Semalam saya terpaksa batalkan kuliah kitab Bustanul Arifin di Kajang. Hari ini terpaksa juga batalkan kuliah kitab Manarul Munif di Batu Caves.

Akibat demam. 

Tetapi alhamdulillah pagi tadi sempat menghadiri kelas pengajian mustalah hadis Manzumah al-Baiquniyah oleh Dr. Muhamad Rozaimi. 

Saya hanya sempat bersama selama 30 minit dari pengajian 1 jam 30 minit. Namun, berada di dalam majlis ilmu orang yang mempunyai kepakaran amat berharga. 

Antara isu hadis menarik dalam pengajian kali ini ialah:

1- Taqwa adalah salah satu daripada syarat perawi yang adil. Majoriti ulama menyatakan bahawa taqwa ialah tidak melakukan dosa besar dan tidak melazimi dosa kecil. Namun al-Fadhil Dr tidak bersetuju dengan pendapat berkenaan. 

Beliau lebih cenderung kepada pendapat lain khususnya yang disebutkan oleh al-Imam Asy-Syafii,

لا نعلم أحداً أعطي طاعة الله حتى لم يخلطها بمعصية إلا يحيى بن زكريا، ولا عصى الله فلم يخلط بطاعة، فإذا كان الأغلب الطاعة فهو المعدل، وإذا كان الأغلب المعصية فهو المجرح.


Kami tidak kenal orang yang meletakkan kepatuhan kepada Allah sehingga tidak pernah mencampurnya dengan maksiat melainkan Yahya bin Zakariya. Demikian juga orang yang melakukan maksiat kepada Allah tanpa meencampurnya dengan kepatuhan. Sekiranya kebanyakkan (urusannya) adalah melaksanakan kepatuhan maka dia seorang yang adil tetapi jika kebanyakkan urusannya ialah maksiat maka dia seorang yang tercalar (mujarrah).

Isu taqwa ditimbulkan bagi melihat keberangkalian bohong atau tidak pada perawi sesebuah hadis.

Jika menjadikan syarat tidak melakukan dosa besar sebagai kriteria adil, maka sebahagian sahabat Nabi juga boleh dikategori sebagai tidak adil kerana pernah melakukan dosa besar. Hal ini sangat pelik kerana seluruh ulama ahli sunnah bersepakat menyatakan semua sahabat adalah adil. 

2- Hadis yang lemah ringan boleh dinaik taraf kepada hasan li ghairih apabila ia bertepatan dengan pembuktian sains. Isu ini agak kontroversi. 

Dr mencadangkan para penuntut ilmu untuk merujuk sebuah buku kecil karangan guru beliau Prof. Dr. Syaraf al-Qudhoh yang berjudul (al-`Islam wal `Ilm - Islam dan Ilmu). 

Alhamdulillah saya sudah selesai membaca buku kecil berkenaan di dalam versi PDF. Hanya 45 muka surat sahaja. 

Kesimpulan saya, anda akan dapati beberapa penjelasan tentang hubungan rapat antara ilmu dengan Islam sehingga hubungan tersebut diikat dengan praktikal bukan hanya teori. Ia penjelasan ringkas dan padat. Paling menarik ialah perbahasan tentang pembahagian sandaran ilmu kepada panca indera, akal dan berita benar (Wahyu).  Tentu juga isu menarik ialah isu hadis dhoif ringan boleh dinaik taraf kepada hasan li ghairih dengan pembuktian sains.

Anda boleh download di link berikut: https://www.mediafire.com/?zxjd1lwp35ndfin

Semoga Allah memberkati ilmu dan amalan kita. 

p/s: Jika sahabat-sahabat lain yang hadir sudi berkongsi nota penuh pengajian, saya sangat berterima kasih dan berdoa semoga Allah menambah ilmu anda.