Saya mula menjadi Editor Syariah pada akhir 2012. Ketika itu saya bekerja sebagai freelancer untuk syarikat-syarikat buku di Malaysia.

Saya diberi manuskrip buku, lalu diarah menyiapkan semakan tersebut dalam 3 hingga 5 hari. Kadangkala saya terlambat hingga seminggu.

Selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti al-Azhar pada September 2013, saya memohon kerja sebagai Editor Syariah. Kebetulan, ada sebuah syarikat penerbitn membuka tawaran kerja.

Permohonan pertama tidak berjaya, mungkin kerana mereka sudah ada pilihan. Kemudian, saya dicadangkan oleh syarikat berkenaan untuk ke syarikat satu lagi.

Saya pergi sesi temuduga.
Saya mendapat banyak manfaat ilmu dari pengurus besar syarikat berkenaan.

Kata bos, "Kerja di pejabat adalah yang utama. Jangan silap dalam memberi keutamaan. Kerja kita adalah dakwah."

◆ Jangan ikat leherku.

Secara jujurnya, saya pernah dijemput bekerja di sebuah Jabatan Mufti. Tetapi saya tidak berminat kerana menjangkakan 'leher akan diikat', 'mata akan ditutup', 'telinga akan dipekak', menurut saja kata orang.

Saya memilih bekerja sebagai Editor Syariah. Sekalipun itu bukanlah punca utama rezeki saya dan keluarga. Jadi, saya tidak mempunyai kepentingan untuk mempertahankan kedudukan saya.

◆ Bidang Kerja

Editor Syariah tidak bekerja membetulkan perkataan 'di' dirapat atau dijarak. 'bold' 'italic', grafik gambar, itu bukan kerja saya. Itu kerja editor lain.

Kerja saya ialah memastikan kebenaran suatu fakta yang disandar kepada Islam. Dalam erti, apakah benar hadis ini sahih? Apakah benar cerita ini disandar kepada hadis? Apakah betul ayat al-Quran yang disebut? Benarkah Ibnu Abbas berkata seperti yang dinukil penulis?

Itu kerja saya.
Menimba dan mengkaji ilmu.

◆ Penerbitan adalah Dakwah

Editor Syariah tidak boleh berdiri sendiri. Seluruh syarikat bekerja dengan sungguh-sungguh. Editor perolehan memastikan buku menepati garisan aliran penerbitan. Editor bahasa memastikan setiap perkataan mampu difahami pembaca. Bahagian pemasaran, stor dan lain-lain memastikan buku sampai kepada pembaca.

Inilah dunia penerbitan yang saya suka.

Kami berdakwah dengan kemampuan yang kami ada.
Kami manfaatkan apa sahaja kemampuan untuk berbakti pada agama.

Satu harapan,
Semoga nanti, orang dapat faham hakikat Islam dan mempraktikkannya atas usaha kami.

Nabi saw pernah berkata,

"Demi Allah, seandainya Allah memberi hidayah kepada seseorang atas usaha kamu, maka itu adalah lebih baik buatmu dari mendapat unta merah."

[Direkod oleh al-Bukhari, 4210]

__________
Ustaz Syihabudin Ahmad - USA
Sungai Buloh, Selangor.
08 Rabi`ul Akhir 1435
9 February 2014