Iktikaf dari sudut syarak membawa maksud : Berada dalam masjid dengan niat yang khusus.

Dalil Disyariatkan

                Firman Allah Taala :

وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ

Dan janganlah kamu menyetubuhi mereka (isteri-isteri kamu) sedangkan kamu beriktikaf di Masjid.

 [Al-Baqarah : 187]

Aisyah ra juga pernah bercerita:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِه.

“Nabi saw telah beriktikaf pada sepuluh akhir bulan Ramadhan. Kemudian isteri-isteri Baginda beriktikaf selepas kewafatannya.”

[Hadis Riwayat Al-Bukhari]

Hikmah Disyariatkan

Disyariatkan iktikaf untuk menjadi usaha yang mengumpulkan segala niat yang baik dan menyucikan hati, juga mendidik jiwa supaya zuhud terhadap syahwat (keinginan) yang dibenarkan dan menjauhkan diri daripada melakukan pelanggaran dan dosa.

Hukum Iktikaf

Iktikaf sunat dilakukan pada setiap masa. Pada bulan Ramadhan, ia disunatkan lagi. Pada sepuluh malam terakhir pula, ia lebih ditegaskan lagi hukum sunatnya. Bagi yang bernazar, maka wajib baginya untuk beriktikaf.

Syarat Sah

1-      Niat

2-      Berada dalam Masjid

Adab iktikaf

1-      Memenuhkan masa dengan melakukan ketaatan kepada Allah seperti zikir, membaca Al-Quran, dan perbincangan ilmu.

2-      Berpuasa.

3-      Dilakukan dalam masjid yang dilakukan solat Jemaah dan Jumaat padanya.

4-      Tidak bercakap melainkan perkara yang baik-baik

Perkara Makruh Ketika Iktikaf

1-      Berbekam, apabila perbuatan ini tidak mengotorkan masjid. Sekiranya ia mengotorkan masjid maka diharamkan.

2-      Terlalu banyak melakukan pekerjaan lain seperti menenun bulu, menjahit, dan sebagainya. Begitu juga jual beli walaupun sedikit.

Perkara Yang Merosakkan Iktikaf

1-      Bersetubuh

2-      Keluar daripada masjid dengan sengaja tanpa hajat

3-      Murtad, mabuk dan gila

4-      Keluar haid dan nifas.

Orang yang beriktikaf dibolehkan untuk menghentikan iktikafnya dan keluar dari masjid apabila dia mahu. Apabila dia masuk semula ke dalam masjid, dia hendaklah memperbaharui niat iktikafnya.

______________________

Rujukan

1-      Feqh Manhaji Ala Mazhab Imam Asy-Syafii, Darul Qalam, Damsyik, Syria. 2008

2-      Feqh Al-Muyassar Fi Dhauil Quran Was Sunnah, Maktabah Salsabil, Kaherah, Mesir.