Kitab dahulu ditulis dan dibaca oleh para ulama. Sebelum mereka menyampaikan ilmu kepada orang awam, mereka akan membuat tapisan terlebih dahulu. Jadi, kita dapati ramai ulama yang menkritik tulisan antara satu sama lain. Kerana mereka pakar di dalam menentukan sesuatu yang bermanfaat atau tidak.

Tetapi, orang awam sekarang telah membaca kitab para ulama, lalu kerana kelemahan dan kesombongan, mereka telah menukilkan semua yang ada di dalam kitab apatah lagi yang selari dengan jiwa dan kehendak mereka. Sedangkan mereka tidak mampu mengkelaskannya.

Saya juga termasuk di dalam kalangan orang awam itu,
Tetapi saya mencabar diri untuk sentiasa berusaha mengkelaskan pembacaan dan periwayatan atas panduan ilmu dan guru-guru. Supaya saya faham dan mampu memberi kefahaman kepada orang lain.

Saya lakukan sehabis baik, kerana ia adalah AGAMA.

Saya tidak tahu banyak perkara, tetapi saya tidak mahu merosakkan banyak perkara juga. Saya berkeyakinan bahawa setiap kita ada tanggungjawab terhadap agama.

Biar agama ini terbina atas jerih perih usaha kita.
Jangan ia roboh atas kecuaian dan kesombongan kita.

Sama-sama kita hindarkan diri daripada menjadi Ruwaibidhoh (Orang lekeh tetapi berbicara pada isu besar-besar) sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW:
«سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ» ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: «الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ»

"Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur malah didustakan, pengkhianat dipercayai sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.”

Seseorang bertanya, “Apa maksud Ruwaibidhah?”. 

Rasulullah menjawab, “At-Tafah yang turut campur dalam urusan masyarakat.” 
(HR. Ibnu Majah, Sunan Ibnu Majah: 4036, Sahih).

Maksud at-Tafah ialah orang yang serba kekurangan ataupun cetek pemikiran.

WallahuA'lam
________________
Syihabudin Ahmad,
Sungai Buloh, Selangor
7 April 2015