19-20 Oktober 2011. Persatuan Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP) akan mengadakan dua program mega tahunan. PERMATA`11 dan Mensyuarat Agung Tahunan (MAT) `36. Sejak dari awal, saya telah merancang untuk memberi komitmen dalam program tersebut, namun pelbagai kesukaran telah berlaku sehingga menyebabkan saya tidak dapat menghadiri program anjuran KPP itu.

KPP adalah satu badan kebajikan yang penting buat pelajar-pelajar dari negeri Perlis di Mesir. KPP banyak membantu memudahkan pengurusan pelajar di sini. Bahkan, sejak dari awal saya menjejakkan kaki di bumi Mesir ini, KPP telah menghantar wakilnya iaitu: Ustaz Syed Aisham, Ustaz Nurul Iman, dan Ustaz Zainureen telah datang menjemput saya.

Walaupun saya berada di Dumyat (sebuah negeri di Mesir) yang terletak 4 jam menaiki van, saya tetap komited dengan sebarang program mega KPP. Bahkan, saya merasa sangat kecewa seandainya tidak dapat menghadiri setiap program yang dirancangkan.

USUL MENSYUARAT AGUNG

MAT TAHUN LEPAS

Pada 28 September 2011, saya telah menyiapkan satu usul untuk dibawa ke Mensyuarat Agung Tahunan ke 36 (20/10/11), tetapi usul tersebut tidak dapat saya utarakan dan bentangkan disebabkan masalah yang sangat rumit dijelaskan.

Usul berbunyi: “Memperkasakan Modal Dakwah Ahli KPP” itu membincangkan tanggungjawab dakwah dan permasalahan umat yang amat memaksa penghasilan para pendakwah yang aktif, memahami Islam dengan mendalam, serta mempunyai aset dalam berdakwah. Saya juga telah menyiapkan beberapa cadangan bagi menjayakan usul tersebut bagi setiap peringkat pengajian.

Namun, perancangan saya ini tidaklah sehebat Tuhan yang menciptakan. Hakikatnya, saya tidak dapat menghadiri MAT`36, dan usul saya tidak akan dibahas. Tetapi, tekad perjuangan tidak pernah luntur. Saya bertekad, tahun depan – jika masih dipanjangkan umur- saya akan membentangkan usul tersebut dengan pemerhatian dan kajian yang lebih mendalam, insyaallah.

UKHUWAH DAN KASIH SAYANG KPP

KPP adalah satu badan yang sangat dekat di hati saya. Walaupun keahliannya tidaklah seramai ahli badan kebajikan rumah negeri yang lain, tetapi cukuplah ia dapat mengeratkan ukhuwwah antara pelajar-pelajar negeri Perlis di Mesir.

Rasulullah SAW pernah berkata:

Maksudnya:

Kamu semua tidak akan dapat memasuki syurga melainkan kamu beriman, dan kamu tidak akan dapat beriman melainkan setelah kamu saling berkasih sayang…

[Direkod oleh Muslim]

Akhir kalam, selamat bermesyuarat, semoga Allah memberkati kita.

Wallahu`alam bi shawab..

mykpp_thumb[2]