Alhamdulillah, pada bulan lepas kita telah selesai membicarakan tentang definasi serta keistimewaan al-Quran. (Rujuk: Terjemahan Al-Wajiz: Dalil Pertama - Al-Quran). InsyaAllah kita menyambung pengajian pada bulan ini dengan isu kemukjizatan al-Quran. 

Kuliah: Maghrib
Kitab: Al-Wajiz Fi Usul Fiqh
Penulis: Dr. Wahbah al-Zuhaily
Masjid: Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes
Kitaran: Kuliah Hari Sabtu, Minggu Ke 3. 

___________________


Al-Quran dijadikan Hujah

Al-Quran ialah satu hujah yang wajib diamalkan oleh seluruh manusia. Kerana ia adalah kata-kata Allah telah disampaikan secara benar dengan jalan yang pasti (qaṭ`ie) tiada keraguan lagi pada kebenarannya. Bahkan tiada syubhah padanya. Dalil yang tuntas terhadap isu berkenaan ialah: Kemukjizatannya.

Mukjizat al-Quran

Maknanya ialah dinisbahkah al-`Ajz (lemah) kepada orang lain untuk menirunya atau mendatangkan sesuatu yang seumpamanya atau sekadar satu surah yang paling pendek di dalamnya.

Makna mukjizat ini dilengkapi dengan tiga perkara berikut:

❶ Al-Tahaddī (Cabaran) : Ertinya ia meminta untuk dilawan atau ditentang

❷ Mesti terdapat faktor yang membawa kepada penentangan yang mempertahankan lawan.

❸ Tiada halangan yang menghalang penentangan di dalam perlawanan ini.

3 perkara ini telahpun terdapat di dalam al-Qurān al-Karīm. Nabi SAW disuruh oleh Allah untuk mengemukakan cabaran bagi mendatangkan sesuatu yang seumpama al-Quran. Para tokoh-tokoh Arab yang tidak mempercayai Rasulullah telah bangun untuk mensabitkan kebenaran dakwaan mereka. Serta tiada halangan yang menghalang mereka untuk menentang, sedangkan mereka ialah tokoh-tokoh al-Balāghah dan al-Bayan.

Cabaran (al-Tahaddī) di dalam al-Qurān terdapat pada ayat yang banyak. Antaranya, Firman Allah

قُلْ فَأْتُوا بِكِتَابٍ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ هُوَ أَهْدَى مِنْهُمَا أَتَّبِعْهُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Ertinya: 49. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalau demikianlah sikap kamu maka bawalah sebuah kitab dari sisi Allah yang dapat memberi panduan lebih daripada keduanya, supaya aku menurutnya. (Bawalah dia) jika betul kamu orang-orang yang benar ".

(Al-Qaṣaṣ: 49)[1]

Firman Allah:

قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

88. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".

(Al-Isrā’: 88)

Setelah mereka tidak mampu menjawab cabaran al-Quran terhadap mereka bagi membawakan sepenuh ayat yang seumpama al-Quran, maka Allah mencabar mereka untuk membawakan 10 surah sahaja.

Allah berfirman:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

13. mereka menuduh dengan mengatakan: "Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! " Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding Dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang Yang benar".

(Hūd: 13)

Setelah mereka tidak mampu membawakan 10 ayat, maka Allah mencabar untuk membawakan 1 surah sahaja yang seumpama al-Quran.

Firman Allah:

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

23. dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding Dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang Yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang Yang benar.

(Al-Baqarah: 23)

Daripada sudut terdapatnya faktor yang membawa kepada penentangan, pertelingkahan serta pembelaan di sisi orang Arab: Ia telah jelas di dalam sirah Nabi setelah baginda dilantik menjadi nabi. Baginda menyampaikan khabar bahawa baginda adalah utusan Allah. Baginda diutus kepada mereka dengan agama yang membatalkan agama sembahan patung mereka serta ikut-ikutan nenek moyang mereka, memperlekehkan pemikiran mereka, mengutuk sembahan mereka serta mengeji ibadat mereka, bersandar kepada Kitābullah. Mereka adalah orang yang paling lemah di dalam menjawab dakwaan-dakwaan baginda serta membatalkan apa yang dibawakan Rasulullah daripada Allah maka mereka kalah kepada baginda.

Daripada sudut tiada halangan untuk menentang al-Quran pula: Ia dapat dilihat daripada keadaan orang Arab. Kerana al-Quran diturunkan di dalam bahasa mereka, menggunakan lenggok (Uslūb) mereka, tersusun dengan huruf-huruf lisan mereka, makna-makna ucapan daripada kebiasaan mereka. Bahkan mereka sering pula berbangga-bangga dengan Faṣohah[2], al-Balāghah[3] dan al-Bayān kepada orang lain. Mereka mempunyai al-syi`r dan al-nasr yang mempunyai kedudukan yang terkenal.

Ucapan dan syi`ir mereka menunjukkan kepada kematangan pemikiran mereka, kejernihan semulajadi, kecepatan spontan, kejernihan isu, serta kehebatan pengalaman hidup.

Telah maklum bahawa penentangan berkenaan tidak disekat dengan waktu tertentu. Al-Quran tidak diturunkan secara sekaligus. Ia diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun. Ini memberi peluang penentangan, persediaan serta peluang mendahului. Namun telah sah kelemahan mereka dalam menentang al-Quran sehingga akhirnya bahkan selama-lamanya. Bahkan jika mereka meminta pertolongan orang yang mereka mahu daripada kalangan manusia dan jin sekalipun mereka tetap tidak mampu. Maka jelaslah tujuan yang dikehendaki iaitu al-Quran bukanlah kata-kata manusia dan bukan berada pada peringkat kata-kata manusia, ia semata-mata daripada Allah.

Demikian itu adalah bukti yang pasti kepada kenabian utusan Allah Muhammad bin Abdullah yang menyampaikan Kalāmullah, syariat-syariat-Nya, serta hukum-hukum Allah kepada manusia.

Aspek Mukjizat

Al-Quran telah melemahkan bangsa Arab dalam beberapa aspek, sama ada lafaz, makna, serta roh. Lantas mereka berhenti daripada menentang aspek berkenaan. Mereka tahu bahawa akal tidak sampai bahkan tidak akan sampai kepada darjat (mustawā) al-Quran di dalam bahasa, al-Bayan, serta al-Ma`ani.

Manusia menjadi lebih yakin bahawa aspek mukjizat tidak terhad dengan zaman. Bahkan ia sentiasa baharu apabila bertambahkan tadabbur ayat-ayat al-Quran, bertambah juga penyingkapan-penyingkapan sains terhadap rahsia-rahsia alam,telah menguatkan selama-lamanya bahawa al-Quran adalah daripada Allah. Ia adalah mukjizat Rasulullah SAW yang menjadi petunjuk kepada kebenaran Nabi sekalipun zaman telah semakin panjang.

Berikut ialah sebahagian daripada bentuk-bentuk mikjizat[4]:

❶ `Ibārah dan Ma`aninya tersusun, hukum-hukum dan objektifnya sempurna.

Al-Quran tersusun dalam 6 ribu ayat (6226 ayat) di dalam isu yang berbeza-beza: Akidah, Syariah, Akhlak dan Kisah-Kisah. Di dalam al-Quran juga terdapat pelbagai pemerhatian ilmu yang banyak pada isu alam semesta, sosial, akhlak dan emosi. Kita tidak menemui sebarang percanggahan antara makna-makna serta hukum-hukum al-Quran dalam keadaan ia diturunkan selama 23 tahun.

Kita juga tidak menemui sebarang percanggahan `Ibārah diperingkat ilmu al-Balaghah. Demikian juga tiada perbezaan di dalam Faṣohah al-Ta`bir (Kejelasan di dalam interprétasi). Setiap `Ibārah di dalam al-Quran bertepatan dengan kemahiran bahasa serta sesuai dengan isu yang dibangkitkan.

Allah berfirman:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

82. Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

(al-Nisā’: 82)

Lenggok al-Quran sesuai dengan isu-isu yang dibangkitkan. Di dalam bab pensyariatan (undang-undang) ia menggunakan lafaz yang teliti dan muktamad. Penjelasan yang memandu, manakala dalam isu aqidah dan ibadah pula ia menggunakan lenggok yang memberi kesan menggetarkan jiwa serta menyentuh emosi.[5]

Ada sebahagian ayat al-Quran di dapati seolah-olah ada percanggahan antara satu sama lain menurut kefahaman manusia tetapi setelah diperhatikan dengan teliti maka jelas bahawa ia tidak bercanggah secara realitinya.

❷ Bertepatan dengan pembuktian sains.

Al-Qurān al-Karīm ialah kitab syariat, hidayah serta perlembagaan ibadat dan akhlak. Bukanlah maqsud al-Quran itu untuk membenarkan kajian-kajian sains. Ia menceritakan tentang isu penciptaan langit dan bumi, diindahkan langit dengan kecantikan bintang-bintang. Diciptakan manusia, tumbuh-tumbuhan,dan haiwan untuk membenarkan kewujudan Allah serta keesaannya. Kita menemui petunjuk kepada kebenaran sunnah alam serta undang-undang ilahi yang sabit. Ia bertepatan dengan pembuktian sains dahulu atau moden.

Contohnya:

Firman Allah: yang menjelaskan tentang pendebungaan:

وَأَرْسَلْنَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ

22. dan Kami hantarkan angin sebagai pemindah benih;

(al-Hijr: 22)

Firman Allah yang menunjukkan kepada proses Nebula.

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ

30. dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda Yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda Yang hidup? maka mengapa mereka tidak mahu beriman?

(Al-Anbiya’: 30)

Firman Allah yang menunjukkan kepada kitaran bumi.

وَتَرَى الْجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَهِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ صُنْعَ اللَّهِ الَّذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ إِنَّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَفْعَلُونَ

88. dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap - tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; Sesungguhnya ia amat mendalam pengetahuannya akan apa yang kamu lakukan.

(Al-Naml: 88)

Firman Allah yang menunjukkan keadaan bumi yang bulat dan mendatar, bukannya bulatan penuh.

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا نَأْتِي الْأَرْضَ نَنْقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا
(Al-Ra`d: 41)

Firman Allah yang difahami bahawa bumi ini berbentuk bulat:

يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

...ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya); ...

(Al-Zumar: 5)

Perkataan at-Takwir menunjukkan kepada golekkan yang berbentuk bulat.

Firman Allah yang menunjukkan bahawa air masin tidak akan bercampur dengan air tawar pada satu tempat.

مَرَجَ الْبَحْرَيْنِ يَلْتَقِيَانِ (19) بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ لَا يَبْغِيَانِ (20)

19. ia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu; 20. di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;

(Al-Rahman: 19-20)

Firman Allah yang menunjukkan kepada peringkat penciptaan manusia yang bertepatan dengan pembuktiaan perubatan.

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ طِينٍ (12) ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَكِينٍ (13) ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنْشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

12. dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; 13. kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh; 14. kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

(Al-Mu;minūn: 12-14)

❸ Khabar tentang perkara ghaib.

Bersambung.....


________________________

::: Nota Kaki :::

[1] Nota Kuliah: Sebelum ayat ini, Allah telah berfirman: “48. maka ketika datang kepada mereka kebenaran (Al-Quran) dari sisi kami, mereka berkata pula: "Hendaknya (Muhammad) diberi (Kitab ugama Yang diturunkan Dengan sekaligus) sebagaimana Kitab Taurat Yang diberikan kepada Musa". Bukankah mereka dahulu telah kufur ingkar akan apa Yang diberikan kepada Nabi Musa? mereka berkata lagi: "Kedua-duanya (Al-Quran dan Taurat) itu ialah sihir Yang saling membantu (yang satu menyokong Yang lain). "Dan mereka berkata pula: "Sesungguhnya Kami kufur ingkar terhadap Kitab-kitab itu semuanya!"”
[2] Nota Kuliah: al-Faṣohah ialah: ucapan yang jelas, mudah difahami dan mempunyai struktur yang cemerlang.
[3] Nota Kuliah: Al-Balāghah bererti sebuah kemampuan untuk mengungkapkan apa yang ada di dalam fikiran dengan ungkapan yang jelas maknanya dan benar strukturnya. Ia mencakupi pelbagai keindahan struktur ilmu sastera. Balâghah mempunyai tiga cabang ilmu iaitu (1) Ilmu al-Ma’âni (2) Ilmu al-Bayân, dan (3) Ilmu al-Badî’, ketiganya mempunyai obyek kajian yang masing-masing saling melengkapi.
[4] I`jāz al-Qurān oleh al-Bāqilānī: 33-50, I`jāz al-Qurān oleh al-Rāfi`ī: H.187 dan seterusnya. Kitab-kitab Uṣul yang moden.
[5] Nota kuliah: Antaranya, ayat 56, surah an-Nisa’:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُمْ بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا

56. Sesungguhnya orang-orang Yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan kami, Kami akan membakar mereka Dalam api neraka. tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit Yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. dan (ingatlah) Sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.