Name

hamidah
Subject

kasut kulit babi
Comment

Assalaamualaikum ust...saya ada bli kasut dr kulit babi,sblm beli saya xtau kasut tu dr kulit babi...boleh ke kasut tu di beri kpd non muslim?
Entry Date

7/2/2015 8:44:15 PM

Jawapan: Boleh.

Fakta:

Keseluruhan ulama telah bersepakat di dalam mengatakan bahawa daging babi haram dimakan. Inilah kefahaman asas daripada larangan ayat 145, surah al-An`am.  

قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

145. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak dapati Dalam apa Yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu Yang diharamkan bagi orang Yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah Yang mengalir, atau daging babi - kerana Sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu Yang dilakukan secara fasik, Iaitu binatang Yang disembelih atas nama Yang lain dari Allah". kemudian sesiapa Yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka Sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Al-An`am: 145)

Babi yang hidup adalah najis. Ini adalah pendapat 3 mazhab utama iaitu al-Hanafiyah, asy-Syafiiyah dan al-Hanabilah. Manakala Mazhab al-Malikiyah pula menyatakan keseluruhan tubuh babi yang hidup tidak najis.

Babi yang mati pula adalah bangkai yang disepakati oleh 4 mazhab. Maka ia tidak menjadi suci sekalipun telah disamak (ad-Dibagh - tanner). Jadi, bangkai yang tidak suci tidak boleh digunakan, dijual atau dibeli. Tidak boleh juga dihadiahkan kepada sesama Muslim. Hanya pendapat terpencil daripada Abu Yusuf yang menyatakan bahawa bangkai babi menjadi suci setelah proses samak.

Tidak sah jual beli babi sama ada kepada Muslim atau non-Muslim. Ini bertepatan dengan hadis:

«إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ»

“Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya mengharamkan jualan arak, bangkai, babi, dan patung berhala.”

(HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari: 2236)

Non-Muslim tidak berhukum dengan hukum Islam melainkan di dalam perundangan negara sahaja. Justeru itu, mereka berhak untuk menggunakan barangan daripada kulit babi.

Memberikan hadiah kepada non-Muslim dengan sesuatu yang mereka boleh manfaatkan adalah harus. Maka menjadi harus juga untuk memberikan kasut kulit babi yang dibeli TANPA SENGAJA kepada mereka. Tiada larangan syarak di dalam hal ini yang kami temui.

Haram jika dengan SENGAJA membeli kasut kulit babi dengan tujuan memberi hadiah kepada rakan non-Muslim.

Rujuk: Mausu`ah Fiqhiyah Kuwait, Jilid 20, halaman 32-36.

WallahuA`lam.