Soalan: Salam ustaz. Saya ada sedikit pertanyaan.

Kita semua maklum tahu bahawa ianya adalah haram bg umat islam menyambut krismas. Tapi adakah faktor lain seperti tanggungjawab sebagai jiran atau rakan sekerja juga diambil kira dlm isu ni. Sebagai contoh, jika kita mmpunyai rakan2 sekerja berbangsa cina dan mereka ingin mengadakn sesi bertukar2 hadiah sempena krismas, untuk suka2, tiada sebarang upacara ritual atau nyanyian2 krismas, adakah ianya dibenarkan? Kerana kita juga di waktu lain turut menyertai cara2 seumpama ini sewaktu jamuan akhit tahun dsb. Dan saya kira mereka juga sedar akan umat islam yang sensitif dgn isu2 seperti ini, jadi mereka telah menukar nama event kepada year end celebration instead of krismas kerana mereka ingin semua org turut serta.

Jadi adakah kita blh turut serta? Ianya hanyalah acara kecil melibatkan 20 org, dan diadakan skadar suka2 di waktu rehat.

Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan: Wa`alaikumusalam Cik Puan yang dicintai Allah,

< Soalan ini mengandungi 4 soalan:

❶ Hukum mengadakan majlis khas pada hari Krismas yang tidak ada unsur keagamaan, tetapi sekadar bertukar hadiah sahaja.

Jawapan: Sekiranya suatu majlis diadakan kerana KEBETULAN ia adalah pada hari Krismas, maka ia tidak menjadi masalah.

Tetapi menjadi masalah apabila SENGAJA mengadakan majlis pada hari tersebut kerana mahu menghalalkan sambutan Krismas sedangkan ia boleh dibuat pada hari lain.

Boleh bertukar-tukar hadiah atau melakukan sesuatu aktiviti yang tidak membawa maksud meraikan Krismas tetapi meraikan majlis yang harus.

❷ Adakah majlis tersebut sama seperti majlis jamuan akhir tahun?

Jawapan: Majlis yang dibuat secara SENGAJA pada hari Krismas kerana mahu menyambutnya tidak sama dengan majlis lain pada hari lain.

❸Adakah dengan menukar nama majlis kepada “Year End Celebration” boleh menjadikan majlis tersebut halal?

Jawapan: Menukar nama program tidak menyebabkan perubahan hukum sekiranya hakikatnya jelas bertentangan dengan hukum. Seperti memberi rasuah dengan kata bahawa ia adalah hadiah.

❹ Bolehkah meraikan sahabat-sahabat Kristian pada hari raya Krismas atas tanggungjawab kejiranan, rakan sekerja, atau sebagainya.

Jawapan: Boleh meraikan mereka tetapi tidak boleh menyambut perayaan mereka. Meraikan dengan maksud menerima jemputan mereka, mengucapkan ucapan yang menggembirakan mereka dan sebagainya. Tidak boleh memakai pakaian seperti mereka, atau bernyanyi-nyanyi lagu Krismas, dan sebagainya yang berunsur perayaan.

||FAKTA||

Isu utama; Merayakan Krismas dengan cara dan kebiasaan orang Kristian adalah Haram. Kerana Krismas adalah perayaan ibadah bagi orang Kristian. Haram juga memakai pakaian berunsur perayaan tersebut, perhiasan di rumah, kedai atau pejabat serta kad-kad ucapan meraikannya.

Islam tidak menghalang orang Kristian atau agama lain untuk merayakan Krismas atau perayaan mereka, tetapi Islam melarang umat Islam merayakannya. Islam sentiasa menghormati agama lain dalam cara mereka beribadah dan bergembira.

Jika perlu hadir ke dalam upacara perayaan Krismas atau agama-agama lain, maka hadir hanya dengan tujuan menghormati jemputan. Setelah selesai tujuan asal, maka pulanglah dengan penuh hormat.

< Perayaan mempunyai dua maksud;

Pertama: Unsur keagamaan,
Kedua: Unsur adat.

Unsur keagamaan Dilakukan kerana mahu mendekatkan diri kepada Allah, maka ia hendaklah bersandar kepada dalil. Kerana ia adalah Ibadah.

Perayaan Ibadah dalam Islam hanya ada 3 waktu sahaja. Dua kali setiap tahun iaitu pada hari raya Puasa dan hari raya Korban. Dan perhimpunan mingguan pada hari Jumaat.

Selain daripada 3 hari raya ini, tidak ada lagi perayaan berunsur agama. Maka sebahagian ulama mengharamkan perayaan menyambut kelahiran dan kematian Rasulullah, sahabat dan para ulama yang berunsurkan ibadah dengan tatacara amalan tertentu.

Dalil Anas bin Malik berkata:

قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا، فَقَالَ: مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ؟ قَالُوا: كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا: يَوْمَ الْأَضْحَى، وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, penduduk Madinah memiliki dua hari raya untuk bersenang-senang dan bermain-main di masa jahiliyah. Maka beliau bertanya, “Apakah dua hari ini?” Mereka menjawab, “ Ia adalah dua hari yang kami bermain-main (bersuka ria) padanya sejak Jahiliah lagi.” Lalu Rasulullah bersabda: “Allah telah mengganti kedua-duanya dengan yang lebih baik bagi kalian, iaitu hari raya Adha dan hari raya Fitri.”

(HR Abu Daud: 1134, Sahih menurut Syeikh Syu`aib al-Arnouth)

Unsur adat Islam menegaskan bahawa adat hendaklah dipandu dengan Islam. Adat yang baik diikuti, manakala adat yang buruk dijauhi.

Antara adat yang buruk adalah mengikut atau menyerupai kaum lain. Bahkan lebih buruk lagi apabila adat itu bersumber daripada ajaran agama lain.

Dalil Ibnu Abbas menyatakan bahawa Rasulullah SAW berkata:

أَبْغَضُ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ ثَلاَثَةٌ مُلْحِدٌ فِى الْحَرَمِ ، وَمُبْتَغٍ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ ، وَمُطَّلِبُ دَمِ امْرِئٍ بِغَيْرِ حَقٍّ لِيُهَرِيقَ دَمَهُ

“Manusia yang dibenci oleh Allah ada tiga: (1) seseorang yang berbuat kerusakan di tanah haram, (2) melakukan ajaran Jahiliyah dalam Islam, dan (3) ingin menumpahkan darah orang lain tanpa jalan yang benar.”

(HR. Al-Bukhari no. 6882, Sahih)


Allah lebih tahu.