[www.win-7themes.blogspot.com] (27)

Masyhur Hasan Salman menulis dalam bukunya : Al-Qaulul Mubin Fi Akhta`ul Mushollin, bahawa Abu Abdullah Az-Zubairy telah tersalah faham dari kata-kata Imam Asy-Syafiie.

Abu Abdullah menyangka bahawa Imam Asy-Syafiie mewajibkan lafaz niat pada solat.

Sebab salah faham tersebut adalah : lemah kefahamannya terhadap ibarat yang diberikan oleh Imam Asy-Syafiie.

Kitab popular dalam Mazhab Asy-Syafiie, iaitu Al-Majmuk menyebutkan kenyataan berikut :

“Para ulama telah bersepakat bahawa: Solat tidak sah melainkan (disertai) dengan niat.. sekiranya seseorang berniat dalam hatinya maka telah memadai menurut mazhab, dan itu juga yang diputuskan oleh majoriti ulama.

Dan disana terdapat pandangan yang disebutkan oleh penyusun, dan juga disebutkan oleh yang selain itu.

Telah berkata pemilik (kitab) Al-Haawi, dan ia adalah kenyataan Abi Abdulah Az-Zubairy, bahawa tidak mamadai (dengan hanya berniat dihati) sehinggalah bergabungnya niat hati dan lafaz dengan lidah, kerana Asy-Syafiie rh pernah berkata dalam (permasalahan) haji: Jika seseorang itu berniat untuk mengerjakan haji atau umrah, maka ia sudah memadai, walaupun ia tidak dilafazkan. Tidak seperti solat, yang tidak dianggap sah melainkan dengan “an-Nutq”.

Ashab (mazhab) kita telah berkata : Orang yang mengatakan (kenyataan) ini telah salah. Asy-Syafiie tidak memaksudkan (An-Nutq) dengan melafazkan (niat) dalam solat, bahkan dia menghendaki maksud: Takbir (takbiratul ihram).

Sekiranya seseorang itu melafazkan (niat) dengan lidahnya, tapi tidak berniat di hatinya, maka tidak sah solatnya secara ijmak. Walaupun dia berniat dihatinya untuk solat zohor, tetapi lidahnya berkata solat Asar, maka sah solat Zohornya.”

Dengan itu jelas kepada kita bahawa, Imam Asy-Syafiie tidak mewajibkan lafaz niat. Lagipula, lafaz niat dan hakikat niat itu sendiri adalah dua perkara berbeza.

Imam Ibnu Qayyim rh mempertahankan Imam Asy-Syafiie

Ibnu Qayyim berkata:

“Apabila Rasulullah saw bangun untuk bersolat, baginda melafazkan ((Allahu Akbar)). Baginda tidak berkata apa-apapun sebelumnya, mahupun sesudahnya sedikitpun. Baginda tidak berkata: ‘Aku bersolat ini (contoh zohor, asar, dll –pent) kerana Allah, dengan menghadap kiblat, sebanyak empat rakaat selaku imam, atau makmum”. Baginda juga tidak berkata : tunai atau ganti (qadha`), tidak juga kefardhuan waktu. Semua itu adalah bidaah (perkara yang diada-adakan). Tidak pernah dinukilkan dari siapa pun dengan sanad yang sahih, lemah (dhaif), musnad (bersambung sanadnya), ataupun mursal (ada perawi yang gugur dalam sanadnya) satu perkataan pun tentangnya. Bahkan, tidak juga dinukilkan dari seorang sahabat nabi, para tabiin, dan imam mazhab empat.

Pendapat ini muncul akibat sebahagian ulama lampau yang tersilap faham dari kenyataan Asy- Syafiie ra dalam perihal solat: (katanya) ‘Solat tidak sama seperti puasa, tidak ada seorang pun yang memasuki solat melainkan dengan zikir’. Mereka menyangka zikir itu adalah lafaz niat orang yang ingin bersolat, sedangkan Asy-Syafiie rh menghendaki maksud zikir itu dengan takbiratul Ihram, tidak selain itu.

Bagaimana Asy-Syafiie akan menggalakkan sesuatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw sekalipun? Tidak juga dilakukan oleh para pengganti (khulafa`) baginda, tidak juga para sahabat-sahabatnya. Demikianlah petunjuk mereka dan jalan hidup mereka.

Sekiranya ada yang datang dari mereka itu satu huruf pun tentang perkara tersebut, pasti kita menerimanya. Kita akan menerimanya dengan penuh rela, tiada petunjuk yang lebih sempurna melainkan petunjuk mereka. Tiada satu sunah pun melainkan apa yang diambil dari Rasulullah saw.”

Dengan itu, jelas kepada kita bahawa lafaz niat bukanlah berasal dari kenyataan Imam Asy-Syafiie mahupun selain darinya.

Hendaklah kita menjauhi perbuatan yang tiada sumber dan hujah yang jelas.