InsyaAllah saya akan menerangkan perbezaan praktik kalimah “Ibnu” dan “Bin” dalam bahasa Arab menurut ilmu Sorof. Praktis ini diadaptasi juga dengan penggunaan kita dalam bahasa Melayu.

- (بن  atau بنت) atau Bin atau Binti ialah satu kalimah yang bermaksud anak.

Para ulama bahasa Arab telah bersepakat bahawa ia digunakan ketika menyebut nama anak dan bapa.

Contohnya Ali bin Abu, Fatimah binti Abu.

Tidak boleh kita sebut : Ali bin Ahmad sedangkan Ahmad ialah datuk kepada Ali.

- (ابن atau ابنة) atau Ibnu atau Ibnatun ialah satu kalimah yang mempunyai makna yang hampir sama dengan bin.

Para ulama bahasa telah bersepakat bahawa ia hanya boleh diguna pada salah satu dari keadaan berikut,

① Antara nama anak dan nama datuk, moyang  atau keturunan yang lebih atas.

Contoh : Ali Ibnu Ahmad.
Ahmad ialah datuk Ali.

② Antara nama anak dan nama ibunya.

Contoh : Ali Ibnu Fatimah.

③ Pada awal ayat.

Contoh : Ibnu Umar berkata…. Maksudnya ialah Abdullah bin Umar.

④ Antara nama dan sifat yang digelar kepada bapanya atau nenek moyangnya.

Contoh : Ali Ibnu al-Kalantani.

⑤Pada sebahagian kata kiasan.

Contoh : Wahai Ibnu Rasulullah.
Dituju kepada anak cucu keturunan Rasulullah.