Al-Imam Ibnu Uthaimin rh menyebutkan di dalam Syarah al-`Aqīdah al-Wāsiṭīyyah: “Tiada ragu lagi bahawa dia – iaitu Khadijah – adalah orang pertama beriman dengan Nabi SAW kerana apabila Nabi menemuinya lalu menceritakan berkenaan apa yang telah berlaku di Gua Hira’, Khadijah berkata: “Bahkan Allah tidak akan mencelamu selama-lamanya!” Dia beriman dengannya. Kemudian dia pergi kepada Waraqah bin Naufal lalu menceritakan apa yang berlaku. Maka Waraqah berkata: “Itu adalah an-Nāmūs yang telah turun kepada Mūsa.” An-Nāmūs ialah pemilik rahsia. Lalu Waraqah beriman dengannya.

Kemudian asy-Syeikh berkata: “Justeru itu, wanita pertama beriman ialah Khadijah, manakala lelaki pertama pula ialah Waraqah bin Naufal.”

Pendapat ini juga dipegang oleh al-Hafiz al-`Iraqi. Beliau berkata: “Hendaklah disebutkan: Orang yang pertama beriman daripada kalangan lelaki ialah Waraqah bin Naufal bersandar kepada Ṣahīhain pada permulaan wahyu.”[1]

Al-Hāfiẓ Ibn Kasīr berkata: “Waraqah meninggal tidak lama selepas peristiwa berkenaan. Daripada sini maka kita dapati bahawa telah disandarkan kepadanya penysaksian (tasdiq) terhadap apa yang berlaku kepada Nabi SAW, beriman terhadap wahyu yang diterima serta niat yang baik pada kemudian hari.”[2]

Ibnu Hajar pula berkata: “Perkara ini jelas menunjukkan bahawa beliau menerima kenabian Nabi SAW tetapi beliau mati sebelum  Rasulullah mengajak manusia kepada Islam.”

Di dalam Musnad Imam Ahmad pula, Aisyah berkata:

أَنَّ خَدِيجَةَ سَأَلَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ وَرَقَةَ بْنِ نَوْفَلٍ فَقَالَ: " قَدْ رَأَيْتُهُ فِي الْمَنَامِ فَرَأَيْتُ عَلَيْهِ ثِيَابُ بَيَاضٍ فَأَحْسِبُهُ لَوْ كَانَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ يَكُنْ عَلَيْهِ ثِيَابَ بَيَاضٍ

Khadijah pernah bertanya Rasulullah SAW berkenaan Waraqah bin naufal, lalu baginda berkata: “Aku telah melihatnya di dalam mimpi. Aku melihat dia memakai pakaian putih. Aku menilai bahawa sekiranya dia daripada kalangan penghuni neraka maka dia tidak akan memakai pakaian putih.”

(HR Ahmad, bilangan: 24367)

Ibnu Kasīr berkata: Isnad hadis ini Hasan tetapi ia diriwayatkan oleh Az-Zuhrī dan Hisyām daripada `Urwah secara mursal.

Syeikh Syu`aīb al-Arna’ūṭ berkata: Isnad hadis ini Dhoif kerana kedhaifan Ibnu Lahi`ah. Perawi-perawi lain adalah kuat iaitu para perawi Ṣahīhain

Kesimpulan:

Setelah melihat kepada penjelasan-penjelasan di atas, maka saya membuat kesimpulan bahawa Waraqah bin Naufal adalah salah seorang daripada pengkaji agama yang pakar dalam bidang berkenaan.

Setelah Nabi SAW menceritakan apa yang berlaku, maka Waraqah mendapati ia adalah satu bentuk kenabian lalu beliau beriman dengannya. Namun Waraqah meninggal sebelum menerima dakwah Nabi SAW.

Secara umumnya, Waraqah adalah seorang yang beriman. Kemudian setelah dia menemui Nabi SAW, beliau bertambah iman. Namun beliau tidak dikategorikan sebagai salah seorang daripada sahabat Nabi kerana tidak menerima dakwah Nabi SAW. Bahkan beliau meninggal sebelum diturunkan kewajipan dakwah di dalam wahyu kedua.

Wallahu Ta`ala A`lam.


[1] Sila rujuk: Tadrīb ar-Rāwī, Al-Hāfiẓ Jalāluddīn as-Suyūṭī, halaman 501, cetakkan Muassasah ar-Rayyāt, 2005.
[2] Rujuk al-Bidāyah wa an-Nihāyah.