Tujuan mempelajari sirah Nabi Muhammad ialah mendapatkan gambaran kehidupan Islam yang sebenar yang terkumpul di dalam kehidupan Nabi Muhammad .[1] Seterusnya menjadikan ia sebagai teladan dan pedoman dalam kehidupan. Ia bukan semata-mata sejarah sepertimana sejarah orang-orang terdahulu. Ia tidak boleh dipelajari sepertimana membaca buku-buku sejarah lain seperti sejarah Melaka, penubuhan negara Malaysia, asal usul orang Amerika dan lain-lain. 

Jika sirah Nabi Muhammad dipelajari seperti sejarah-sejarah yang lain, maka kehidupan baginda tidak mampu dijadikan panduan dan pedoman. Sedaangkan sirah Nabi tidak boleh sekadar di baca sahaja.
Bagi menggapai tujuan yang telah dinyatakan, kita hendaklah memastikan segala objektif yang disebutkan di bawah dimiliki terlebih dahulu. Antara objektif tersebut ialah: 

Mendalami peribadi Nabi Muhammad sebagai seorang nabi yang mendepani segala ranjau kehidupan dan suasana zamannya. Beliau adalah seorang nabi. Kebijakkan beliau dalam menghadapi kehidupan adalah wahyu daripada Allah

Manusia hendaklah menjadikan Nabi Muhammad sebagai seorang ikon ikutan dalam seluruh aspek kehidupan. Baginda hendaklah menjadi contoh teladan yang tertinggi dalam segala aspek. Dalam erti kata yang mudah, manusia suka apa yang Nabi suka, benci apa yang Nabi benci, sedih sepertimana Nabi sedih, marah pada apa yang Nabi marah. 

Dengan mempelajari sirah Nabi, umat Islam akan lebih memahami tuntutan-tuntutan al-Quran sehingga merasai manisnya roh agama dan maqasidnya. Demikian itu kerana banyak ayat-ayat al-Quran diturunkan kerana peristiwa yang berlaku pada Nabi Muhamad .


[1] Fiqh as-Sirah an-Nabawiyah, Said Ramadhan al-Bouti, Darus Salam, Kaherah, 2010. Ms: 15.