Syafaat bermaksud pertolongan. Syafaat Rasulullah membawa maksud pertolongan Rasulullah di akhirat nanti. Baginda Nabi bersabda:

لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ، فَتَعَجَّلَ كُلُّ نَبِيٍّ دَعْوَتَهُ، وَإِنِّي اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَهِيَ نَائِلَةٌ إِنْ شَاءَ اللهُ مَنْ مَاتَ مِنْ أُمَّتِي لَا يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئًا

Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab. Lalu setiap mereka bersegera menggunakannya. Manakala aku mahu menyimpan doaku sebagai syafaat buat umatku pada hari kiamat. InsyaAllah ia akan diperolehi oleh umatku yang mati tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun.

(HR Muslim, Sahih Muslim: 338)

Apabila Nabi SAW menyatakan bahawa syafaat baginda di akhirat hanya akan diperolehi kepada umatnya yang mati dalam keadaan tidak syirik, maka ini menunjukkan perjuangan menentang syirik adalah urusan yang sangat besar. Ia tidak mampu dihalangi dengan mudah. Bahkan kesyirikan itu akan sentiasa memasuki ruang jiwa umat ini di dalam pelbagai cara.

Bagi menghadapi perjuangan yang besar ini, maka kita perlu menilai perjuangan Nabi SAW di dalam sirah baginda. Bahkan, keseluruhan hidup baginda adalah perjuangan menentang syirik! Perjuangan seperti inilah yang Nabi SAW mahukan supaya ia diikuti oleh umat baginda.

Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda:

أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَوَّلُ مَنْ يَنْشَقُّ عَنْهُ الْقَبْرُ، وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ

Aku adalah Sayyid (pemimpin)[[3]] anak Adam pada hari kiamat. Aku adalah orang pertama yang dikeluarkan daripada kubur, dan yang pertama yang memberikan syafaat, dan orang pertama yang diberi hak memberikan syafaat.

[HR Muslim: 2278, Sahih]

Beliau adalah pemberi syafaat di Akhirat. Pada hari yang setiap orang akan dinilai dengan nilai ketaatan dan kederhakaan! Justeru itu, sejarah manusia manakah yang lebih mulia dan penting untuk dinilai dan dikaji berbanding sejarah pemimpin anak Adam ini?

Saya nukilkan sedikit ulasan Syeikh Sofiyurrahman apabila beliau menjelaskan tentang latar belakang penurunan wahyu kedua iaitu ayat 1-7 surah al-Muddasir:

“Permulaan ayatnya mengandungi seruan yang amat agung (dengan suara yang besar dan meninggi) dalam memberikan sebuah mandat kepada nabi, iaitu, “Hai orang yang berselimut! Bangunlah dan berilah peringatan.” Seakan-akan Allah mengatakan kepada nabi, “Sesungguhnya orang yang hidup untuk dirinya sendiri selalu menikmati hidup dengan bersantai. Sedangkan kamu, adalah orang yang memikul tanggungjawab yang besar ini. Maka mengapa kamu tidur? Mengapa kamu bersantai? Mengapa kamu menikmati segala kesenangan yang melenakan? Bangunlah untuk menyambut urusan agung yang telah menantimu dan tanggungjawab berat yang telah disiapkan untukmu. Bangkitlah untuk berjuang dan berkorban, bekerja keras dan menempuh letih. Berdirilah! Waktu tidur dan istirehat telah habis. Hari-hari di hadapan adalah terus berjaga dengan mata terbuka, juga jihad panjang yang penuh kepenatan. Ayuh, bangunlah, persiapkan dirimu untuk memikul urusan ini.”

Sesungguhnya, ini merupakan sebuah untaian kalimat yang agung dan menggetarkan hati, yang membangunkan nabi daripada kehangatan pelukan isteri di rumahnya yang nyaman, sekaligus mendorong baginda untuk tampil ke tengah-tengah kumpulan manusia. Kemudian baginda pun menceburkan diri ke tengah pusaran angin kencang dan hujan deras, menikmati pelbagai penolakan dan penerimaan daripada manusia serta merasakan bagaimana realiti kehidupan yang sebenarnya.

Rasulullah s.a.w. terbangun dan terus terjaga setelah lebih dari 20 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ada istilah rehat dan bersantai bagi baginda. Baginda hidup bukan untuk kepentingan diri dan keluarganya tetapi untuk agama Allah. Baginda bangkit dan terus berdiri berdakwah, memikul beban yang terlampau berat di bahunya, yang tidak pernah diturunkannya walau sekelip mata. Beban tersebut adalah amanah terbesar yang pernah ada di muka bumi. Beban yang beratnya setara dengan kehidupan seluruh umat manusia, setara dengan keagungan akidah yang kuat, setara dengan pengorbanan tidak berhujung dan jihad panjang di seluruh medan peperangan. Baginda hidup di tengah-tengah pertempuran yang berpanjangan selama lebih dari 20 tahun. Selama tempoh ini, baginda tidak terpaling sedikit pun oleh gangguan, sejak dari pertama kali menerima bebanan syariat dan menyambut seruan agung di atas. Semoga Allah membalasi baginda dengan pahala terbaik kerana telah memberi petunjuk kepada kita dan seluruh manusia.

Lembaran-lembaran selepas ini akan menyajikan gambaran kecil dan ringkas daripada jihad panjang yang meletihkan itu, yang telah dipikul oleh Rasulullah s.a.w. sepanjang baginda menjadi nabi.”[1]

MATLAMAT & OBJEKTIF BELAJAR SIRAH

Tujuan mempelajari sirah Nabi Muhammad ﷺ ialah mendapatkan gambaran kehidupan Islam yang sebenar yang terkumpul di dalam kehidupan Nabi Muhammad ﷺ.[[2]] Seterusnya menjadikan ia sebagai teladan dan pedoman dalam kehidupan. Ia bukan semata-mata sejarah sepertimana sejarah orang-orang terdahulu. Ia tidak boleh dipelajari sepertimana membaca buku-buku sejarah lain seperti sejarah Melaka, penubuhan negara Malaysia, asal usul orang Amerika dan lain-lain.

Jika sirah Nabi Muhammad ﷺ dipelajari seperti sejarah-sejarah yang lain, maka kehidupan baginda tidak mampu dijadikan panduan dan pedoman. Sedaangkan sirah Nabi tidak boleh sekadar di baca sahaja.

Bagi menggapai tujuan yang telah dinyatakan, kita hendaklah memastikan segala objektif yang disebutkan di bawah dimiliki terlebih dahulu. Antara objektif tersebut ialah:

❶ Mendalami peribadi Nabi Muhammad ﷺ sebagai seorang nabi yang mendepani segala ranjau kehidupan dan suasana zamannya. Beliau adalah seorang nabi. Kebijaksanaan beliau dalam menghadapi kehidupan adalah wahyu daripada Allah ﷻ.

❷ Manusia hendaklah menjadikan Nabi Muhammad ﷺ sebagai seorang ikon ikutan dalam seluruh aspek kehidupan. Baginda ﷺ hendaklah menjadi contoh teladan yang tertinggi dalam segala aspek. Dalam erti kata yang mudah, manusia suka apa yang Nabi suka, benci apa yang Nabi benci, sedih sepertimana Nabi sedih, marah pada apa yang Nabi marah.

❸ Dengan mempelajari sirah Nabi, umat Islam akan lebih memahami tuntutan-tuntutan al-Quran sehingga merasai manisnya roh agama dan maqasidnya. Demikian itu kerana banyak ayat-ayat al-Quran diturunkan kerana peristiwa yang berlaku pada Nabi Muhamad ﷺ.

APA YANG KITA BELAJAR DARIPADA SIRAH?

Di dalam pengajian Sirah, kita akan mempelajari tiga perkara berikut:

❶ Keseluruhan kehidupan Nabi Muhammad ﷺ sejak baginda belum lahir sehingga meninggal dunia.

Kitab-kitab sirah yang mengumpulkan kisah Nabi SAW terutamanya yang moden seperti al-Rahīq al-Makhtūm bermula daripada Kedudukan Negeri Arab dan Penjelasan tentang Suku Bangsanya sehinggalah kepada bab Kewafatan Rasulullah, Rumahtangga baginda dan akhlak serta peribadi Nabi SAW.

❷ Kehidupan para sahabat Nabi Muhammad ﷺ yang sentiasa bertukus lumus memperjuangkan agama bersama baginda ssehingga ke akhir hayat mereka.

Para sahabat Nabi ialah orang yang sangat penting dalam membantu perjuangan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka inilah yang diiktiraf oleh Allah SWT di dalam ayat 110, surah Ali Imran:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

110. Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)...

[Ali Imran: 110]

Bahkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri mengiktiraf mereka di dalam sabda baginda:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Sebaik-baik manusia adalah di kurunku, kemudian orang yang selepas mereka, kemudian yang selepas mereka.

[HR Al-Bukhari: 2652, Sahih]

Di dalam pengajian sirah, diceritakan keadaan para sahabat di pelbagai peringkat perkembangan dakwah Nabi SAW. Disebutkan nama-nama mereka dan perjuangan yang telah mereka lakukan. Sebahagiannya syahid dalam perjuangan membela risalah Nabi SAW, antara mereka ialah Zaid bin Hārisah al-Kalbi dan Ja`far bin Abi Tolib  yang merupakan 2 orang daripada kalangan al-Sābiqun al-Awwalun yang telah gugur syahid dalam peperangan Mu`tah pada tahun 8 H. Dalam peperangan berkenaan juga menyebabkan Abdullah bin Rawahah syahid. Abdullah bin Rawahah merupakan salah seorang daripada 12 orang dalam kalangan Ansar penduduk Madinah yang paling awal memeluk Islam.

❸ Sejarah penyebaran agama Islam yang bermula dengan perintah wahyu “iqra’” di dalam gua Hira’ sehingga sekarang.

Agama ini adalah agama yang terbaik dan sempurna. Ia tidak berhenti sekadar Nabi dan para saahabat baginda. Ia sentiasa berterusan sehinggalah berlakunya kiamat. Justeru itu,  pendidikan sirah membuka lembaran-lembaran sejarah dalam memahami kehebataan dan kemuliaan agama pilihan Tuhan ini.

Coretan Sirah adalah kisah perjuangan menegakkan agama. Seluruhnya menceritakan keadaan agama yang kita anuti ini. Ia adalah rekod sejarah yang tidak direka-reka dan tidak memerlukan rekaan. Justeru itu, sirah ini adalah bidang ilmu khusus yang penting.

MEMPELAJARI SIRAH ADALAH IBADAH

Allah ﷻ telah berfirman di dalam surah al-Ahzab, ayat 21,

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

21. Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

[Al-Ahzab: 21]

Justeru itu, telah menjadi tanggungjawab kepada kita untuk mengikuti dan menjadikan Nabi SAW sebagai pedoman dan teladan di dalam seluruh kehidupan. Tetapi, bagaimana kita mampu menjadikan Nabi sebagai ikutan sedangkan kita tidak pernah mengetahui sejarah hidup baginda?

Sirah Nabi ialah segala apa yang kita dapati daripada rekod para ulama tentang sesuatu perkataan atau perbuatan atau pengakuan atau sifat yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Dengan mengetahui aspek-aspek tersebut, maka kita telah mengetahui sirah Nabi.

Sebagai seorang Muslim, mengikuti Nabi dalam segala aspek adalah suatu tuntutan. Kita tidak boleh bercanggah dengan sunnah dan jalan kehidupan yang ditunjukkan Nabi SAW. Apabila kita bercanggah dengan jalan hidup tersebut, maka kita tidak akan menjadi orang yang diredhai Allah.

Allah berfirman:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

100. Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula daripada kalangan orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

[At-Taubah: 100]

Apabila Allah menyatakan ganjaran syurga kepada orang yang mengikuti al-Sābiqūn al-Awwalūn,  maka menunjukkan meneliti dan mengikuti mereka adalah suatu ibadah. Bagaimana orang yang mendakwa Salafiyyah tetapi tidak mengkaji sirah Nabi dan para sahabat baginda? Tidak mengetahui bagaimana kesungguhan dan keazaman mereka dalam memperjuangkan agama tercinta?

Di dalam kaedah syarak ada menyebutkan:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Sesuatu yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.

Para generasi awal daripada kalangan para sahabat dan tabiin sangat mementingkan pengajian sirah, justeru itu kita juga hendaklah memberi kepentingan yang utama dalam subjek ini.

Al-Waqidi meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bin Ali bin al-Husain berkata: Aku mendengar Ali bin Al-Husain pernah berkata:

كنا نعلَّم أولادنا مغازي الرسول كما نعلمهم السورة من القرآن

Kami mengajar anak-anak kami maghazi (sirah) Rasul SAW sepertimana kami mengajar mereka satu surah di dalam al-Quran.[[4]]

SEJARAH PENULISAN SIRAH NABI

Pada zaman Muawiyah bin Abi Sufyan, beliau begitu berminat kepada penulisan sirah Nabi Muhammad SAW. Lalu `Ubaid bin Syuraiyyah al-Jurahmi daripada Sana`a menulis kitab Al-Muluk wa Akhbarul Madhiyyin untuk khalifah.

Setelah itu, semakin ramai ulama yang mencuburi bidang berkenaan secara khusus. Kebanyakkan mereka adalah daripada kalangan ulama hadis. Antara yang menulis ialah Urwah bin az-Zubair bin al-Awwam (92H)[[5]][[6]] seorang tokoh Tabiin yang faqih lagi ahli hadis. Beliau menulis dengan rujukan daripada bapanya az-Zubair dan ibunya Asma’ binti Abu Bakar. Beliau menyebutkan pelbagai riwayat al-Akhbar dan Hadis yang disandar kepada Nabi SAW.

Ibnu Ishaq, Al-Waqidi, dan at-Tabari adalah orang yang sangat banyak merujuk penulisan Urwah.

Aban bin Usman bin Affan al-Madani (105H)[[7]][[8]][[9]] pula telah menulis lembaran-lembaran yang menceritakan kehidupan Nabi Muhammad ﷺ. 

Setelah itu Wahab bin Munabbih (110H)[[10]] juga menuruti mereka dengan meletakkan sebagaian daripada kitab tulisan beliau dengan sirah Nabi.

Kemudian ilmu itu terus berkembang dan berkembang sehingga ia menjadi popular. Antara mereka ialah Syurahbil bin Saad (123H)[[11]], Ibnu Syihab az-Zuhri (124H), Asim bin Umar bin Qatadah (120H), Abdullah bin Abu Bakar bin Hazm (135H). Mereka berempat terkenal dalam periwayatan sirah pada ¼ kurun kedua hijrah.

Pada pertengahan kurun ke dua hijrah pula, muncul ulama-ulama seperti Musa bin Uqbah (141H), Ma`mar bin Rasyid (150H), dan Muhammad bin Ishaq (152H).

Pada penghujung kurun kedua hijrah muncul al-Bakaie (183H), al-Waqidi (207H) dan Muhammad bin Saad (230H). Kemudian Ibnu Hisyam (218H).

APAKAH RUJUKAN DALAM PENULISAN SIRAH NABI?

Rujukan sirah Nabi ada lima:

❶ Al-Quran

Al-Quran hanya menyebutkan sesuatu yang benar. Ia tidak menyebutkan sebarang pembohongan atau kesilapan. Oleh itu ia menjadi rujukan utama di dalam pendidikan sirah Nabi SAW.

Al-Quran telah menggambarkan kepada kita tentang kehidupan Nabi SAW sebelum diangkat menjadi Nabi, ketika dilantik sebagai Nabi, penentangan antara Nabi dan para musyrikin Mekah, perbualan antara Rasulullah dan para musuh baginda, dakwaan-dakwaan serta celaan musyrikin terhadap agama yang dibawakan Nabi Muhammad, cerita sebahagian musyrikin yang memeluk Islam dan lain-lain.

Ia juga menyebutkan kehidupan para sahabat Nabi yang sentiasa teguh bersama Nabi SAW di dalam apa jua situasi. Disebutkan perjuangan mereka, keikhlasan serta pengorbangan dalam mengangkat agama Allahdan sebagainya.

Antara yang jelas dan sentiasa disebutkan ialah, pendidkan sirah di dalam al-Quran jelas dengan wujudnya ayat Makkiyah dan al Madaniyyah.

Al-Quran juga menyebutkan pendirian-pendirian pelbagai puak di dalam menerima atau menolak agama Islam. Golongan yang paling besar yang disebutkan di dalam al-Quran ialah Yahudi, Munafik, dan orang-orang beriman di medan perang badar, tabuk, khandak, hudaibyah, dan lain-lain.

Sehingga akhir, Allah menyimpulkan kehidupan para sahabat Nabi SAW:

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

23. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

[Al-Ahzab: 23]

❷ Kitab-kitab Hadis

Hadis dalam apa jua keadaan berperanan sebagai rujukan kedua di dalam agama ini selepas al-Quran. Ia mempunyai kekuatan yang sangat hebat dalam mengukuhkan sesuatu isu. Ia mampu menganalisa sesuatu kenyataan dengan ilmu mustolah dan jarah wa ta`dil sehingga membahagikannya kepada Sahih, Dhoif, dan Palsu.

Namun, penyusunan kitab hadis tidak dibuat sepertimana penyusunan kitab sirah. Ia banyak disusun dengan bab-bab fikah sehingga menyebabkan sukar dalam mengenal pasti susunan waktu kejadian.

❸ Kitab-kitab Sirah dan at-Tarajum

Antara kitab sirah yang ilmiah dan sesuai dijadikan panduan adalah kitab sirah Ibnu Hisyam. Ia adalah ringkasan ilmiah yang telah dibuat oleh Ibnu Hisyam daripada kitab sirah yang awal iaitu Ibnu Ishaq yang terkenal dengan sikap at-Tasyayu` bahkan sebahagian muhaddisin melebel Ibnu Ishaq sebagai syiah rafidhah.

Pada kitab Ibnu Hisyam juga tidaklah selamat sepenuhnya. Sebahagian besar daripada buku Ibnu Hisyam ialah petikan kata-kata Ibnu Ishaq. Maka apa yang disampaikan daripada kitab ini juga dikritik dan dinilai semula oleh para ulama. Tiada ulama yang mengatakan Ibnu Hisyam itu Syiah tetapi yang mengatakan Ibnu Ishaq sebagai syiah itu terlalu ramai.

Demikian juga kitab Tabaqat al-Kubra oleh Ibnu Sa`ad. Ibnu Sa`ad ialah seorang sunni yang tidak dipertikaikan. Tetapi dia sering mengambil hadis daripada al-Waqidi (207H)yang terkenal sebagai pendusta besar.
Antara kitab tarajum yang menjadi panduan juga ialah Al-Isobah fi tamyiz bainas Sahabah. Siyarul A`lamun Nubala’ dan sebagainya.

❹ Kitab-kitab ad-Dalail, asy-Syamail, al-Mu`jizat, dan al-Khasais

Kitab-kitab ini juga memberi perana dalam penulisan daan pendidikan sirah. Tetapi ia tidak bersifat menyeluruh.

Antara kitab-kitabnya ialah ad-Dalail oleh al-Baihaqi, al-Syamail oleh at-Tirmizi, al-Khasois al-Kubra oleh As-Suyuti.

❺ Kitab Sirah Moden

Antara kitab sirah moden yang meenjadi rujukan ialah Fiqhus Sirah anNabawiyah oleh Munir Muhammad Ghodban, Fiqhus Sirah oleh Said Ramadhan al-Bouti, ar-Rahiq al-Makhtum oleh Sofiyurrahman, dan lain-lain.

::: Nota Kaki :::

[1] Al-Rahiq al-Makhtum H. 78
[2] Fiqh as-Sirah an-Nabawiyah, Said Ramadhan al-Bouti, Darus Salam, Kaherah, 2010. Ms: 15.
[3] Al-Harawi berkata: Perkataan as-Sayyid membawa maksud seseorang yang paling terkedepan dalam satu kaum dalam melakukan kebaikan. Pendapat yang lain pula menyatakan as-Sayyid ialah gelaran bagi seseorang yang sentiasa menjaga kebajikan kaumnya serta sentiasa mempertahankan mereka sehingga membawa mereka kepada darjat kemuliaan yang terhormat.
[4] Rujuk: Al-Bidayah wan Nihayah oleh Ibnu Kasir, 3/241.
[5] Dr. Mustafa al-A`zhomi telah menulis satu buku bertajuk al-Maghazi yang disandar kepada Urwah bin Zubair melalui periwayatan Abi al-Aswad. Justeru di dalam asas ini kita mengetahui bahawa penulisan Urwah di dalam sejarah adalah penulisan yang paling awal di dalam bab sirah Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi, tidak sampai kepada kita satu naskhah khas yang mengumpulkan penulisan urwah tersebut. Dr Mustafa mengambil asas-asas penulisan tersebut dan mengumpulkannya berdasarkan rekod daripada kitab-kitab hadis dan sirah.
[6] Urwah bin Az-Zubair bin al-Awwam juga dikenali dengan Ibnu Zubair. Beliau adalah seorang Tabiin ahli hadis yang dipercayai dan popular. Hadis-hadis yang beliau riwayatkan direkod di dalam kitab Sittah dan Musnad. Rujuk Taqrib at-Tahzib 19/2.
[7] Yahya bin Al-Mughirah meriwayatkan daripada bapanya menyebutkan: Dia tidak menulis sesuatu hadis melainkan maghazi / sirah Nabi ﷺ yang diambil daripada Aban bin Usman. Beliau adalah orang yang paling banyak membaca kepada aban dan menyuruh kami mempelajarinya. – Rujuk Ibnu Saad 5/156.
[8] Di dalam beberapa riwayat disebutkan bahawa Aban menulis lembaran sirah untuk Sulaiman bin Abdul Malik. Kemudian lembaran itu hilang pada Sulaiman.
[9] Aban ialah seorang yang Siqah dan direkod hadisnya oleh Al-Bukhari di dalam kitab al-Adabul Mufrad, Muslim di dalam kitab Sahih, dan imam empat. Rujuk at-Taqrib: 1/31.s
[10] Beliau adalah seorang yang dipercayai. Direkodkan riwayatnya oleh Al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi dann an-Nasaie. Rujuk at-Taqrib 2/329.
[11] Beliau adalah seorang yang jujur (Soduq) tetapi hadisnya bercampur-campur pada akhir hayatnya. Diriwayatkan daripadanya oleh Al-Bukhari di dalam al-Adabul Mufrad, Abu Daud dan Ibnu Majah. Rujuk at-Taqrib: 1/348