyaallah pada hari Jumaat (30 September 2011) akan di adakan sebuah perkongsian maya yang dinamakan Halaqah Maya-SKYPE”.

·         Untuk perkongsian pertama ini, tajuk yang akan dibentangkan adalah “Pemuda dan Harapan Ummah”.

·         Bahan akan disediakan berdasarkan buku “Hatta Ya`lamal Syabab

·         Oleh itu, saya menjemput semua yang berminat untuk add username Skype : she_hub.

·        Insyaallah perkongsian akan bermula pada 2.30 ptg waktu Mesir (8.30 malam waktu Malaysia).

·         Penyertaan adalah terbuka. Jika masih tidak ada account dan software skype, sila download disini: link

~Sebar-sebarkan~

HALAQAH MAYA