Header Ads

test

Memahami Hudud Dalam Konteks Islam

Seorang wartawan surat kabar terkemuka di Malaysia telah mengeluarkan wawancaranya bersama para artis terhadap persoalan hukuman hudud: “Wajar atau Tidak?”. Lalu keluarlah satu kenyataan yang jahil begini:

“Memang zaman dulu orang Islam mengamalkan hukum hudud kepada mereka yang membuat kesalahan contohnya bagi mereka yang berzina, hukuman sula akan , dikenakan. Tapi rasanya sekarang, ia tidak lagi sesuai. Malah kita wajar memberi peluang kepada pesalah untuk berubah. Kalau hukum hudud dijalankan, pesalah terbabit terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak sempurna seperti tiada tangan, kaki dan sebagainya. Semua ini tidak akan menjamin mereka insaf sepenuhnya.”

[Sinar Harian, 5 Oktober2011]

Kita sangat tertanya-tanya, bilakah wujudnya hukuman sula terhadap penzina? Bukankah itu hanya adegan celaru dalam filem “Semerah Padi” lakonan P. Ramlee? Dan apakah anggota lain yang akan dipotong selain kaki dan tangan? Owh.. sungguh mengelirukan!

Walaupun tidak semua artis berfikiran demikian sepertimana Wardina Safiya yang memberi nasihat kepada rakan artisnya melalui Twitter supaya tidak mengeluarkan pendapat terhadap perkara yang mereka tidak tahu, namun hal ini perlu dijelaskan supaya kecelaruan kefahaman tidak berlaku.

LITERAL ARAB

Hudud/Had (الحد) dari sudut bahasa arab bermaksud: terpisah dan larangan. Oleh itu, tukang besi dan warden penjara dipanggil had-daad (الحدّاد), kerana keduanya bersifat melarang sesuatu dari keluar. Begitu juga pengawal keselamatan rumah dipanggil Hadad (الحداد) kerana tugasnya melarang orang yang tidak berkaitan masuk ke dalam rumah. Begitu jugalah Hudud Allah yang dapat melarang penjenayah dari mengulangi perbuatan jahat itu lagi.

islam is loveDEFINASI SYARAK

Para ulama telah terbahagi kepada dua kumpulan dalam mendefinasikan makna hudud.

Ulama aliran Hanafiah berkata: “Hudud adalah satu hukuman yang telah ditentukan, wajib dilaksanakan sebagai menepati hak Allah.”

Dari definasi ini, ulama Hanafiah telah membahagikan kes hudud kepada lima bahagian sahaja: (1) Kes Pencurian, (2) Kes Zina, (3) Kes Minum Arak, (4) Kes Mabuk, dan, (5) Kes Penyaksian Palsu.

Manakala, majoriti ulama (الجمهور) telah berpendapat: “Hudud adalah satu hukuman yang telah ditentukan secara syari`, sama ada ia hak Allah mahupun hak hamba”.

Oleh itu, mereka menyatakan bahawa kes hudud mempunyai lapan bahagian: (1) Kes Zina, (2) Kes Penyaksian Palsu, (3) Kes Minum Arak, (4) Kes Pencurian, (5) Kes Rompakan, (6) Kes Tidak Mentaati Pemimpin, (7) Kes Murtad, dan (8) Kes Pembunuhan Sengaja Yang Mewajibkan Qishash.

SUATU PERINGATAN

Nabi saw sangat mengambil berat terhadap perlaksanaan hudud bagi menjaga kemaslahatan kehidupan manusia. Juseru, Nabi saw bersabda seperti yang direkodkan oleh al-Bazzar:

 “Berhati-hatilah kalian dengan neraka, berhati-hatilah kalian dengan hudud, berhati-hatilah kalian dengan neraka, berhatilah kalian dengan hudud, berhati-hatilah kalian dengan neraka, berhati-hatilah kalian dengan hudud – sebanyak tiga kali-, seandainya aku telah mati, lalu aku tinggalkan kalian, dan aku akan menunggu di al-Haudh (telaga). Siapa yang berjaya sampai di sana, maka dia telah berjaya.”

[Direkod oleh Al-Bazzar: 5110, At-Thabrani: 12345]

KEPENTINGAN HUKUMAN

Apabila hudud dilaksanakan, maka jenayah tidak akan lagi tersebar luas lalu negara akan menjadi aman dan tenteram. Ini dibuktikan dengan perlaksaan hudud di Arab Saudi yang menyaksikan kadar jenayah paling sedikit direkodkan. Oleh itu nabi amat mengambil berat terhadap permasalahan jenayah hudud yang terang-terang dilakukan tanpa sebarang keraguan.

KEWAJIPAN PERLAKSANAAN

Rasulullah saw bersabda:                                                        

“Tegakkanlah hudud Allah di tempat yang dekat dan jauh, serta janganlah kalian  hiraukan celaan orang yang mencela ketika dijalan Allah.”

[Direkod oleh al-Hakim- Adz-Dzhahabi berkata: Shahih]

Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari telah meriwaatkan sebuah hadith yang menceritakan suatu peristiwa hebat di zaman Rasulullah saw. Ketika itu, terdapat seorang wanita dari kaum al-Makhzumiah yang telah di dapati bersalah dalam kes mencuri, lalu perintah memotong tangan sudah dikeluarkan. Kaum Quraisy yang memandang mulia kaum al-Makhzumiah telah berbincang untuk membuat rayuan kepada Rasulullah saw, lantas mereka melantik Usamah bin Zaid sebagai wakil mereka.

Usamahpun menjalankan tugasnya, lalu berbincang dengan Rasulullah saw. Setelah mendengar rayuan tersebut, Rasulullah saw berkata:

“Wahai Usamah! Adakah kamu mahu memberikan pertolongan dalam kes Hudud Allah?!”

Kemudian baginda bangun lalu berkata kepada orang ramai:

“Sesungguhnya, umat yang terdahulu telah dihancurkan kerana apabila salah seorang (dari kaum) yang termulia dikalangan mereka mencuri, mereka akan meninggalkannya. Tetapi apabila orang yang lemah pula mencuri, mereka melaksanakan hukuman. Demi Allah! Seandainya Fathimah binti Muhammad (puteriku) mencuri, pastinya aku akan memotong tangannya!”

[Direkod oleh al-Bukhari: 6788]

Wanita tersebut dipotong tangannya, lalu dia bertaubat dengan taubat nasuha. Peristiwa ini menjadi bukti ketegasan Islam dalam menegakkan keadilan atas landasan kebenaran dan cinta kepada Allah Taala.

Tuntasnya, hudud adalah suatu tuntutan perlaksanaan yang wajib ditegakkan, walaupun dimana-mana sahaja tempat dan negara, seandainya suasana telah kondusif. Siapa sahaja umat Islam yang menafikan perlaksanaan hudud, walau dengan apa dalih sekalipun, perlulah bertaubat segera kerana ia adalah Perlembagaan Allah yang terdapat hujah kuat dari al-Quran dan as-Sunnah.

image

Disediakan oleh:

Syihabudin Ahmad MY,

Tahun 3, Kuliah Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Jabatan Syariah Islamiah,

Universiti al-Azhar, Cawangan Dumyat, Mesir.

[8 Oktober 2011/11 Dzulkaedah 1432H]

No comments

Powered by Blogger.