Pelbagai isu sering membuat fikiran kita runsing. Kita tidak mampu untuk membuat keputusan dalam pilihan. Antara dua perkara yang bercampur kebaikan, yang mana harus kita pilih?

Perkahwinan juga satu urusan yang besar. Apakah patut aku berkahwin ketika belajar? Adakah aku patut memilih lelaki ini? Adakah patut aku menolak lamaran pemuda itu?

Islam mengajar kita cara membuat pilihan dengan bijak.

  • DEFINASI

Istikharah: Menurut Ibnu Hajar Al-Asqolani (852 H), “Istikharah ialah memohon jawapan bagi dua pilihan yang terbaik, bagi orang yang hanya boleh memilih salah satu darinya sahaja.”

Istisyarah: Mendapatkan keputusan sesuatu isu selepas sesi perbincangan dengan pakar yang berkelayakan dalam bidang tertentu.

  • DALIL

Telah direkod dalam Al-Quran, surah Ali Imraan, ayat 159, bahawa Allah SWT telah berkata,

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Berbincanglah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya.

Imam Al-Bukhari (256 H) telah merekodkan dalam kitab Jami` As-Sahih (1166) bahawa Jabir bin Abdulullah pernah bercerita,

“Dahulunya Rasulullah SAW telah mengajar kami untuk berIstikharah dalam setiap perkara. Beliau ajarkan kami supaya mementingkannya seperti dia mengajar kami surah-surah dalam Al-Quran…”

  • HUKUM

Para ulama telah bersepakat bahawa hukum Istikharah dan Istisyarah ialah sunat berdasarkan dalil-dalil yang telah disebutkan di atas.

  • MENGAPA PERLU?

Muhammad bin Sholeh Al-Uthaimin (1421 H) berkomentar dalam Syarah Riyadhus Sholihin[3],

“Istikharah itu bersama Allah. Manakala Istisyarah itu bersama pakar dalam bidang dan berkelayakkan. Ia dibuat kerana kemampuan manusia itu lemah dan kurang. Manusia sememangnya dicipta dengan penuh kelemahan, jadi dia menjadi ragu-ragu dalam banyak perkara. Lalu, apa yang patut dia lakukan?

Kami menjawab, dia mempunyai dua jalan. Jalan pertama, dia memohon pilihan dari Allah yang mengetahui apa yang telah terjadi, yang akan terjadi, dan yang tidak akan terjadi. Jalan kedua, dia berbincang dengan kumpulan pakar, berkelayakan, dan amanah.”



  • MANA DAHULU?

Ulama berbeza pendapat dalam menentukan yang mana harus didahulukan. Berbincang atau memohon petunjuk Allah?


Pandangan pertama : Istikharah hendaklah didahulukan.


Muhammad bin Sholeh Al-Uthaimin berkata,

“Apabila seseorang bimbang tentang satu perkara kerana dia tidak tahu akibat dan apa yang akan berlaku (disebabkan keputusannya), maka hendaklah dia berIstikharah … sehinggalah lapang dadanya. Seandainya belum lapang lagi, maka hendaklah dia mengulang buat kali kedua dan ketiga. Jika masih belum lapang dadanya, maka hendaklah dia berbincang dengan orang pakar dan berkelayakan. Setelah itu buatlah pilihan, InsyaAllah ia pilihan yang terbaik.”

Pandangan kedua: Istisyarah hendaklah didahulukan.

Imam An-Nawawi (676 H) berkata,

“Digalakkan untuk mendahulukan Istisyarah sebelum Istikharah dari orang yang mengetahui nasihat, bantuan, dan pengalaman. Dalam keadaan orang itu hendaklah dipercayai dari sudut agama dan pengetahuannya. Allah Taala berkata, “dan berbincanglah dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan kamu)..” (Ali Imran, 159). Selepas berbincang lalu jelaslah keputusannya, maka berIstikharah lah kepada Allah Taala.”

Pandangan yang terpilih : Saya berpendapat bahawa Istikharah dan Istisyarah mempunyai kesalingan antara satu sama lain. Apabila mengamalkan kedua-duanya maka lengkaplah ia sepertimana diajarkan Nabi SAW. Kerana Istikharah tidak boleh ada tanpa Istisyarah. Istisyarah tidak boleh ada tanpa Istikharah .

  • DALAM ASPEK MANAKAH DIBENARKAN ISTIKHARAH ?

Istikharah hanya boleh berlaku dalam perkara Harus dan Sunat sahaja. Ia tidak boleh berlaku pada perkara Wajib, Makruh, ataupun Haram.

Tidak boleh berIstikharah bagi meilih berzina atau berkahwin. Tidak boleh berIstikharah untuk hisap rokok atau meninggalkannya. Tidak boleh berIstikharah untuk solat Subuh atau tidak.

  • STATUS HADIS

Dalam rekod At-Thobrani (980), dikatakan bahawa Rasulullah berkata,

مَا خَابَ مَنِ اسْتَخَارَ ، وَلاَ نَدِمَ مَنِ اسْتَشَارَ

“Tidak akan kecewa bagi yang melaksanakan Istikharah dan tidak akan menyesal bagi orang yang suka berIstisyarah”

Dalam sanad hadis di atas terdapat seorang lelaki bernama Abdul Quddus bin Habib. Dia ialah seorang pendusta. Ibnu Hibban menggelar dia sebagai Pemalsu Hadis.

Hadis ini adalah hadis palsu. Ia ialah satu pendustaan apabila disandarkan kepada Rasulullah SAW. Namun kenyataan ini mempunyai hikmah yang besar. Kerana Istikharah dan Istisyarah merupakan cara yang menjadi anjuran Islam.

Apabila mahu menyebarkan kata-kata ini, pastikan ia tidak disandarkan kepada Rasulullah SAW.

  • ISTIKHARAH DALAM PERKAHWINAN

Istikharah dianjurkan dalam setiap perkara. Lebih-lebih lagi apabila perkara itu melibatkan urusan yang besar. Perkahwinan merupakan satu urusan yang sangat besar. Jadi, ia memerlukan Istikharah dan Istisyarah.

  • SYARAT AHLI DALAM ISTISYARAH

  1. Pakar dalam bidang, berkelayakan, dan berpengalaman.
  2. Hendaklah seorang yang soleh dan amanah.

  • CARA SOLAT ISTIKHARAH

Niat


Tempat niat adalah hati. Tidak perlu melafazkan apa-apa sebutan. Berniatlah untuk melakukan Istikharah bagi mendapat petunjuk.

Bilangan Rakaat

Sebaik-baik sembahyang Istikharah adalah dua rakaat, inilah yang disepakati oleh ulama 4 mazhab. Namun ia tidak terhad dengan 2 rakaat sahaja. Boleh menambah lagi rakaat sekiranya mahu.

Waktu

Tiada waktu khusus untuk solat Istikharah. Jadi umat Islam boleh solat Istikharah pada bila-bila masa. Asalkan tidak dilaksanakan pada waktu yang dilarang solat.

Bacaan Surah Pilihan:

Selepas bacaan al-Fatihah, dianjurkan kepada orang yang bersembahyang Istikharah untuk membaca surah berikut :

  • Rakaat Pertama : Al-Kaafirun ( Qul Ya Ayyuhal Kaafirun)
  • Rakaat Kedua : Al-Ikhlaas ( Qul Huwa Allah Hu Ahad)

Bacaan Doa Istikharah :

Doa sembahyang Istikharah adalah bebas. Tetapi kita di anjurkan untuk membaca doa seperti yang diajar Nabi dalam sahih al-Bukhari:


JAWAPAN ISTIKHARAH

Jawapan dari Istikharah tidak semestinya dari mimpi sahaja. Perasaan senang dan lapang juga antara tanda jawapan bagi Istikharah . Tiada dalil khusus yang menunjukkan jawapan Istikharah itu mesti dengan mimpi.

BAGAIMANA MENGENALI JODOH ?

Islam mengajar kita untuk beristikharah. Setelah itu, kita perlu usaha mencari ciri-ciri jawapan yang sesuai.

Jodoh manusia diumpamakan seperti barisan tentera yang saling berperang. Apabila tentera itu bertemu dengan rakan seperjuangannya dalam medan perang, dia akan bersatu. Manakala mereka akan saling berlawan sekiranya dari pihak yang berbeza.

Demikianlah jodoh.

Ia boleh dilihat dengan keadaan diri kita apabila dibandingkan dengan dirinya. Jika dia berkemungkinan jodoh kita, maka diri akan merasa senang dan tenang. Jika tidak, hati akan memberontak dan jiwa penuh keraguan.

Rasulullah SAW pernah berkata, sepertimana yang direkod oleh Al-Bukhari (3336),

الأَرْوَاحُ جُنُودٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ وَمَا تَنَاكَرَ مِنْهَا اخْتَلَفَ.

Roh-roh itu umpama tentera yang saling berbaris untuk berperang. Apabila dia saling mengenal, maka dia akan bersatu. Apabila dia saling berselisih, maka dia akan berbeza.

Tetapi, ini bukanlah perkara pasti bagi menuntukan urusan jodoh. Kerana jodoh itu urusan Allah, manusia hanya berusaha mencari jawapan yang sesuai.

  • CIRI-CIRI PASANGAN

Sebaiknya, ciri-ciri berikut hendaklah dijadikan panduan dalam pemilihan pasangan. Ciri-ciri ini tidak terhad kepada wanita sahaja. Ia merangkumi ciri untuk lelaki juga.

1- Seorang yang soleh atau solehah.

Orang Soleh itu tidak semestinya seorang Ustaz, ustazah, mufti atau kadi. Tetapi orang soleh ialah mereka yang mengamalkan ajaran Islam dengan sebetulnya. Dia taat dalam ibadah, takut berbuat dosa, dan sangat kuat berpegang kepada ajaran Nabi SAW.

Allah berkata dalam Surah Al-Baqarah, ayat 221,

وَلَعَبْدٌ مُؤْمِنٌ خَيْرٌ مِنْ مُشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ

Dan seorang hamba yang beriman itu lebih baik dari lelaki musyrik, sekalipun lelaki musyrik itu amat menarik hatimu.

2- Seorang yang lemah lembut dan baik hati

Rasulullah SAW pernah berkata seperti yang direkod oleh Al-Bukhari (3434),

“Sebaik-baik wanita ialah wanita yang menunggang unta, yang sangat penyayang terhadap kanak-kanak, dan sangat menjaga pasangannya..”

3- Sunat mendahulukan calon yang muda-muda

Selepas Jabir bin Abdullah berkahwin, Nabi SAW bertanya,

“Adakah dia seorang wanita muda atau yang sudah janda?” Jabir menjawab, “Dia seorang wanita janda”. Nabi bertanya, “Bukankah dengan wanita muda kamu dapat saling berseronok-seronok dengannya, dan dia berseronok-seronok dengan kamu?”

Hadis ini direkod oleh Al-Bukhari (5079).

4- Seorang yang menenangkan hati dan jiwa

Nabi SAW pernah ditanya, “Apakah ciri-ciri wanita yang terbaik (untuk dijadikan pasangan)?” lalu baginda menjawab, “Apabila kamu melihatnya, kamu gembira. Apabila kamu suruh, dia taat…”

Hadis ini direkod oleh An-Nasaie (3231). Hasan lagi Sahih.

5- Mampu memberikan zuriat yang ramai

Nabi SAW pernah berkata, “Berkahwinlah dengan wanita yang berbaka banyak anak, kerana aku berbangga dengan bilangan umatku yang ramai.”

Hadis ini direkod oleh Abu Daud (2052). Hasan lagi Sahih.

SIFAT YANG SEHARUSNYA ADA PADA SEORANG LELAKI

1- Teguh dengan agama

2- Mampu melakukan hubungan seks, menanggung perbelanjaan perkahwinan, dan sara hidup bekerluarga

3- Lemah lembut dengan wanita.

4- Wanita menjadi tenang apabila melihatnya


WallahuAlam.


· RUJUKAN :

1- [ فتح الباري - ابن حجر ]الكتاب : فتح الباري شرح صحيح البخاري [المؤلف : أحمد بن علي بن حجر أبو الفضل العسقلاني الشافعي ,الناشر : دار المعرفة - بيروت ، 1379 , تحقيق : أحمد بن علي بن حجر أبو الفضل العسقلاني الشافعي ,عدد الأجزاء : 13

2- الكتاب : الموسوعة الفقهية الكويتية, صادر عن : وزارة الأوقاف والشئون الإسلامية – الكويت

3- الكتاب : شرح رياض الصالحين , المؤلف : محمد بن صالح بن محمد العثيمين

4- الانشراح في أحكام النكاح ، السعيد بن رمضان بن غنيم ، دار الإنصاف ، مصر 2012