Hadis ke 10 di dalam Jami` Ulum wal Hikam dan Hadis 40 Imam an-Nawawi:
“Allah itu Thoyyib dan Tidak Menerima Melainkan Yang Thoyyib”

قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ "
Rasulullah SAW bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya Alla bersifat at-Toyyib dan dia tidak menerima melainkan yang Thoyyib sahaja. Allah memerintahkan orang yang beriman sepertimana diperintah kepada para utusan Allah dengan berkata:

51. Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang saleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Mukminun: 51)
172. Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah (Al-Baqarah: 172)

Kemudian diceritakan tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, rambutnya kusut, berdebu, menadah tangannya ke langit kemudian berkata Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, diberi makan dengan yang haram, justeru itu bagaimana dimakmulkan doanya?
(HR Muslim bin al-Hajjaj, di dalam Sahih Muslim, bilangan 1015)

1. Rangkaian Sanad:
Muslim > Abu Kuraib Muhammad bin al-`Ala’ > Abu Usamah > Fudhail bin Marzuq > Adi bin Sabit > Abi Hazim > Abu Hurairah > Rasulullah SAW

Hadis ini Sahih tanpa ada sebarang keraguan. 

2. Maksud at-Thoyyib

(Wahai manusia, sesungguhnya Alla bersifat at-Toyyib dan dia tidak menerima melainkan yang Thoyyib sahaja) 

(Sesungguhnya Allah bersifat at-Toyyib) Syeikh Fuad Abdul baqi menyebutkan bahawa at-Toyyib adalah sifat Allah yang bermaksud Allah bersih daripada segala kekurangan. Ia juga bermaksud penuh suci (qudus). Asal perkataan at-Toyyib ialah az-Zakat, thoharah, dan selamat daripada kotoran.

Allah tidak akan menerima amalan seseorang itu melainkan ia berasal daripada sumber yang halal. Hadis ini dijelaskan oleh hadis lain di dalam Sahih Muslim juga:
Nabi SAW bersabda:
لَا يَتَصَدَّقُ أَحَدٌ بِتَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ، إِلَّا أَخَذَهَا اللهُ بِيَمِينِهِ
Seseorang tidak (dikira) bersedekah dengan buah tamar daripada hasil yang baik melainkan Allah menerimanya dengan tangan kanan-Nya.
(HR Muslim di dalam Sahih Muslim, bilangan 1014)

3. Makna bersih atau baik

Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan “…Dia tidak menerima melainkan yang Thoyyib sahaja” adalah bersifat umum. Allah tidak menerima amalan yang disertai dengan kerosakan, keburukan, dan kehancuran seperti sifat riya’ dan ujub ketika bersedekah. Sekalipun barang itu halal, dengan sebab riya’ dan ujub maka amalan itu tidak mendapat sebarang pahala kebaikan. At-Toyyib atau bersih itu disifatkan kepada semua perkara termasuk perbuatan, kata-kata, kidah, dan sebagainya.

4. Sifat orang beriman itu bersih (Thoyyib)

Allah SWT telah menyifatkan orang beriman dengan sifat at-Toyyib. Allah bersabda di dalam surah an-Nahl: 32,

ٱلَّذِينَ تَتَوَفَّىٰهُمُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ طَيِّبِينَ يَقُولُونَ سَلَٰمٌ عَلَيۡكُمُ ٱدۡخُلُواْ ٱلۡجَنَّةَ بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ٣٢
32. (yaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): "Salaamun´alaikum, masuklah kamu ke dalam surga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan"

Para malaikat akan berkata ketika sakaratul maut: Keluarlah wahai jiwa yang bersih (an-Nafsu at-Thoiyyibah) yang telah berada di dalam jasad yang bersih.

Orang yang beriman, mereka semua berada di dalam keadaan bersih. Hati, lidah, tubuh badan dan sebagainya. Hatinya dibersihkan dengan iman. Lidahnya dibersihkan dengan zikir dan tasbih. Tubuh badannya sentiasa melakukkan amalan-amalan soleh yang menjadi hasil daripada tanaman keimanan.

(Kemudian diceritakan tentang seorang lelaki yang jauh perjalanannya, rambutnya kusut, berdebu, menadah tangannya ke langit kemudian berkata Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku!)

Hadis tersebut mengajar kita kepada adab-adab di dalam berdoa:

5. Sebab-sebab Dimakbulkan doa dan adab-adabnya:

1. Jauh mengembara

Orang yang mengembara (bermusafir) adalah diantara orang yang doanya dimakbulkan. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَهُنَّ، لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ
Tiga jenis doa yang diterima semuanya tanpa ada sebarang syak padanya: Doa orang yang dizalimi, doa orang mengembara (bermusafir) dan doa bapa kepada anaknya.
(HR Al-Bukhari di dalam Adabul Mufrad, bilangan 481. Sahih menurut al-Albani)

2. Wujudnya kesan pengorbanan dalam mendapatkan pakaian yang terlihat daripada usang dan debu.

Di dalam hadis Masyhur Nabi SAW bersabda:
رُبَّ أَشْعَثَ، مَدْفُوعٍ بِالْأَبْوَابِ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللهِ لَأَبَرَّهُ
Boleh jadi orang yang rambutnya kusut, tertutup pintu baginya sekiranya dia berdoa kepada Allah Allah akan menunaikannya.
(HR Muslim di dalam Sahih Muslim, bilangan  2622)

3. Menadah tangan ketika berdoa
Nabi SAW bersabda:
إِنَّ رَبَّكُمْ حَيِيٌّ كَرِيمٌ، يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ أَنْ يَرْفَعَ إِلَيْهِ يَدَيْهِ
Sesungguhnya Tuhan kamu Pemalu dan Mulia. Dia malu pada hamba-Nya yang mengangkat kedua-dua tangan kepadanya.
(HR Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, bilangan 3865)

(Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, diberi makan dengan yang haram,)

Perkara yang menghalang mustajab doa terkandung di dalam isu makanan, minuman, pakaian, dan memberi makan)

(justeru itu bagaimana dimakmulkan doanya?)

Bentuk ayat ini adalah at-Taajub – kehairanan dan al-Istiba`ad – terlalu kecil kemungkinan dimakbulkan. Bagaimana Allah mahu menerima amalan baik yang dicampur dengan keingkaran dan kemaksiatan kepada-Nya? Bagaimana dia berdoa kepada Allah sedangkan perintah dan larangan Allah diabaikan? Justeru itu, amalan hendaklah disatukan dengan perintah dan larangan Allah barulah permintaan akan dimakbulkan Allah.
WallahuA`lam.