Hadis 2: Air Laut Suci dan Bersih

            Direkodkan oleh Malik, Asy Syafie, Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah[1] daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda berkenaan laut:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Suci airnya dan halal bangkainya[2].

Sebab Hadis Ini Dilafazkan

            Direkodkan oleh Ahmad, Al Hakim dan Baihaqi[3] dari Abu Hurairah r.a berkata: “Satu hari kami bersama-sama Rasulullah s.a.w lalu datang kepada Rasulullah s.a.w seorang nelayan dan bertanya: Wahai Rasulullah, kami belayar di lautan untuk  menangkap ikan, salah seorang daripada kami membawa bekas air dengan harapan bahawa perjalanan kami menangkap ikan ini tidak jauh, kemungkinannya begitulah, akan tetapi berkemungkinan juga tidak begitu, kami tidak mendapat sebarang hasil tangkapan lalu kami belayar sehingga ke tempat yang kami tidak duga, berkemungkinan dia bermimpi sehingga mengeluarkan air mani, lalu dia mandi atau berwudh. Jika dia mandi atau berwuduk dengan air yang dibawa itu, kami bimbang jika seseorang dari kami mati dengan sebab dahaga kerana ketiadaan air minum, maka apakah pendapatmu tentang air laut, adakah boleh dia mandi atau kami berwudhuk menggunakannya jika kami bimbangkan perkara tersebut? Maka Baginda s.a.w menjawab: Mandilah dan berwudhulah (dengannya), sesungguhnya suci airnya dan halal bangkainya”.

Ulasan:

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi SAW sentiasa memberikan ilmu yang banyak kepada para sahabat baginda. Apabila ditanya tentang hokum menggunakan air laut, maka Nabi SAW menjawab soalan berkenaan bersama-sama dengan tambahan yang bermanfaat iaitu bangkai-bangkai daripada haiwan laut juga halal dimakan.

Faedah 1: Daripada lafaz (Suci airnya) maka kita fahami bahawa air laut adalah air yang suci dan boleh digunakan untuk bersuci. Hukum menggunakan air laut adalah sama dengan hukum air hujan, air takungan, air paip, air salji dan sebagainya. Selagi ia tidak berubah sifat, maka ia tetap bersih.

Daripada sudut pembahagian, air laut berada pada bahagian: Suci lagi menyucikan.[4]

Faedah 2: Daripada lafaz (bangkainya halal) maka kita fahami bahawa bangkai haiawan laut boleh dimakan seperti biasa sekalipun tanpa disembelih terlebih dahulu. Contohnya seperti bangkai ikan paus. Ia halal untuk dimakan sekalipun jika ikan berkenaan hidup ia perlu disembelih terlebih dahulu.

Faedah 3: Menjadi sunnah buat orang alim apabila ditanya tentang satu permasalahan supaya dia menjawab dengan jawapan yang diperlukan serta menambah ulasan penting yang difikirkan sesuai dengan keadaan orang yang bertanya.

Hadis 3: Air Bersih Selagi Tidak Berubah Warna dan Rasa

            Dikeluarkan oleh Ahmad, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban[5], daripada Ibnu Abbas berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w:


Air itu tidak dinajiskan oleh sesuatu

Sebab Hadis Ini Dilafazkan

            Dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, At Tirmizi dan An Nasai[6]. Lafaz ini riwayat An Nasai. Daripada Abu Said Al Khudri r.a, beliau berkata: “Aku berjalan melintasi Nabi s.a.w dan ketika itu baginda s.aw sedang berwuduk di telaga Budha’ah[7], maka aku bertanya kepada baginda s.aw: Wahai Rasulullah s.a.w, bolehkah berwuduk di telaga Budha’ah sedangkan dicampak kedalamnya ‘Al Hiadh’ (perca kain yang digunakan untuk mencuci darah haidh) ,‘Al Natn’[8] (sesuatu yang berbau busuk) dan juga daging-daging anjing? Maka baginda s.a.w menjawab: Airnya suci tidak dinajiskan oleh sesuatu”.[9]

Ulasan:

Hukum asal bagi air mutlak ialah bersih melainkan sifatnya bertukar dengan perubahan 3 perkara:

Baunya telah bertukar sehingga disebutkan bahawa ia bukanlah bau asal bagi air mutlak berkenaan.
Rasanya telah bertukar seperti air laut telah bertukar kelat najis
Warna asal bagi air mutlak berkenaan berubah menjadi bentuk bernajis.

Air telaga adalah salah satu daripada jenis-jenis air mutlak. Maka asal bagi air telaga adalah bersih. Apabila ada perubahan baharulah air berkenaan dianggap kotor dan tidak boleh diguna untuk bersuci.

WallahuA`lam.

Hadis 4: Air Dua Qullah

            Dikeluarkan oleh Abu Ahmad Al Hakim[10] dan Baihaqi dari Yahya bin Ya’mar bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:
إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلْ نَجَسًا وَلَا بَأْسً
Jika sekiranya air itu dua Qullah, ia tidak menanggung sebarang najis dan kotoran.

Sebab Hadis Ini Dilafazkan
           
Dikeluarkan oleh Ahmad[11] daripada Ibnu Umar, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w ditanya berkenaan air yang berada di padang pasir dan yang telah dilalu oleh binatang melata dan binatang buas. Maka Baginda Nabi s.a.w menjawab: Jika sekiranya air itu dua Qullah ia tidak menanggung najis”.

Ulasan:

Sebahagain ulama khususnya di dalam mazhab asy-Syafii menganggap bahawa air yang kurang daripada 2 Qullah dikira sebagai sedikit dan menanggung najis. Sedangkan apabila air yang suci yang lebih daripada kadar dua Qullah adalah banyak dan tidak menanggung najis.

Sekiranya air yang kurang daripada 2 Qullah kemudian ada najis bersamanya, maka ia menjadi nasjis sekalipun jika3 sifat air berkenaan tidak berubah.

Sekiranya air lebih daripada 2 Qullah, maka hendaklah dilihat adakah ia berubah sifat atau tidak. Jika berubah sifat barulah ia dianggap tidak menyucikan dan kotor.

Faedah 1: Berapakah Kuantiti 2 Qullah?

Qullah adalah satu jenis bekas yang digunakan oleh orang-orang Arab di masa lampau untuk mengisi, membawa dan menyimpan air. Dua abad selepas kewafatan Rasullulah s.a.w., para ulama fikah di Baghdad dan di Mesir sudah tidak lagi menggunakan ukuran qullah. Mereka menggunakan ukuran ritl Baghdad. Tetapi ukuran rithl ini juga tidak menjadi standard kelamaannya, rithl Baghdad dan rithl Mesir tidak lagi sama. Sukatan rithl ni sudah lama ditinggalkan.

Dalam banyak kitab fikah disebutkan bahawa ukuran isi padu dua qullah itu adalah 500 rithl Baghdad. Dua Qullah berdasarkan sukatan lama Iraq iaitu 500 rithl. Satu rithl bersamaan dengan 375 ml. (Ulama bercanggah pendapat dengan jumlah rithl dalam dua kolah, ada yang mengatakan 400 rithl dan ada yang menyatakan sampai 1000 rithl. Orang Mesir mengukur 2 qullah dengan ukuran rithl mereka dan jumlahnya hanya 446 3/7 Rithl).

Jumlah sukatan

Terdapat pendapat yang berbeza di kalangan ulama mengenai jumlah air dua qullah ini.

Kiraan Moden:

Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam Al-Fiqhul Islami Wa Adillatuhu menyatakan jumlah ini sebagai 270 liter.

Jadi apabila air dalam jumlahnya kurang dari 270 liter digunakan untuk berwuduk, mandi atau bercampur dengan air yang sudah digunakan untuk berwuduk`, maka air itu dianggap sudah mustakmal. Walaupun air itu suci, air itu tidak lagi boleh digunakan untuk menyucikan. Majlis Agama Islam Singapura juga mentakrifkan dua Qullah sebagai 270 liter.

Ada pendapat menyatakan jumlah dua qullah ini adalah sebanyak 216 liter.

❷ Ukuran Tradisional

Mengikut Dr Abdul Salam Muhammad Shukri, dari Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ukuran dua Qullah adalah isi padu air kira-kira 9 ¾ tin minyak tanah atau 192.121 kilogram. Ukuran takungan atau bekas air bagi bekas empat persegi tepat pula ialah 22 ½ inci atau 57 sentimeter, manakala bekas yang berbentuk bulat pula garis pusat 18 inci atau 45.75 sentimeter dan tinggi atau dalamnya 25 inci (63.542 sentimeter).

Mengikut Jabatan Mufti Negeri Melaka, jumlah dua Qullah kalau dikira dengan tin minyak tanah, maka air dua Qullah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin ataupun kalau dikira dengan timbangan, maka berat air dua Qullah itu adalah seberat 162.72 kg. dan jika dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua Qullah itu memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.

Faedah 2: Daripada hadis sebab wurud hadis ini, kita dapati bahawa Nabi SAW ditanya tentang air yang dilalui oleh binatang buas. Lalu dikatakan Nabi SAW menjawab seperti itu. Sedangkan para ulama telah bersepakat bahawa air yang dilalui oleh binatang buas tidak menjadi kotor dan ia kekal dengan hukum asalnya.

Faedah 3: Ibnu `Abdul Bar berkata di dalam kitab at-Tamhid:

: ما ذهب إليه الشافعي من حديث القلتين ، مذهب ضعيف من جهة النظر ، غير ثابت من جهة الأثر ، لأنه حديث تكلم فيه جماعة من أهل العلم ، ولأن القلتين لم يوقف على حقيقة مبلغهما في أثر ثابت ولا إجماع

Pendapat asy-Syafii berkaitan hadis Qullatain adalah pandangan mazhab yang lemah daripada sudut kajian (nazar) serta tidak sabit daripada sudut asar (hadis). Hadis berkenaan diperselisishkan oleh ahli ilmu. Kerana Qullatain adalah kadar yang tidak disepakati nilaianya daripada asar yang sabit atau ijmak.

Justeru, hadis ini mempunyai komentar yang banyak daripada kalangan ulama bahkan riwayatnya begitu banyak sekali. Pada pandangan saya, hadis telaga budhaah patut dirujuk bagi memahami hadis yang mempunyai perbahasan ini.

Di dalam hadis telaga budhaah disebutkan bahawa air telaga itu sedikit kemudian ia dimasuki oleh najis dan sebagainya tetapi sifat airnya tidak berubah maka hukumnya kekal harus. Kuantiti bukanlah isu di dalam menentutkan kesucian air.

WallahuA`lam.



[1] Malik meriwayatkan: Di dalam bab (pada menyatakan perbezaan antara banyak dan sikit daripadanya), m/s 60.
[2] Hadis ini sahih kerana banyak jalan periwayatannya. Al Hafiz Ibnu Hajar menyebut bahawasanya hadis ini datang daripada 9 jalan periwayatan dan dgn sebab itu dihukumkan sebagai sahih. Lihat: Bulugh Al Maram dan syarahnya Subul As Salam, jlid 1:m/s 15).
[3] Ahmad: seumpamanya dari Abu Hurairah r.a, jilid 2: m/s 392.
[4] Di dalam Mazhab Asy-Syafii, air dibahagikan kepada suci lagi menyucikan (contoh: air laut) suci lagi menyucikan tetapi makruh digunakan (contoh: Air musyammas), suci tetapi tidak menyucikan (air sedikit yang musta`mal), serta air bernajis.
[5] Ahmad: Dengan lafaz yang sama dari Ibnu Abbas, jilid 1: m/s 235.
[6] Ahmad: Meriwayatkan seumpamanya daripada Abu Said, jilid 3: m/s 31. Abu Daud: Di dalam kitab Bersuci bab (perbahasan berkenaan telaga Budha’ah), jilid 1: m/s 17, hadis ke 66. At Tirmizi: Di dalam bab-bab bersuci bab (perbahasan berkenaan air yang tidak dinajiskan sesuatu), jilid 1: m/s 95, hadis Hasan. An Nasai: Di dalam kitab Air bab (perbahasan berkenaan telaga Budha’ah) dengan lafaz yang sama, jilid 1: m/s 174.
[7] Telaga Budha’ah: Telaga Budha’ah dibaca dengan hurf Ba’ diletakkan baris hadapan, terkadang dibaca juga dibariskan Ba’ dengan baris bawah (Bidha’ah). Telaga ini terletak di Madinah, ia berdiameter enam meter. (Al Muhit, jilid 3: m/s 6).
[8] Al Hiadh: kata jamak bagi perkataan Hidhah, huruf ha’ berbaris bawah. Maksudnya ialah perca kain yang digunakan untuk membersihkan darah Haidh.
Al Natn: Sesuatu yang berbau busuk, Di antara kalimah yang dibentuk dari kalimah ini: ‘muntanah’ bermaksud perkara yang dicela syara’, yang dijauhi dan dibenci.
[9] At Tirmizi berkata: Hadis ini Hasan. Abu Usamah telah meriwayatkan hadis ini dengan baik. Tiada seorangpun yang meriwayatkan hadis Abu Said berkenaan telaga Budha’ah lebih baik daripada Abu Usamah. Beliau telah meriwayatkan hadis ini daripada Abu Said dengan berbagai bentuk.
[10] Di dalam naskhah Andalus tertulis: Diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim.
[11] Ahmad meriwayatkan dengan lafaz seperti ini daripada Ibnu Umar r.a, jilid 2: m/s 38.