Soalan: Siapakah orang yang paling berhak terhadap gaji suami? Adakah isteri dan anak-anaknya atau ibu bapa dan mertuanya?

Jawapan: Orang yang paling berhak terhadap harta pendapatan suami menurut turutan adalah seperti berikut:

Dirinya sendiri,
Kemudian Isterinya
Kemudian anak-anaknya
Kemudian ibu bapa dan mertuanya
Kemudian adik-beradik yang terdekat
Kemudian adik-beradik yang jauh

Penjelasan:

Saya bahagikan situasi ini kepada dua keadaan.

Ada pendapatan yang besar atau melebihi keperluan sendiri.
Pendapatan hanya memadai untuk keperluan diri dan anak isteri sahaja.

Pertama: Pendapatan Besar

Tiada sebarang keraguan bahawa suami hendaklah membahagikan pendapatan yang beliau dapat untuk keperluan dirinya dan isterinya. Kemudian, beliau juga dituntut untuk memberi belanja (nafkah) untuk anak-anak, ibu bapanya serta mertuanya sekiranya mereka tergolong di dalam kelompok orang yang tidak mempunyai harta atau miskin.

Allah telah berfirman di dalam surah al-Baqarah:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
... dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya…

(Al-Baqarah: 233)

Allah juga telah menentukan bahawa setiap manusia hendaklah sentiasa berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa mereka. Antara sifat berbuat baik ialah memberikan belanja kepada mereka.

Allah berfirman di dalam surah al-Israa:

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا
Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa…

(Al-Israa’: 23)


Al-Imam Ibnu Munzir telah menyatakan bahawa ulama telah bersepakat (Ijma`) di dalam perkara tersebut. Beliau berkata:

أجمع أهل العلم على أن نفقة الوالدين الفقيرين اللذين لا كسب لهما ولا مال واجبة في مال الولد

Para ahli ilmu telah bersepakat bahawa belanja (nafkah) bagi ibu bapa faqir (miskin) yang tidak mempunyai pekerjaan dan harta telah menjadi wajib dengan harta anaknya.

Kedua: Pendapatan Kecil

Sekiranya dia mampu untuk menunaikan keperluan kesemua isteri, anak-anak dan ibu bapanya, maka dia wajib memberikannya. Namun, apa pula hukum sekiranya dia mengalami masalah kewangan? Gaji bulanan yang dia terima tidak mencukupi untuk menampung kesemua mereka?

Jika demikian situasinya, maka suami berkenaan hendaklah memberikan belanja untuk dirinya, isterinya dan anak-anaknya terlebih dahulu. Inilah kefahaman yang kita ambil daripada hadis berikut:

Imam Muslim dengan sanadnya meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir. Beliau bercerita:

أَعْتَقَ رَجُلٌ مِنْ بَنِي عُذْرَةَ عَبْدًا لَهُ عَنْ دُبُرٍ، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «أَلَكَ مَالٌ غَيْرُهُ؟» فَقَالَ: لَا، فَقَالَ: «مَنْ يَشْتَرِيهِ مِنِّي؟» فَاشْتَرَاهُ نُعَيْمُ بْنُ عَبْدِ اللهِ الْعَدَوِيُّ بِثَمَانِ مِائَةِ دِرْهَمٍ، فَجَاءَ بِهَا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَدَفَعَهَا إِلَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: «ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا»

Seorang lelaki daripada Bani `Uzrah memerdekakan hambanya dengan tebusan. Berita itu sampai kepada Rasulullah SAW, beliau bertanya kepada pemilik budak itu: "Masih adakah hartamu selain hamba itu?" orang itu menjawab, "Tidak, wahai Rasulullah." Maka Rasulullah SAW pun bersabda: "Siapakah yang mahu membeli hamba itu daripadaku?" Akhirnya hamba itu pun dibeli oleh Nu'aim bin Abdullah Al Adawi, dengan harga lapan ratus dirham. Dia membawa wang itu bertemu Rasulullah dan membayarnya. Setelah itu Rasulullah SAW berkata (kepada lelaki pemilik hamba): "Manfaatkanlah wang ini untuk dirimu sendiri, apabila ada lebihan maka untuk keluargamu, jika masih ada lebihan, maka untuk kerabatmu, dan jika masih ada lebihan, maka untuk orang-orang begini dan begitu.”

(HR Muslim di dalam Sahih Muslim, bilangan: 997)

Daripada hadis di atas, jelas kepada kita tentang beberapa perkara. Apabila seseorang suami menerima harta, maka urutan belanjanya adalah seperti berikut:

Keperluan asas diri sendiri
Keperluan asas keluarga sendiri (isteri dan anak-anak)
Keperluan asas kerabat (Ibu bapa, datuk nenek, adik beradik)

Di dalam hadis yang lain pula, Nabi SAW menguatkan lagi hujah-hujah di atas. Imam Ahmad dengan sanadnya meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

«تَصَدَّقُوا» قَالَ رَجُلٌ: عِنْدِي دِينَارٌ. قَالَ: «تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ» قَالَ: عِنْدِي دِينَارٌ آخَرُ. قَالَ: «تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجِكَ» قَالَ: عِنْدِي دِينَارٌ آخَرُ. قَالَ: «تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ» قَالَ: عِنْدِي دِينَارٌ آخَرُ. قَالَ: «تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ» قَالَ: عِنْدِي دِينَارٌ آخَرُ. قَالَ: «أَنْتَ أَبْصَرُ»


Bersedekahlah. Seorang lelaki bertanya: Aku mempunyai beberapa dinar. Rasulullah berkata: Sedekahkanlah daripadanya untuk dirimu. Lelaki itu bertanya lagi: Aku mempunyai beberapa dinar yang lain lagi. Baginda berkata: Sedekahkanlah daripadanya kepada isterimu. Beliau bertanya lagi: Aku mempunyai beberapa dinar lagi. Baginda menjawab: Sedekahkanlah daripadanya kepada anak-anak kamu. Beliau bertanya lagi: Aku mempunyai beberapa dinar lagi. Baginda menjawab: sedekahkanlah daripadanya kepada pembantumu. Beliau bertanya lagi: Aku mempunyai beberapa dinar lagi. Baginda menjawab: Kamu lihatlah sendiri (siapakah yang layak setelah itu).

(HR Ahmad di dalam Musnad Ahmad, bilangan: 7419)
Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan sanadnya kuat.

Perkataan sedekah di dalam hadis di atas difahami dengan maksud sedekah wajib atau nafkah. Di dalam Fathul Bari, dinukilkan kata-kata al-Muhallab:

" النَّفَقَة عَلَى الْأَهْل وَاجِبَة بِالْإِجْمَاعِ , وَإِنَّمَا سَمَّاهَا الشَّارِع صَدَقَة خَشْيَة أَنْ يَظُنُّوا أَنَّ قِيَامهمْ بِالْوَاجِبِ لَا أَجْر لَهُمْ فِيهِ , وَقَدْ عَرَفُوا مَا فِي الصَّدَقَة مِنْ الْأَجْر فَعَرَّفَهُمْ أَنَّهَا لَهُمْ صَدَقَة , حَتَّى لَا يُخْرِجُوهَا إِلَى غَيْر الْأَهْل إِلَّا بَعْد أَنْ يَكْفُوهُمْ ; تَرْغِيبًا لَهُمْ فِي تَقْدِيم الصَّدَقَة الْوَاجِبَة قَبْل صَدَقَة التَّطَوُّع "

“Memberi nafkah kepada keluarga adalah sebuah kewajiban berdasarkan ijma`. Pembuat syariat (Allah) menamakan ia sebagai sedekah kerana dibimbangi para suami yang menunaikannya kerana kewajipan tidak merasai ada ganjaran padanya. Sedangkan mereka sangat mengetahui bahawa di dalam sedekah itu ada kelebihan buat diri mereka. Sehingga mereka tidak menunaikannya kepada selain daripada keluarga setelah keperluan mereka mencukupi. Ia adalah suatu bentuk galakkan untuk mendahulukan sedekah yang wajib sebelum sedekah yang sunat.”

Kesimpulan

Imam Ibnu Usaimin berkata: “Yang benar ialah dia mendahulukan dirinya kemudian isterinya, setelah itu anak-anaknya, setelah itu ibu bapanya, setelah itu kerabatnya.”
(Rujuk: Fathu zil Jalal.)