Ini bukan artikel Ilmiah.
Sekadar mahu merungkaikan apa yang menyemak di dalam jiwa.

Fasa 1: Dari Lahir Sehingga 12 Tahun

Saya tidak dilahirkan dalam keluarga ustaz dan ustazah. Tetapi ayah saya sering menjadi imam di surau kampung kami. Dia juga yang marah kami adik beradik apabila masih bermain ketika waktu senja.

Sejak lahir, saya disuruh oleh ayah untuk solat dengan mengikutnya. Rukuk seperti ayah, sujud seperti ayah, dan lakukan semua pergerakan seperti ayah. Ayah tak pernah ajar sebarang bacaan melainkan Allahu Akbar dan Bismillah.

Di samping itu, ayah, abang dan kakak-kakak ajar saya baca al-Quran bermula dengan ‘jahama’ (muqaddam dengan kaedah al-Baghdadi). Saya berjaya hafal surah al-Fatihah dan beberapa surah pendek lain ketika itu.

Kemudian saya masuk ke sekolah rendah, cikgu-cikgu ajar pendidikan Islam. Tetapi saya tidak faham dan hafal apa-apa. Cikgupun tidak begitu mementingkan subjek berkenaan. Saya masih solat seperti mana yang ayah saya ajar. Saya masih bermazhab Ayah. Saya hanya diajar menyanyi lagu Tauhid Sifat 20 yang saya tak faham apa-apa.

Ketika itu saya masih belum tahu membaca doa iftitah mahupun doa tahiyat awal dan akhir.

Fasa 2: 12– 18 Tahun

Ketika di sekolah menengah, saya berjaya menghafal doa-doa dalam solat. Di sini, saya sering membaca buku-buku gerakan Islam terutama surat-surat tulisan Hasan al-Banna. Dari situ saya belajar tentang akidah Tauhid Rububiyah dan Uluhiyah yang sangat mudah difahami.

Saya faham bahawa semua makhluk percaya akan kewujudan Tuhan yang menciptakan alam (Tauhid Rububiyah), tetapi tidak semua orang percaya bahawa Tuhan itu adalah Allah, yang hanya wajib sembah Dia sahaja (Tauhid Uluhiyah).

Ketika tingkatan 2, saya balik ke kampung dan mengemas bilik. Ketika mengemas, saya terjumpa sebuah buku bertajuk “Sifat Solat Nabi SAW – Daripada Takbir Sehingga Salam”. Mungkin ia milik abang saya. Saya selak dan baca satu persatu. Saya gembira kerana daripada situ saya mengetahui sumber pergerakan saya dalam solat. Bahkan, saya lebih gembira apabila saya dapat memperbaiki kebanyakkan pergerakan yang saya belajar daripada ayah saya.

Bermula daripada itu saya mula mencari jawapan daripada setiap perbuatan saya selaku seorang Muslim.

Di sekolah menengah juga saya belajar bahasa Arab, fikah, tauhid, mantik, dan lain-lain pengajian agama di samping pelajaran akademik moden seperti matematik, sains, fizik, kimia, bio, dan lain-lain.

Guru saya tidak pernah beritahu bahawa fikah yang kami belajar adalah bermazhab asy-Syafii, tetapi mereka selalu ulang-ulang, “Kita ini berakidah ahli sunah aliran Asyairah Maturidiyah”. Malangnya, pengajian Tauhid/Akidah adalah pelajaran paling susah!

Saya sudah pelik, mengapa ia menjadi paling susah dan ramai gagal dalam peperiksaan? Bukankah subjek akidah semestinya paling mudah dan senang lulus?

Ketika tingkatan 6, itulah pertama kali saya mengenali kitab mazhab Asy-Syafii berjudul “Al-Iqna`”. Tetapi disebabkan saya belajar berdasarkan kurikulum al-Azhar, maka kami juga belajar mazhab-mazhab fikah yang lain seperti Hanafi, Maliki, Hanafi, dan Zohiri. Itu subjek wajib untuk semua yang mengambil pperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Fasa 3: Dunia Universiti

Kemudian, saya sambung pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir yang telah membuka luas minda dan pengetahuan. Saya belajar pelbagai mazhab fikah dan akidah. Saya belajar pelbagai unsur ilmu Islam. Saya belajar cara mendapatkan pendapat yang paling kuat.

Setelah itu, saya mampu membuka dan memahami kitab-kitab para ulama silam daripada pelbagai mazhab dan aliran. Saya faham bahawa, mazhab itu bukan sekadar sandaran. Saya tidak boleh mengatakan perbuatan ‘ini’ adalah daripada mazhab asy-Syafii sedangkan ia bukan daripada mazhab asy-Syafii.

Saya juga dapati bahawa mazhab kebanyakkan orang termasuk saya adalah”mazhab ustaz”. Iaitu kita mengikut pandangan ustaz itu. Jika ustaz itu menggunakan mazhab asy-Syafii, maka kita telah mengikut mazhab asy-Syafiie dalam isu berkenaan. Jika dia gunakan mazhab Malik, lalu kita puas hati dengan pendangan itu dan kita ikut, maka kita telah taqlid pada mazhab Malik.

Oleh itu, saya lebih gemar menggunakan pendirian Jabatan Agama Islam Perlis yang menetapkan setiap mazhab boleh diterima asalkan daripada Ahli Sunah wal Jemaah. Itu lebih menyelesakan dan menenangkan.

Lagipula, tidak ada yang mengatakan sesat bagi orang yang menggunakan mazhab lain selain Asy-Syafii. Apatah lagi, Imam Asy-Syafii berguru dengan Imam Malik, Imam Malik berguru dengan Imam Abu Hanifah. Manakala Imam Ahmad pula adalah guru kepada Imam asy-Syafii dalam hadis, dan menjadi murid asy-Syafii dalam bidang fikah. Semuanya saling berkait.

Fasa 4: 2015

Saya tidak berasa layak menyebut diri bermazhab asy-Syafii kerana banyak perkara yang saya lakukan berbeza dengan pandangan mazhab asy-Syafii. Saya lebih suka digelar ahli Sunah wal Jemaah yang memanfaatkan pendapat para Imam ahlis Sunah wal Jemaah sama ada Hanafi, Maliki, Syafii, Hanbali, dan ulama-ulama moden seperti Abu Zahrah, al-Qaradhawi, Muhammad Syaltut, Al-Albani, dan lain-lain dalam memahami tuntutan agama.

Apabila mengajar di masjid-masjid pula, saya akan mendahulukan fikah Asy-Syafii kerana saya faham bahawa orang Malaysia suka digelar dengan mazhab asy-Syafii. Di samping mazhab itu, saya nyatakan juga pendapat lain supaya orang tahu bahawa dalam dunia ini bukan ada satu mazhab sahaja.

Allah lebih tahu.

Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah,
Nabi Muhammad pula adalah utusan Allah.

Tiada tambahan syahadah,
Melainkan dua kalimat itu sahaja.


Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh, Selangor.
17/12/2014 – Waktu Rehat Tengah Hari.