[www.win-7themes.blogspot.com] (22)

Qunut adalah satu doa yang dibaca ditempat yang khusus dalam solat.

Menurut Mazhab Syafiie, ia dilakukan ketika selepas Rukuk rakaat kedua solat subuh.

Lazimnya di Malaysia kita menyebut ia sebagai Doa Qunut.

Doa Qunut ini boleh berlaku dalam tiga keadaan:

1-      Solat Subuh

2-      Solat Witir

3-      Dan Solat Fardhu (Ketika waktu ditimpa musibah)

Namun, dalam kesempatan ini kita hanya akan melihat perbahasan ulama (secara ringkas) pada solat subuh sahaja.

Qunut Subuh menurut selain Mazhab Syafii

1)      Mazhab Hanafiah dan Hanabilah

Menurut kedua mazhab ini, Qunut pada waktu subuh itu tidak disyariatkan. Ia jugalah pendapat yang dipegang oleh ulama dari kalangan para sahabat seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Mas`ud, dan Abi Darda` radhiallahu anhum.

Imam Abu Hanifah berkata : Qunut pada waktu fajar (subuh) adalah bid`ah.

Pendapat ini berhujahkan sebuah hadis :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ ثُمَّ تَرَكَهُ

Bahawa Nabi saw telah berqunut selama sebulan bagi mendoakan keburukan kepada  segolongan dari kelompok arab, kemudian baginda meninggalkan (doa qunut tersebut).

[Hadis Riwayat Muslim ]

Penjelasan : Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah saw berqunut, kemudian meninggalkan perbuatan tersebut. Perbuatan Rasulullah yang meninggalkan qunut itu menandakan bahawa ia adalah mansukh (dibatalkan).

2)      Mazhab Malikiah

Menurut Mazhab Imam Malik yang popular, Qunut subuh adalah digalakkan dan mempunyai kelebihan kerana Nabi saw sendiri mempraktikkannya.

Anas bin Malik berkata :

ما زال رسول الله صلى الله عليه و سلم يقنت في الفجر حتى فارق الدنيا

Rasulullah saw sentiasa berqunut sehinggalah baginda berpisah dari dunia (wafat).

[Hadis Riwayat Ahmad]

Ali bin Ziyad berpendapat wajibnya qunut subuh. Siapa yang tidak berqunut, maka terbatallah solatnya.

Qunut Subuh Menurut Mazhab Syafii

Menurut Mazhab Syafiie pula, Qunut subuh adalah sunat sahaja. Tidak wajib.

Imam Nawawi berkomentar :

“Ketahuilah bahawa berqunut pada waktu subuh itu adalah disyariatkan menurut pendapat kami, ia adalah sunat muakkad (yang dituntut).”

[Rujuk: Al-Azkaar]

Mereka berhujah dengan hadis yang sama yang digunakan oleh mazhab Malikiah.

Namun, mereka berpendapat :

Sekiranya meninggalkan (doa qunut pada waktu subuh) tidak terbatal solat, tetapi perlulah sujud sahwi. Sama ada meninggalkan dengan sengaja atau terlupa.

_________________________

Rujukan : Mausu`ah Fiqhiah. Jilid 34.