Nabi Muhammad SAW bersabda:

الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَجْهَلْ، وَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ المِسْكِ يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي الصِّيَامُ لِي، وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا

Puasa adalah pelindung. Maka janganlah bercakap keji serta melakukan amalan orang jahil. Sekiranya seseorang memukulnya atau mencacinya, maka berkatalah: Aku berpuasa sebanyak dua kali. Demi diriku di tangan-Nya, perubahan mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding bauan kasturi. Dia meninggalkan makanan, minuma, serta keinginannya kerana diri-Ku. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah yang layak memberikan ganjarannya. Setiap satu kebaikan digandakan kepada sepuluh pahala yang seumpamanya.
(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 1894)

❶ “Puasa adalah pelindung.”

Ibnu Asir berkata di dalam kitab an-Nihayah:

Makna ia bersifat pelindung ialah ia melindungi orang yang berpuasa daripada apa yang menyakitinya daripada kesan syahwat.

Dr. Musthofa al-Bugha berkata:

(Junnah) ialah pelindung dan penghalang daripada terjatuh ke lembah maksiat yang menjadi sebab terjerumus ke dalam api neraka.

❷ “Maka janganlah bercakap keji serta melakukan amalan orang jahil.”

Orang yang berpuasa hendaklah sedar bahawa dia mempunyai pelindung yang menjaganya daripada terjerumus ke dalam kebinasaan. Antara perkara yang membinasakan dia ialah bercakap keji dan melakukan amalan orang jahil seperti bertempik-tempik dan mencaci maki. Perbuatan ini menjejaskan puasa seseorang kerana fungsi puasa itu tidak kelihatan lagi.

❸“Sekiranya seseorang memukulnya atau mencacinya, maka berkatalah: Aku berpuasa sebanyak dua kali.”

Apabila ada orang datang untuk merosakkan puasanya, maka puasa akan mempertahankan dirinya. Puasa akan menyedarkannya bahawa melawan balik kejahatan bukanlah sesuatu yang baik.

Bahkan, seseorang yang berpuasa disunahkan untuk berkata kepada dirinya bahawa dia berpuasa sebanyak dua kali.

Imam al-Qurtubi berkata:

Tidak difahami daripada larangan ini bahawa selain waktu puasa ia diharuskan. Tetapi apa yang dimaksudkan ialah larangan itu ditegaskan lagi pada ketika berpuasa.

• Soalan: Adakah kita hanya berkata di dalam hati atau secara lisan?

Para ulama berbeza pendapat di dalam hal ini, khususnya di dalam mazhab asy-Syafii.Ar-rafii menukilkan pendapat para imam mazhab syafii bahawa ia hanya sekadar pada diri sendiri sahaja.

Tetapi Imam an-Nawawi menguatkan pendapat bahawa ia lebih baik dengan lisan.

Tetapi, kesimpulan Imam an-Nawawi di dalam Syarah al-Muhazzab adalah sangat baik: Beliau berkata: Kedua-duanya baik tetapi menyebutkan dengan lisan itu lebih kuat. Sekiranya dikumpulkan kedua-duanya itu lebih baik.

❹“Demi diriku di tangan-Nya, perubahan mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding bauan kasturi.”

Soalan: Apa hukum menghilangkan bau mulut di ketika berpuasa?
Jawapan: Harus berdasarkan pendapat majoriti ulama.

Fakta:

Di dalam Mazhab asy-Syafiie, mereka menyatakan makruh menghilangkan bau mulut selepas gelincir matahari ketika sedang berpuasa, sekalipun menggunakan kayu siwak. Mereka berhujah dengan hadis berikut:

Rasulullah bersabda: “… Demi diriku di tangan-Nya, perubahan mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding bauan kasturi…” (HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 1894)

Mereka berpendapat: Hadis di atas menyatakan tentang kelebihan membiarkan mulut tanpa dihilangkan bauannya.

Manakala pendapat mazhab majoriti ulama (jumhur) pula menyatakan keharusan untuk menghilangkan bau mulut kerana 2 sebab:

1. Sifat wangi yang disebutkan di dalam hadis disebutkan bagi tujuan menghalang orang lain daripada melarikan diri daripada orang yang berpuasa. Inilah yang disebutkan oleh Syeikh Badruddin al-`Aini di dalam kitab Umdatul Qari’ pada Syarah Sahih al-Bukhari:

“Pujian Nabi SAW tersebut bertujuan menghalang orang daripada merasa jijik ketika berbual dengan orang yang berpuasa disebabkan perubahan bau mulutnya. Ia bukan larangan kepada orang berpuasa daripada bersiwak…”

2. Tidak ada hadis yang sahih dan jelas yang menghalang umat Islam daripada meninggalkan amalan membersihkan gigi ketika berpuasa. Maka hukum sunah bersiwak kekal.

Hadis-hadis yang seakan menggalakkan untuk seseorang yang berpuasa mengekalkan bau
mulutnya itu adalah lemah dari segi riwayat. Tidak kukuh untuk disandarkan kepada Nabi s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi. Maka tidak boleh menjadi hujah. Apatahlagi bertentang dengan sifat Islam itu sendiri.
Hadis-hadis yang menggalakkan kebersihan dan juga bersugi adalah umum merangkumi setiap waktu termasuk bulan Ramadan.

Setelah meneliti perkara di atas, kami nyatakan bahawa pendapat majoriti ulama dalam perbahasan ini adalah lebih kuat dan selamat. Ia juga tidak terhad kepada penggunaan kayu siwak sahaja, bahkan ia terbuka untuk apa-apa bahan yang terbukti baik untuk menghilangakan bau.

❺ Dia meninggalkan makanan, minuman, serta keinginannya kerana diri-Ku. Puasa adalah untuk-Ku dan Akulah yang layak memberikan ganjarannya. Setiap satu kebaikan digandakan kepada sepuluh pahala yang seumpamanya.

Inilah sebab mengapa perubahan mulut orang berpuasa lebih wangi daripada bauan kasturi. Allah mahu mengiktiraf kesungguhan hamba-Nya beribadah kepada-Nya. Hamba-Nya berpuasa semata-mata mengharapkan redha Allah. Ia tidak merasa riak dengan puasa berkenaan.


#Wallahua`lam.