Sebahagian isteri Rasulullah dinikahi bagi menyatukan hatinya dan isterinya, serta dengan kabilah sekitarnya. Sepertimana yang diketahui, sekiranya seseorang individu itu mengahwini salah seorang wanita dari suatu kabilah, puak atau bangsa, maka dia akan menjadi salah seorang dari mereka. Dengan itu, mereka akan saling tolong menolong antara satu sama lain dan saling kuat menguatkan antara mereka.

Sayyidah Juwairiyah binti Al-Haris dikahwini atas hikmah ini. Dia merupakan anak ketua bani Musthaliq yang ditawan ketika peperangan. Lalu dia mahu membebaskan dirinya dengan membayar fidyah. Lantas dia berjumpa dengan Rasulullah dan meminta pertolongan dari baginda. Rasulullah memberi cadangan kepada Sayyidah Juwairiah untuk mengahwininya dengan mahar bayaran fidyah, lalu dipersetujui.

Apabila tersebar berita perkahwinan tersebut, para sahabat berkata: “Adakah layak para ipar-ipar Rasulullah berada di bawah tawanan kita?” lantas mereka membebaskan semua tawanan dari bani Mustholiq.

Setelah bani Musthaliq melihat kemuliaan perilaku Rasulullah dan para sahabat baginda, mereka terus memeluk agama Islam. Setelah itu, Bani Mustholiq menjadi satu kabilah yang sangat kuat menyokong dan menyebarkan dakwah Islam.