Soalan: Apa hukum menghilangkan bau mulut di ketika berpuasa?

Jawapan: Harus berdasarkan pendapat majoriti ulama.

Fakta:

Di dalam Mazhab asy-Syafiie, mereka menyatakan makruh menghilangkan bau mulut selepas gelincir matahari ketika sedang berpuasa, sekalipun menggunakan kayu siwak. Mereka berhujah dengan hadis berikut:

Rasulullah bersabda: “… Demi diriku di tangan-Nya, perubahan mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding bauan kasturi…” (HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 1894)

Mereka berpendapat: Hadis di atas menyatakan tentang kelebihan membiarkan mulut tanpa dihilangkan bauannya.

Manakala pendapat mazhab majoriti ulama (jumhur) pula menyatakan keharusan untuk menghilangkan bau mulut kerana 2 sebab:

1. Sifat wangi yang disebutkan di dalam hadis disebutkan bagi tujuan menghalang orang lain daripada melarikan diri daripada orang yang berpuasa. Inilah yang disebutkan oleh Syeikh Badruddin al-`Aini di dalam kitab Umdatul Qari’ pada Syarah Sahih al-Bukhari:

“Pujian Nabi SAW tersebut bertujuan menghalang orang daripada merasa jijik ketika berbual dengan orang yang berpuasa disebabkan perubahan bau mulutnya. Ia bukan larangan kepada orang berpuasa daripada bersiwak…”

2. Tidak ada hadis yang sahih dan jelas yang menghalang umat Islam daripada meninggalkan amalan membersihkan gigi ketika berpuasa. Maka hukum sunah bersiwak kekal.

Setelah meneliti perkara di atas, kami nyatakan bahawa pendapat majoriti ulama dalam perbahasan ini adalah lebih kuat dan selamat. Ia juga tidak terhad kepada penggunaan kayu siwak sahaja, bahkan ia terbuka untuk apa-apa bahan yang terbukti baik untuk menghilangakan bau.

Wallahua`lam