Direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim[1] daripada Anas r.a beliau berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:

مَنْ نَامَ عَنْ صَلَاةٍ أَوْ نَسِيَهَا فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ    {وَأَقِمِ الصَّلاَةَ لِذِكْرِي}

“Sesiapa yang tidur lalu tertinggal solat ataupun dia terlupa akan solat, maka hukumannya (Fakaffāratuhā)[2] ialah dia hendaklah tunaikan apabila dia mengingatinya, tiada hukuman bagi solat tersebut selain daripada itu”. Allah berfirman: “Dan dirikanlah solat untuk  mengingati-Ku”.

Sebab Hadis Ini Dilafazkan

            Abu Ahmad Al Hakim iaitu Muhammad bin Ahmad bin Ishak Al Hafiz berkata di dalam kitab Amali milik beliau: “Telah mengkhabarkan kepada kami  Abu Ja’far Muhammad bin Al Husain Al Hana’i, telah menceritakan Muhammad bin Al `Ala’, telah menceritakan Khalaf bin Ayub Al Aamiri, telah menceritakan Ma’mar bin Az Zuhri daripada Said bin Al Musayyib dari Abu Hurairah r.a:

Pada malam Isra’, Rasulullah s.a.w telah tidur sehingga terbitnya matahari maka Baginda s.a.w terus bersolat lalu bersabda: Sesiapa yang tidur sehingga meninggalkan solat ataupun dia terlupa untuk solat maka hendaklah dia solat ketika sudah mengingatinya, kemudian Baginda s.a.w membaca ayat: “Dan dirikanlah solat untuk mengingatiku”

            Aku melihat tulisan As Syeikh Waliyuddin Al Iraqi[3] di dalam sebahagian kumpulan tulisannya. Beliau meriwayatkan hadis ini  dengan lafaz berikut:

            “Direkodkan oleh Abu Ahmad Al Hakim di dalam salah satu daripada catatannya, beliau berkata: Hadis ini Gharib riwayat daripada Ma’mar Az Zuhri dari Said daripada Abu Hurairah r.a dengan sanad yang tidak diketahui seseorangpun meriwayatkan hadis ini kecuali Khalaf bin Ayub Al Aamiri dan Abban bin Yazid Al Attar daripada beliau iaitu daripada Ma’mar”.

            Berkata Al-Syeikh Waliyuddin[4]: “Jawapan yang terbaik untuk satu soalan yang masyhur iaitu: Mengapa tidak berlakunya penerangan daripada Jibril a.s kecuali sehingga waktu zohor sedangkan solat telah diwajibkan pada malamnya? Maka dikatakan: Sesungguhnya Nabi s.a.w tertidur di waktu Subuh dan orang yang tidur tidak termasuk mukallaf”. Beliau berkata: “Ini ialah faedah yang penting, dan hadis ini sanadnya soheh”.

Aku berpendapat: Ia bukanlah seperti yang dikatakan oleh beliau.

Apa yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah perjalanan Baginda s.a.w di dalam suatu permusafiran dan Baginda s.aw tertidur sehingga terluput solat subuh, bukan perjalanan Baginda s.a.w ketika Isra dan Mi’raj ke langit. Beliau terkeliru dengan lafaz (Asra) ini.

Sebab yang kedua: Direkodkan oleh At Tirmizi dan disahihkan olehnya dan juga an-Nasai  daripada Abi Qatadah, beliau berkata:

Mereka menyebutkan kepada Nabi s.a.w tentang tidur Baginda s.a.w yang menyebabkan terluputnya solat, maka Baginda s.a.w bersabda: “Di dalam tidur tidak dikira mencuaikan. Perbuatan cuai hanya ketika sedar. Jika seseorang daripada kamu terlupa untuk solat atau tertidur sehingga luput waktu, maka hendaklah dia solat apabila dia mengingatinya”.

Direkodkan oleh Ahmad[5] dari Abi Qatadah r.a, beliau berkata:

Pernah kami bersama-sama Rasulullah s.a.w di dalam permusafiran. Lalu Baginda s.a.w bersabda: “Bagaimana jika kita berhenti seketika (`Arrasna)[6]” dan Baginda s.a.w bersabda lagi: “Peliharakan ke atas kami solat kami”. Kemudian kesemua kami tertidur dan kami tidak bangun melainkan ketika terasa bahang matahari, maka kami bingkas bangun. Rasulullah s.a.w kemudian kembali menaiki tunggangan dan mula berjalan, kami berjalan secara perlahan-lahan, selepas beberapa ketika Rasulullah s.a.w turun dari tunggangan, maka kesemua mereka berwudhu lalu Bilal r.a melaungkan azan, kemudian mereka menunaikan dua rakaat solat sunat Subuh diikuti dengan solat Subuh, selepas itu baginda dan kami semua kembali menunggang dan memulakan kembali perjalanan. Kami berkata: Wahai Rasulullah, kita telah mencuaikan solat, lalu Baginda s.a.w menjawab: Tidak dikira mencuaikan ketika tidur. Perbuatan mencuaikan hanya ketika jaga, jika berlaku sedemikian, solatlah kemudian dari waktunya”.

Keterangan:

Solat mempunyai waktunya yang telah ditentukan oleh agama. Ia tidak boleh dilaksanakan pada waktu lain sama ada lebih awal atau selepas waktunya. Ia juga tidak boleh dilaksanakan hanya apabila ada kelapangan waktu tetapi ia hendaklah dilakukan pada tempoh waktu yang ditetapkan.

Sesiapa yang terlupa atau tertidur ketika tempoh waktu yang ditetapkan berkenaan, makan dia telah diiktiraf sebagai orang yang mempunyai keuzuran. Maka mereka tidak melakukan sebarang dosa.

Tetapi orang yang sengaja meninggalkan solat sehingga luput waktunya nyata adalah seorang muslim yang tidak bertanggungjawab terhadap tuntutan agama. Maka dia berdosa atas kesalahan berkenaan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat untuk mengingatiku” adalah daripada surah Taha: ayat 14.

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

“Sesungguhnya Aku ialah Allah, Tiada Tuhan selain daripada-Ku, maka sembahlah Aku dan dirikan solat untuk mengingati-Ku”.

Lewatkan Solat Sehingga Luput Waktunya dengan Sengaja, adakah wajib Qaḍha’?

Di dalam kitab Al Misykat, jilid 1: m/s 191, hadis ke 603: Ibnu Al-Malik iaitu salah seorang ulama’ mazhab Hanafi berkata:

“Dan hadis ini merupakan dalil bahawasanya solat yang telah terluput waktu (dengan sengaja) tidak boleh dilakukan selepas waktunya” (Beliau menyebutnya di dalam Al Maraqāh, jilid 1: m/s 404).

Aku berkata: “Jika (sengaja) dilewatkan sehingga luput waktu adakah perlu diganti solat tersebut? Zahir hadis ini menunjukkan bahawa tidak perlu diganti solat tersebut. Bahkan jelas sabda Rasulullah s.a.w: Tiada hukuman bagi solat tersebut selain daripada itu”.

Jika inilah hukum bagi solat yang ditinggalkan kerana terlupa, maka demikian juga bagi selain itu, hukum bagi solat yang dilakukan oleh seseorang di luar dari waktunya dengan sengaja ialah: Tidak boleh dilakukan solat di luar dari waktunya. Ini ialah pendapat sebahagian ulama seperti Ibnu Hazm, Al Izz Abd As Salam, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim, Asy Syaukani, Siddiq Hasan Khan dan lain-lain. Sesiapa yang mahu memastikan pendapat ini rujuklah di dalam kitab Al Muhalla karangan Ibnu Hazm dan kitab As Solah karangan Ibnu Qayyim.
Secara ringkasnya pandangan ini menyebutkan seperti berikut:

Para ulama telah bersepakat bahawa telah berdosa bagi orang yang melewatkan solat tanpa sebarang keuzuran sehingga terlepas dari melaksanakannya di dalam waktunya. Tetapi 4 mazhab utama menyatakan wajib bagi mereka untuk mengganti solat yang ditinggalkan berkenaan sekalipun mereka tetap berdosa, melainkan Allah Taala mengampunkan dosa mereka. Namun, sebahagian pendapat lain yang disandar kepada generasi al-Salaf dan al-Khalaf menyatakan: Sesiapa yang sengaja melewatkan solat sehingga berakhir waktunya tanpa sebarang keuzuran maka tiada jalan qadha’ baginya buat selama-lamanya. Bahkan jika dia melakukan qadha’ berkenaan tetap tidak akan diterima. Orang berkenaan hendaklah bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat (Nasūha) serta memperbanyakkan Istighfār dan solat-solat sunat.

Kritikan ke atas pandangan berkenaan:

“Sesungguhnya kata-kata pengulas Al Mishkat menunjukkan bahawasanya tiada qada’ untuk solat yang terluput (dengan sengaja), bersalahan dengan Ijmak para ulama’. Di dalam Al Majmuk karangan An-Nawawi, jilid 3: m/s 68. Pengarang berkata:

“Sesiapa yang wajib solat ke atasnya dan dia tidak melaksanakan solat sehingga luput waktunya, maka wajib ke atasnya qada’ solat tersebut berdasarkan hadis:

“Sesiapa yang tidur sehingga terluput solat ataupun dia lupa  maka hendaklah dia solat apabila dia mengingatinya”.

Disunatkan untuk dia segera menqada’ solat tersebut berdasarkan hadis yang telah kami nukilkan, jika dia menangguhkannya tidak mengapa. Kerana telah diriwayatkan bahawasanya Rasulullah s.a.w telah terluput solat Subuh, Baginda s.a.w tidak mengqada’ solat itu sehingga Baginda s.a.w keluar dari lembah. Jika tidak boleh ditangguhkan, mengapa Baginda s.a.w sendiri berbuat demikian?

Berkata Abu Ishak: Jika dia meninggalkan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya untuk menqada’ solat tersebut serta merta kerana dia dikira sebagai cuai di dalam melambat-lambatkan solat. Disunatkan juga dia mengqada’ solat-solat tersebut mengikut turutan kerana Nabi s.a.w pernah terlepas 4 solat di hari peperangan Khandak dan Baginda s.a.w mengqada’nya secara mengikut turutan. Jika sekiranya dia tidak mengikut turutan, diharuskan kerana turutan itu hanyalah turutan keutamaan dari sudut waktu kerana terluputnya waktu-waktu solat tersebut seperti qada’ puasa. Jika sekiranya dia hendak menqada’ solat yang terluput akan tetapi waktu solat tunai telah sempit maka wajib dia menunaikan solat tunai di waktu itu terlebih dahulu, kerana waktu itu ditentukan untuknya. Sama seperti puasa sekiranya telah masuk bulan Ramadhan dan dia mempunyai puasa Ramadhan sebelumnya  yang masih belum diqada’, kerana jika ditangguhkan amalan tunai itu akan luput pula amalan tersebut, maka diwajibkan dimulakan dengan amalan yang tunai.

Di dalam Al Majmuk karangan An-Nawawi juga, di dalam jilid 3: m/s 71:

“Ulama telah berijmak (bersepakat) bahawasanya sesiapa yang meninggalkan solat secara sengaja wajib ke atasnya untuk mengqada’nya. Abu Muhammad Ali bin Hazm berselisih pendapat dengan mereka di dalam hal ini. Beliau berkata: Dia tidak akan mampu mengqada’ solat itu selamanya dan tidak sah jika dia laksanakan solat tersebut. Dia berkata lagi: Bahkan dia hendaklah memperbanyakkan amalan baik dan solat sunat untuk memberatkan timbangannya di hari kiamat dan dia hendaklah beristighfar dan bertaubat. Inilah yang disebut oleh beliau (Ibnu Hazm) dan pendapat ini menyalahi ijmak. Terbatal pendapat beliau dari sudut dalil, beliau membentangkan kata-kata ini di dalam membahaskan dari sudut pendalilan, akan tetapi tiada di dalam apa yang disebut beliau dalil-dalil secara asal.

Di antara dalil-dalil yang menunjukkan kewajipan mengqada’ (solat) ialah hadis Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi s.a.w : Memerintahkan orang yang bersetubuh di siang hari bulan Ramadhan supaya dia berpuasa sehari ditambah kaffarah iaitu sebagai ganti hari yang dia rosakkan melalui perbuatan bersetubuh secara sengaja. Diriwayatkan oleh Al Baihaqi dengan sanad yang baik, diriwayatkan oleh Abu Daud dengan makna yang seumpama lafaz ini, dan kerana jika sekiranya wajib qada’ ke atas orang yang terlupa maka ke atas orang yang sengaja adalah terlebih utama.

Di dalam Fath Al Bari, jilid 2: m/s 58. Syarah Ibnu Hajar Al Asqalani, beliau berkata: (Sesiapa yang terlupa solat maka hendaklah dia solat apabila dia ingat). Sebahagian telah berpegang kepada dalil perintah (khitab) yang terdapat di dalam hadis, diantaranya: Orang yang berpendapat bahawa sesiapa yang sengaja meninggalkan solat tidak perlu mengqada’ kerana ternafinya syarat maka ternafi juga apa yang terdapat selepas syarat tersebut. Maka kesimpulannya: sesiapa yang tidak terlupa maka tidak perlu solat. Berkata pula orang yang berpendapat bahawa orang yang sengaja hendaklah mengqada’: Perkara itu diambil dari kefahaman disebalik perintah tersebut, ia termasuk di dalam bab menyebutkan perkara yang lebih remeh sebagai penekanan kepada  perkara yang lebih penting, kerana jika orang yang terlupa wajib mengqada’kan solat walau dengan tiada dosa, maka orang yang sengaja adalah terlebih utama untuk mengqada’.

Sebahagiannya mendakwa: Sesungguhnya kewajipan qada’ ke atas orang yang sengaja di ambil daripada lafaz ‘An Nisyan’ itu sendiri,  kerana lafaz ini bermaksud meninggalkan samada dengan kelupaan ataupun tidak, seperti di dalam firman Allah di dalam surah Al Hasyr, ayat 19: “Mereka melupakan Allah maka Allah membuat mereka lupa diri mereka”. Juga firman Allah di dalam surah At Taubah, ayat 67: “Mereka melupai Allah dan Allah juga melupakan mereka”. Beliau juga berkata, sabda Rasulullah s.a.w “tiada kaffarah bagi solat tersebut” menguatkan pendapat mereka itu. Akan tetapi orang yang tertidur dan terlupa tiada dosa ke atas mereka.

Aku berkata: Ini ialah satu perbahasan yang lemah, kerana hadis yang menyebut orang yang tidur telah sabit, dan di dalamnya ada disebutkan “tiada Kaffarah baginya”. Kaffarah ini terkena ke atas orang yang tersilap sepertimana terkena ke atas orang yang sengaja.

Mereka yang berpendapat bahawasanya orang yang sengaja meninggalkan solat tidak perlu mengqada’ tidak menolak kenyataan bahawa orang yang sengaja itu lebih utama keadaannya (wajib qada’) daripada yang terlupa, bahkan mereka berkata: “Jika disyariatkan qada’ akan menjadikan orang yang sengaja dan orang yang terlupa itu sama, sedangkan orang yang terlupa tidak berdosa berbanding orang yang sengaja, maka hal keadaan orang yang sengaja itu lebih buruk, maka bagaimana boleh disamakan?

(Untuk menjawab persoalan ini) kita boleh katakan, dosa orang yang sengaja meninggalkan solat sehingga luput waktunya berkekalan walau dia menqada’nya, berbeza dengan orang yang terlupa, tiada dosa ke atasnya sama sekali. Kewajipan untuk mengqada’ ke atas orang yang sengaja sebenarnya berdasarkan perintah yang asal, kerana dia sememangnya telah diperintahkan untuk solat, maka kewajipan tersebut kekal di dalam tanggungannya seumpama hutang ke atas dirinya. Hutang tidak terlupus kecuali dengan dilangsaikan, maka berdosa jika melampaui waktu yang ditetapkan, tuntutan hanya akan tergugur dengan cara dilangsaikan hutang tersebut. Maka sesiapa yang berbuka di bulan Ramadhan secara sengaja wajib baginya mengqada’ puasa tersebut dan berkekalannya dosa berbuka itu. Wallahu a’lam.

Berakhir kata-kata Ibnu Hajar.

Di dalam Fiqh As Sirah karangan Dr. Muhammad Said Ramadhan Al Buti, m/s 235 disebutkan:

Yang keenam: Rasulullah s.a.w telah terlepas solat Asar sepertimana yang engkau dapat lihat di dalam peristiwa Bani Quraizah kerana kebimbangan yang melampau, sehingga Baginda s.a.w menunaikan solat tersebut selepas daripada terbenamnya matahari. Di dalam riwayat yang lain selain dua kitab sahih, solat yang terluput dari Nabi s.a.w adalah lebih dari satu solat, Baginda s.a.w melangsaikannya berturut-turut selepas daripada waktunya dan tertinggal untuk ditunaikan di dalam waktunya. Ini menjadi dalil ke atas pensyariatan qada’ solat yang telah terluput.

Wajib Segera Qadha’ atau Tidak?

Jumhur ulama berpendapat bahawa orang yang terlupa atau tertidur wajib segera menunaikan solat apabila dia sedar. Mazhab ini diwakili oleh Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan para pengikut mereka.

Manakala mazhab Al-Syafi`iyyah pula menyatakan sunat (Istihbāb) melaksanakannya dengan segera serta harus melewatkannya.

Mazhab al-Syafi`iyyah menjelaskan bahawa mereka berpegang pada dalil yang menyatakan Nabi SAW dan para sahabat melaksanakan solat yang mereka tertinggal kerana tertidur setelah keluar dari lembah tempat rehat. Mereka melaksanakannya di tempat lain. Justeru itu, jika wajib dilaksanakan dengan segera, maka Nabi SAW dan rombongan baginda nescaya telah melaksanakannya.

Jumhur pula berdalil dengan hadis ini.

Rujukan:

Al-Luma` di Asbāb al-Hadīs, Jalaluddin `Abdur Rahman as-Suyutu, Dar al-Ma`rifah, Beirut, Lubnan. 2004

Taisīr al-`Allām Syarh `Umdah al-Ahkām, Abdullah bin Abdul Rahman bin Soleh Āl Bassām, Dar Ibn Hazm, Beirut, Lubnan, 2004.

Musnad Imam Ahmad, Mu’assasah al-Risalah, 2001. Syarah Syu`aib al-Arnaouth, `Adil Mursyid dan lain-lain.


[1] Di dalam naskhah Halab tertulis: (Dikeluarkan oleh Malik dan Imam hadis yang enam). Al Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Waktu-Waktu Solat di dalam bab (Sesiapa Yang Terlupa Solat Maka Hendaklah Dia Solat Apabila Dia Mengingatinya Dan Tidak Perlu Diulang Kecuali Solat Itu Sahaja). Jilid 1: m/s 155. Muslim: Di dalam kitab Solat  bab (Mengganti Solat Yang Terluput). Diriwayatkan dengan makna yang seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 335.

[2] Al Kaffarah: Ibarat dari suatu perbuatan atau resam yang dengan dilaksanakannya terhapus dosa kesalahan, serta ditutup atau dihapuskan kesalahan tersebut.

[3] Beliau ialah Al Hafiz Al Imam Al Faqih Al Usuli Abu Zur’ah Ahmad ibnu Al Hafiz Al Kabir Abi Al Fadhl Abdurrahim bin Al Husain. Dilahirkan pada bulan Zulhijjah tahun 762H. Beliau juga telah menghasilkan banyak penulisan. Beliau meninggal dunia pada tanggal 17 Syaaban 826H.  Zailu Tazkirah Al Huffaz karangan Az Zahabi.
[4] DI dalam naskhah Halab tertulis Waliyuddin Al Iraqi.
[5] Ahmad meriwayatkan dengan makna yang seumpama lafaz ini dari Abi Qatadah. Jilid 5: m/s 298. Al-Syeikh Syu`aib menyatakan: Isnad hadis ini Sahih atas Syarat Muslim. Para perawinya siqah.
[6] Di dalam naskhah Andalus: (Lau Harrasna). Lafaz At Ta’ris bermaksud: Berhentinya sesuatu rombongan di dalam permusafiran di akhir malam. Mereka berhenti untuk beristirahat kemudian menyambung perjalanan.