Buka Minda | Isu "Allah", Ambil Iktibar Kisah Imam Ahmad dan Al-Bukhari

Dahulu, di zaman Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Al-Bukhari, mereka menjadi mangsa apabila kerajaan memperjuangkan isu yang pelik-pelik.

Ketika itu, kerajaan Islam Abbasiah terpengaruh dengan fahaman Muktazilah. Fahaman yang meletakkan pengaruh akal sebagai yang tertinggi.

Muktazilah berfahaman "Al-Quran itu Makhluk". Lalu Imam Ahmad dipenjara dan diseksa kerana mempunyai pendapat yang berbeza. Imam Ahmad kata, Al-Quran itu bukan makhluk. Apa-apa yang berkaitan Al-Quran bukan makhluk.

Lalu, Imam Ahmad dipenjara dan diseksa.

Imam Al-Bukhari pula, mengambil pendekatan berhati-hati dalam isu ini. Namun, pendekatan itu juga memakan dirinya.

Apabila beliau ditanya tentang masalah lafaz Al-Quran, dia menjawab, "Perbuatan kita ini makhluk, manakala lafaz kita termasuk dalam perbuatan kita."

Kenyataan Imam Al-Bukhari seolah-olah bersetuju dengan muktazilah, sekalipun tidak begitu.

Disebabkan hal itu, Imam Al-Bukhari terpaksa keluar dari kampung Naisabur. Rakan-rakan serta gurunya memusuhi beliau.

Guru Al-Bukhari, Muhammad bin Yahya Az-Zuhli berkata,

"Orang yang belajar dengan Al-Bukhari, jangan duduk belajar dengan aku."

Sehinggakan sebahagian penulis sejarah berkata, "Al-Bukhari mati dalam buangan."

Imam Ahmad dan Imam Al-Bukhari, keduanya mempunyai pandangan yang berbeza antara satu sama lain. Tetapi, keduanya menjadi mangsa fitnah disebabkan isu yang remeh, tapi disangka 'besar' oleh sebahagian orang.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah berkata, "Masalah umat bukan lagi pada Al-Quran itu makhluk atau bukan. tetapi masalah umat ialah, mereka tidak mengamalkan intipati Al-Quran."

----------

Demikian juga tentang isu "Allah" ini.

Setiap orang boleh menyokong dan menentang. Tapi, perlu diingat bahawa bukan masalah penggunaan "Allah" yang patut dibesar-besarkan.

Apa yang lebih patut ialah bagaimana "Allah" berjaya mengawal hidup kita? Apakah kita sudah melakukan perintah Allah? Adakah kita menjauhi larangan Allah? Adakah kita sudah mengajak manusia kembali kepada Jalan Allah (Islam)?

Fikirkan.

Like ▶ www.facebook.com/UstazUSA

WallahuAlam