Pada bulan lepas, kita telah menjelaskan muqaddimah bab Mandi di dalam Fiqh al-Manhaji dan kita telah mula belajar tentang hukum mandi dan yang berkaitan apabila berlaku Janabah (Klik: Terjemahan Fiqh Al-Manhaji (Bab Mandi) Part 1).

Pada bulan ini pula, kita ini akan mengupas isu Haid secara sepenuhnya. InsyaAllah pada bulan hadapan kita akan masuk pada bab mandi wajib kerana melahirkan anak serta kematian.

Semoga Allah mudahkan urusan kita menuntut ilmu.

__________

❷   Haiḍ

Erti haiḍ daripada sudut bahasa Arab ialah mengalir (السيلان). Disebutkan حاض الوادي  ( lembah telah mengalirkan air) sekiranya ia mengalir.

Daripada sudut syara` pula, ia bermaksud: darah Jibillah – iaitu semulajadi dan normal – ia berlaku dalam keadaan yang normal. Ia keluar daripada pangkal rahim wanita yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.

Dalil Wajib Mandi Kerana Haiḍ

Dalil yang menunjukkan wajib mandi bagi perempuan yang haiḍ ialah berdasarkan al-Qurān dan as-Sunnah.

Dalil al-Quran:

Firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ...

222. dan mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. katakanlah: "Darah haid itu satu benda Yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh Dengan isteri kamu) Dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan Yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. ...

(Al-Baqarah: 222)

Dalil al-Sunnah

Hadis pula, Rasulullah SAW bersabda kepada Faṭimah binti Abi Hubaisy R.Anha:

فَإِذَا أَقْبَلَتِ الْحَيْضَةُ فَدَعِي الصَّلَاةَ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّي

Apabila datang haiḍ kepada kamu, maka tinggalkanlah solat. Apabila ia terhenti, maka mandilah untuk membersihkan dirimu daripada darah dan kemudian dirikanlah solat.

(HR al-Bukhāri: 306[1], Muslim: 333)

Umur Baligh

Maksud baligh ialah apabila seseorang lelaki atau perempuan yang sampai had umur layak ditujukan kepadanya perintah melaksanakan syariat seperti solat, puasa, haji dan lain-lain.

Baligh diketahui dengan beberapa faktor:

❶ Mimpi sehingga keluar air mani sama ada bagi lelaki atau perempuan.

❷ Melihat keluarnya darah haid bagi perempuan. Waktu yang memungkin seseorang itu baligh dengan sebab mimpi atau kedatangan haiḍ ialah genap umur 9 tahun Qamariyyah. Lewat atau tidak kedatangan haiḍ pada had umur tersebut bergantung keppada keadaan sesebuah negeri dan keadaan hidup seseorang.

❸ Genap umur 15 tahun Qamariyyah sekiranya tiada berlaku mimpi atau datang haiḍ.

Tempoh Haiḍ

Bagi haiḍ, ada tempoh paling singkat, paling lama, dan kebiasaan.

Tempoh yang paling singkat ialah sehari penuh[2]. Manakala tempoh yang paling lama ialah 15 hari penuh. Kebiasaannya, tempoh haiḍ ialah 6 atau 7 hari.

Sekurang-kurangnya tempoh suci antara dua haiḍ ialah 15 hari, manakala tiada tempoh maksima bagi waktu suci. Terdapat juga perempuan yang tidak didatangi haiḍ selama setahun, dua tahun, bahkan ada yang beberapa tahun.

Penentuan tempoh tersebut berdasarkan kepada penelitian (Istiqra’).  Istiqra’ ialah membuat penentuan terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku berlaku dan beberapa kejadian yang mensabitkannya.[3]

Apabila seseorang wanita mengalami keluar darah kurang daripada tempoh haiḍ yang paling pendek, iaitu kurang daripada sehari semalam atau lebih daripada tempoh haiḍ yang paling lama, iaitu melebihi 15 hari, maka darah tersebut dianggap darah penyakit (Istihāḍah) dan bukan darah haiḍ. Darah haiḍ dan darah istihāḍah dapat dibezakan berdasarkan dengan warna dan kepekatannya.

Darah Istihāḍah

Darah istihāḍah ialah darah penyakit yang keluar melalui urat di hujung rahim yang dikenali sebagai al-`Āzil.

Darah ini membatalkan wuḍuk tetapi tidak mewajibkan mandi. Bahkan wajib bersolat dan berpuasa. Wanita yang istihāḍah hendaklah membasuh darah istihāḍahnya dan mengikat di tempatnya, kemudian berwuḍuk setiap kali mahu solat farḍu. Setelah itu solatlah.

Ini berdasarkan kepada hadis daripada Abu Daud (286) dan lain-lain daripada Faṭimah binti Abi Hubaisy: Beliau telah kedatangan darah istihāḍah, lalu NabiSAW bersabda kepadanya:

إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ أَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِي عَنِ الصَّلَاةِ، فَإِذَا كَانَ الْآخَرُ فَتَوَضَّئِي وَصَلِّي فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ

Jika darah haiḍ, ia biasanya hitam dan dikenali. Jika ia bersifat demikian maka janganlah bersolat dan jika sebaliknya maka berwuḍuk dan bersolatlah kerana ia adalah darah penyakit.

(HR Abu Daud: 286)[4]

[Yu`raf: Dikenali oleh wanita secara adatnya. `Irqun: pendarahan. Al-Ākhar: Iaitu yang tidak bersifat seperti itu]

Diriwayatkan oleh al-Bukhāri (228)[5] dan Muslim (333) daripada `Aishah R.Anha katanya: Faṭimah binti Abi Hubaisy telah datang kepada Nabi SAW lalu bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي امْرَأَةٌ أُسْتَحَاضُ فَلاَ أَطْهُرُ أَفَأَدَعُ الصَّلاَةَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لاَ، إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ، وَلَيْسَ بِحَيْضٍ، فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَتُكِ فَدَعِي الصَّلاَةَ، وَإِذَا أَدْبَرَتْ فَاغْسِلِي عَنْكِ الدَّمَ ثُمَّ صَلِّي

Wahai Rasulullah! Aku perempuan yang didatangi darah istihāḍah dan masih belum bersuci, adakah aku perlu meninggalkan solat? Jawab Rasulullah SAW: Tidak boleh, kerana darah itu ialah darah penyakit, bukan darah haiḍ. Ketika kedatangan haiḍ maka tinggalkanlah solat. Apabila tempohnya habis hendaklah kamu mandi dan membersihkan diri daripada darah, kemudian solatlah.

Perkara Yang Diharamkan Kerana Haiḍ

Solat: hal ini berdasarkan kepada beberapa hadis Faṭimah binti Abu Hubaisy R.Anha tentang istihāḍah yang lalu.

Membaca al-Quran, menyentuh dan membawanya sebagaimana yang telah dijelaskan dalam perkara yang diharamkan ketika janābah, bilangan 4 dan 5.

Berhenti di dalam masjid. Tidak haram melintas sahaja sebagaimana yang telah dijelaskan dalam perkara yang diharamkan sebab janābah. Antara dalil yang menunjukkan bahawa tidak haram melintas di dalam masjid selain daripada dalil yang lalu ialah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim (298) dan lain-lain daripada Aisyah R.Anha katanya, Rasulullah berkata kepadaku:

«نَاوِلِينِي الْخُمْرَةَ مِنَ الْمَسْجِدِ»، قَالَتْ فَقُلْتُ: إِنِّي حَائِضٌ، فَقَالَ: «إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِي يَدِكِ»

Ambilkan al-Khumrah[6] dari masjid. Aku berkata: Aku sedang berhaiḍ. Maka Nabi bersabda: Haiḍ kamu itu tidak berada pada tanganmu.

(HR Muslim: 298)

Diriwayatkan oleh an-Nasa’ie (147/1) daripada Maimunah R.Anha, katanya:

تَقُومُ إِحْدَانَا بِخُمْرَتِهِ إِلَى الْمَسْجِدِ فَتَبْسُطُهَا وَهِيَ حَائِضٌ

Seorang daripada kami membawa al-Khumrah ke dalam masjid lalu dia menghamparkannya sedangkan dia dalam keadaan berhaiḍ.[7]

[al-Khumrah: Iaitu sejadah atau tikar yang diletakkan orang bersolat bagi bersolat atau bersujud di atasnya.]

Bertawaf. Dalil diharamkan tawaf telah dijelaskan di dalam bab janābah. Pada nombor 3. Dalil seterusnya ialah, diriwayatkan oleh al-Bukhāri (290) dan Muslim (1211) daripada Aisyah R.Anha katanya:

خَرَجْنَا لاَ نَرَى إِلَّا الحَجَّ، فَلَمَّا كُنَّا بِسَرِفَ حِضْتُ، فَدَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي، قَالَ: «مَا لَكِ أَنُفِسْتِ؟». قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ، فَاقْضِي مَا يَقْضِي الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ»

Kami keluar untuk menunaikan haji. Apabila telah sampai di Saraf, aku berhaiḍ. Rasulullah masuk menemuiku dalam keadaan aku menangis. Baginda bertanya: Apa masalah kamu? Adakah kamu didatangi haiḍ? Aku menjawab: Ya. Lalu baginda berkata: Ia adalah perkarayang telah ditetapkan Allah kepada wanita-wanita anak Adam. Buatlah sepertimana orang yang berbuat haji kecuali tawaf di Kaabah.

(HR al-Bukhāri: 290 dan Muslim: 1211)

Di dalam riwayat yang lain menyebutkan: Sehingga engkau bersuci.

[Lā Narā: Kami tidak menyangkan diri kami melainkan berihram untuk menunaikan haji. Bisaraf: Satu tempat berdekatan Mekah. ‘Anufisti: Adakah kamu berhaiḍ? Faqḍī: Lakukanlah manasik haji sepertimana orang lain.]

Perkara lain yang diharamkan kerana berhaiḍ

Melintas atau melalui di dalam masjid jika dibimbangi akan mengotorkannya. Darah tersebut adalah najis maka diharamkan mengotorkan masjid dengan najis dan kotoran-kotoran lain. Sebaliknya jika selamat, maka halal baginya untuk melintasinya sepertimana yang telah kamu pelajari.

Berpuasa. Wanita yang didatangi haiḍ tidak boleh berpuasa sama ada puasa wajib atau sunat. Dalilnya sepertimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (298) dan Muslim (80), daripada Abu Sa`id RA: Rasulullah SAW ditanya tentang maksud orang perempuan yang kurang agamanya. Baginda menjawab:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

Bukankah wanita yang berhaiḍ tidak boleh bersolat dan berpuasa?

(HR al-Bukhāri: 298, Muslim: 80)

Sebagaimana maksud hadis di atas, begitulah juga apa yang disepakati oleh para ulama’. Walaubagaimanapun, mereka wajib mengqaḍa’ puasa farḍu yang ditinggalkan setelah suci daripada haiḍ tetapi tidak wajib mengqaḍa’ solat. Justeru itu, apabila haiḍnya terhenti, maka dia wajib berpuasa walaupun belum mandi.

Diriwayatkan oleh al-Bukhāri (315) daMuslim (335) dan lafaz ini ialah daripada beliau. Daripada Mu`āzah katanya:  Aku bertanya kepada `Aisyah R.Anha:

مَا بَالُ الْحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ، وَلَا تَقْضِي الصَّلَاةَ. قَالَتْ: «كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ»

Mengapa wanita yang haiḍ wajib mengqaḍa’ puasa tetapi tidak perlu mengqaḍa’ solat? Maka Aisyah menjawab: Kami telah didatangi haiḍ ketika Rasulullah SAW bersama-sama kami, lalu baginda menyuruh kami mengqaḍa’ puasa dan tidak memerintahkan kami mengqaḍa’ solat.

(HR al-Bukhāri: 315 dan Muslim: 335)[8]

Boleh jadi hikmah pada hal berkenaan ialah solat akan menjadi semakin banyak sehingga menyukarkan untuk mengqaḍa’nya, berlainan dengan puasa.

❸ Persetubuhan, bercumbu-cumbuan (al-Istimtā`) dan meraba di antara pusat dan lututnya.

Firman Allah SWT:

...فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

... oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh Dengan isteri kamu) Dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan Yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri.

(Al-Baqarah: 222)

Maksud I`tizāl ialah meninggalkan persetubuhan.

Diriwayatkan juga  daripada Abdullah bin Sa`id RA: Beliau telah bertanya Nabi SAW:

مَا يَحِلُّ لِي مِنَ امْرَأَتِي وَهِيَ حَائِضٌ؟ قَالَ: «لَكَ مَا فَوْقَ الْإِزَارِ»

Apakah yang boleh aku lakukan terhadap isteriku dalam keadaan haiḍ? Baginda menjawab: Yang boleh bagi kamu ialah menggaulinya di atas al-Izār.

(HR Abu Daud: 212)[9]

Al-Izār ialah kain yang dipakai yang menutupi pertengahan badan dan tidak yang lain. Biasanya, ia di antara pusat sehingga ke lutut.

Bersambung....
________________

Senarai Nota Kaki

[1] Dalam kitab rujukan penterjemah, ia menunjukkan nombor 306. Manakala kitab asal menyatakan nombor 226.
[2] Tempoh 24 jam.
[3] Kaedah istiqra’ tidak merujuk kepada penentuan hukum berdasarkan dalil. Tetapi ia merujuk kepada perkara yang berlaku kepada diri seseorang. Dalam isu haiḍ ini contohnya, tiada dalil nas yang menyatakan perempuan ini 5 hari, 6 hari dan sebagainya. Tetapi istiqra’ melihat kepada kebiasaan kawasan berkenaan. Ada kawasan berkenaan mengalami haidḥ 7 hari, ada kawasan lain 9 hari.
[4] Syeikh Syuaib al-Arnaouth menyatakan hadis ini sahih di dalam komentar beliau bagi kitab Sunan Abi Daud, hadis bilangan 286.
[5] Dalam kitab rujukan penterjemah, ia menunjukkan nombor 228. Manakala kitab asal menyatakan nombor 236.
[6] Al-Syeikh Muhammad Fu’ad Abdul Baqi menyatakan: Al-Harawy dan lain-lain menyatakan bahawa ia adalah sejadah yang digunakan untuk melapik kepala ketika sujud.
[7] Hadis ini Hasan menurut al-Albani.
[8] Di dalam hadis ini terdapat kenyataan yang menunjukkan Aisyah bertanya Mu`āzah: Adakah engkau seorang Haruriyyah? Lalu Muāzah menjawab: Aku bukan seorang Haruriyyah tetapi aku mahu bertanya. Kemudian hadis bersambung dengan jawapan Aisyah.
[9] Syeikh Syu`aib al-Arnaout menyatakan hadis ini Sahih.