Malaikat ialah makluk Allah yang hidup di alam lain. Mereka tidak berada di alam manusia ataupun jin. Mereka mempunyai alam yang tersendiri. Setiap malaikat mempunyai sifat yang mulia, sentiasa mentaati perintah Allah dan tidak melakukan dosa.

Perubahan Bahasa

Di dalam bahasa Arab, seorang malaikat disebut Malak. Manakala jama` bagi malak ialah Malāikah. Tetapi bahasa melayu menggunakan perkataan malaikat untuk seorang manakala kata ganda digunakan bagi menunjukkan malaikat yang berbilang-bilang.

Cabang Iman

Beriman kepada para malaikat ialah salah satu daripada cabang-cabang iman. Ini bertepatan dengan firman Allah:

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

285. Rasulullah telah beriman kepada apa Yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang Yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang Dengan Yang lain Rasul-rasulnya". mereka berkata lagi: Kami dengar dan Kami taat (Kami pohonkan) keampunanMu Wahai Tuhan kami, dan kepadamu jualah tempat kembali".

(Al-Baqarah: 285)

Bagaimana melaksanakan iman dengan Malaikat?

Imam al-Baihāqi menyebutkan di dalam kitabnya Syua`abul Imān: Beriman dengan malaikat tersusun di dalam beberapa makna:

Pertama: Membenarkan (al-Taṣdīq) kewujudannya.

Kedua: Menempatkan mereka di tempat yang sepatutnya serta meyakini bahawa malaikat ialah hamba dan makhluk Allah seperti manusia dan jin. Mereka diperintahkan dan diberikan tugasan. Malaikat tidak mampu melakukan apa-apa melainkan apa sahaja yang diberi kemampuan oleh Allah. Mereka juga akan mengalami kematian tetapi Allah memberikan umur yang panjang kepada mereka. Mereka tidak akan mati sehinggalah sampai masanya. Para malaikat tidak boleh diberikan sifat dengan suatu sifat yang boleh mendatangkan syirik kepada Allah SWT. Mereka tidak boleh diseru sebagai tuhan sepertimana orang-orang dahulu menyeru mereka sebagai tuhan.

Ketiga: Mengakui bahawa sebahagia malaikat dilantik sebagai utusan yang Allah utuskan kepada manusia yang Dia kehendaki. Demikian juga ada malaikat yang diutus kepada sesama mereka.  Sebagaimana kita wajib mengiktiraf bahawa sebahagian malaikat bertugas sebagai pemegang al-`Arsy, berbaris (al-Sāffūn), penjaga syurga, penjaga neraka, penulis amalan, dan pengiring awan. Ayat-ayat al-Quran telah menyebutkan kseluruhan sifat tersebut atau kebanyakkannya.[1]

Sifat Malaikat

Malaikat diciptakan daripada cahaya. Di dalam Sahih Muslim, daripada `Aisyah RA, daripada bapanya, Rasulullah SAW berkata:

خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ، وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ، وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ

Para malaikat diciptakan daripada cahaya. Para jin dicipta daripada kepulan asap api. Manakala Adam dicipta daripada apa yang disifatkan kepada kamu.

(HR Muslim: 2996)

Berpandukan hadis di atas, Nabi Muhammad SAW tidak menyifatkan secara terperinci keadaan cahaya berkenaan. Justeru itu kita tidak mengetahui bagaimana bentuknya secara pasti. Tetapi, telah menjadi kewajipan kita untuk beriman dengan perkara ghaib yang jelas mahupun tidak jelas.

Sebahagian hadis ada menyifatkan sifat cahaya berkenaan seperti hadis berikut:

خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورِ الْعِزَّةِ وَخُلِقَ إِبْلِيسُ مِنْ نَارِ الْعِزَّةِ

Para malaikat dicipta daripada cahaya yang mulia manakala Iblis dicipta daripada api yang mulia.

(Direkod di dalam Musnad Ishāq bin Rāhawaih: 788 dikatakan daripada ucapan `Ikrimah)

Hadis berkenaan tidak sahih menurut Umar Sulaiman al-Asyqar[2]. Beliau juga menyatakan kemungkinan para ulama yang menyebutkan hadis berkenaan di dalam kitab-kitab mereka hanya menaqalkan apa yang mereka dengar daripada cerita-cerita al-Isrāīlīyyāt.

Kita juga tidak mengetahui bilakah para malaikat diciptakan tetapi ayat al-Quran menjelaskan bahawa mereka telah diciptakan lebih awal daripada penciptaan manusia. Sila rujuk ayat berikut:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

30. dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"....

(Al-Baqarah: 30)

Daripada ayat di atas maka jelas kepada kita bahawa sebelum manusia pertama iaitu Adam diciptakan, Allah telah menciptakan malaikat terlebih dahulu. Justeru itu berlaku dialog berkenaan di antara Allah dan juga malaikat.

Melihat Malaikat

Tubuh malaikat tidak dapat dilihat dengan penglihatan manusia biasa. Namun, Nabi SAW pernah melihat malaikat dengan rupanya yang asal sebanyak dua kali.

Bagi orang lain, mereka boleh melihat malaikat sekiranya diizinkan oleh Allah SWT dengan rupa malaikat yang berbentuk manusia.

Kehebatan Penciptaan Malaikat

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

6. Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.

(At-Tahrim: 6)

Di dalam riwayat al-Bukhari (3232) dan Muslim (280), Ibnu Mas`ud menyebutkan bahawa Nabi SAW melihat Jibril mempunyai 600 sayap.


[1] Syu`ab al-Iman, Jil 1, H. 163.
[2] `Alam al-Malāikah al-Abrār, h.10