Ibnu `Abbās radhiyallahuanhā menyampaikan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ، وَلَكِنَّ الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Kalaulah diberikan (kebebasan) kepada manusia untuk mendakwa; nescaya akan ada manusia yang mendakwa miliknya harta orang yang lain dan darah mereka, oleh itu (dalam Islam), Pembuktian menjadi tanggungjawab pertama ke atas pendakwa, dan (apabila telah sabit bukti), sumpah menolak adalah bagi mereka yang mengingkari (bukti tadi).

(HR al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubrā: 21201)

Hadis ini hasan menurut Imam an-Nawawi. Sebahagian hadis ini terdapat di dalam Ṣahīhain, al-Bukhari (4552) dan Muslim (1711).

Hadis ini menjelaskan bahawa seseorang individu hanya boleh didakwa dengan sesuatu tuduhan apabila terdapat bukti yang menyokongnya. Jika kaedah ini tidak diamalkan lalu sesiapa sahaja yang mendakwa dikira sebagai benar, maka akan rosaklah sistem keadilan. Akan ada orang yang mengatakan “Si fulan ini telah membunuh bapaku..” lalu akan jatuh hukum qisas. Akan ada orang yang mengatakan, “Si fulanah telah meminjam daripadaku RM 10,000 tetapi sengaja tidak mahu membayarnya..”. sedangkan agama telah memberikan kaedah yang penting bagi menjaga hak setiap individu.

Daripada hadis di atas, difahami bahawa setiap individu tidak dikira sebagai bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah. Ia juga bertepatan dengan kaedah fikah yang agung menyatakan:

Hukum asal bagi semua individu ialah dirinya bebas daripada sebarang tuduhan atau pertanggungjawaban.

الأصل برآءة الذمة

Yakin tidak dapat dihilangkan dengan syak.

اليقين لا يزول بالشك

Pembuktian (al-bāiyyinah) yang disebutkan di dalam hadis di atas hendaklah diambil perhatian kerana ia adalah medium utama yang diperlukan bagi memaksa sumpah ingkar serta bantahan daripada orang yang tertuduh. Sekiranya ia tidak ada, maka pihak tertuduh tidak perlu bersumpah dengan apa-apa sumpah. Melainkan sekirnya isu berkenaan telah sampai ke muka pengadilan dan pihak hakim memutuskan supaya tertuduh untuk bersumpah. Dalam hal ini, tertuduh wajib bersumpah kerana ia adalah isu penghakiman.

Bentuk Bukti

Para ulama menyatakan bahawa bukti yang mahu dibawa berkenaan bergantung kepada kes yang terlibat. Bukti berkenaan mestilah sesuai dengan kes terbabit. Kita jadikan isu liwat dan zina sebagai contoh:

Dr. Zaharuddin Abdul Rahman menyebutkan, “Justeru, perlu ditegaskan dalam hal zina dan liwat, bagi menganggap bersalah, salah satu antara dua cara ini mestilah menjadi jalannya, iaitu :-

IQRAR ATAU PENGAKUAN SUKARELA secara insaf oleh pelaku bahwa dia melakukan sesuatu kesalahan itu. Sama ada mencuri, berzina, liwat, membunuh dan sebagainya. Sebagaimana yang dilakukan oleh pemuda bernama Ma’iz bin Malik Al-Aslami di zaman Nabi Muhammad s.a.w

  EMPAT SAKSI LELAKI YANG ADIL; Khusus bagi kes zina dan liwat, sesiapa yang menuduh mestilah membawakan empat orang saksi yang adil lelaki bagi mensabitkan kesalahan pada hukum Islam.

Selagi tiada saksi sebegitu, kes MASIH BOLEH diadili tetapi IA BUKAN LAGI TERMASUK DALAM KES HUDUD BAGI SI TERTUDUH. Manakala yang menuduh tanpa empat saksi pula BAKAL DISABITKAN KESALAHAN QAZAF, penuduh hanya boleh terselamat dari hukuman qazaf (yang perlu dilaksanakan di dunia, jika tiada, hukumannya menanti di akhirat amat berat) apabila membawakan 4 saksi seperti di atas atau membawa kes tanpa 4 saksi secara senyap dan tertutup untuk perbicaraan di mahkamah. Di sana, hakim mahkamah akan menyemak semua bukti-bukti tambahan sama ada video, DNA, gambar dan sebagainya untuk beliau menjatuhkan sebarang keputusan di bawah peruntukan ta’zir.[1]

Pengecualian Kaedah

Namun ada beberapa isu yang terkeluar daripada kaedah ini apabila perkara berkenaan hanya berlaku kepada dirinya. Contohnya:

Dakwaan seorang anak yang telah baligh dengan cara bermimpi.
Wanita mendakwa telah selesai waktu iddah dengan tiga kali kitaran suci haid.
Seseorang yang diberi amanah mendakwa bahawa barang tersebut hilang kerana dicuri.

Faedah Hadis ini:

Islam adalah agama yang sentiasa terkehadapan di dalam isu hak asasi manusia. Untuk mendapatkan kajian yang menarik dan bagus dalam isu ini, sila rujuk kompilasi kertas kerja “Nadwah Huqūq al-Insān fi al-Islām” yang di anjurkan di London.

Orang yang mendakwa sesuatu perkara belum tentu lagi dia benar. Maka sebarang isu popular tidak boleh diambil begitu sahaja. Kebanyakan isu dan tuduhan hanya terhenti pada sangkaan buruk sahaja.

Umat Islam diajar untuk menjadi manusia yang realistik. Tidak boleh melebel seseorang tanpa bukti.

Islam mengajarkan akhlak mulia kepada umatnya. Tidak boleh melabel sesuka hati.

WallahuA`lam.