Rujuk:


Sambungan: 

❸ Bersalin (al-Wilādah)

Bersalin ertinya melahirkan anak. Boleh jadi perempuan bersalin tetapi tidak keluar darah. Maka hukumnya ketika itu adalah seperti hukum al-Janābah kerana anak tersebut terjadi daripada air mani wanita dan lelaki. Hukumnya tetap sama sekalipun berbeza rupa kandungan yang dilahirkan atau cara melahirkannya. Apabila kelahiran anak diikuti dengan keluarnya darah seperti kebiasaan perempuan yang melahirkan anak, darah tersebut dinamakan nifas yang mempunyai beberapa hukum tertentu.[1] 

al-Nifās

Pengertian al-Nifās

Daripada sudut bahasa ia bererti melahirkan anak (al-Wilādah). Manakala daripada sudut syara` pula ia bermaksud: darah yang keluar setelah melahirkan anak. Ia dinamakan nifās kerana ia adalah darah yang keluar selepas kelahiran satu jiwa (bahasa Arab: al-Nafs), justeru itu wanita yang melahirkan anak digelar Nufasā’.

Darah yang keluar semasa kelahiran bayi atau bersama-sama dengan bayi tidak dianggap sebagai darah nifās kerana ia telah didahului oleh bayi, ia hanya digelar sebagai darah kotor (fasād). Justeru itu, wajib baginya untuk solat sekalipun dia melihat adanya darah. Jika dia tidak mampu melaksanakannya ketika itu, maka dia wajib qaḍa’.

Tempoh Nifās

Tempoh minimum nifās ialahseketika (lahẓatan). Kadang-kadang ia berterusan sehingga beberapa hari. Kebiasaannya ialah 40 hari. Paling lama ialah 60 hari. Sekiranya masih keluar darah melebihi daripada tempoh berkenaan maka ia ialah istihāḍah. Hujahnya adalah al-Istiqrā’ yang telah dijelaskan di dalam tempoh al-Haiḍ.

Apa yang diharamkan ketika Nifās?

Para ulama telah bersepakat bahawa hukum wanita yang bernifas sama seperti di dalam kesemua hukum wanita berhaid.

Melihat Darah Ketika Mengandung

Jika seorang wanita yang sedang mengandung melihat keluarnya darah dalam tempoh yang mencapai tempoh minima haid – iaitu sehari dan semalam – serta tidak melepasi tempoh maksidma haid – iaitu 15 hari dan malamnya – maka ia dikira sebagai darah haid menurut pendapat yang al-Aẓhar[2]. Maka dia hendaklah meninggalkan solat, puasa dan segala yang diharamkan ketika berhaid. Sekiranya dia melihat keluarnya darah berkenaan pada tempoh yang kurang daripada tempoh minima haid atau melebihi tempoh maksima haid, maka ia dikira sebagai darah istihāḍah serta berhukum dengan hukumnya seperti bersolat dan lain-lain.

Dikatakan[3]: Darah yang dilihat keluar oleh wanita mengandung dikira sebagai darah istihāḍah secara mtlak dalam apa jua keadaan. Ia bukan darah haiḍ kerana kehamilan menghalang keluarnya darah haiḍ, sebagaimana kebiasaan yang berlaku di kalangan wanita mengandung namun kedatangan haiḍ pada ketika itu tidak mustahil tetapi jarang berlaku.

Tempoh Mengandung

Tempoh minimum: Tempoh yang paling singkat mengandung ialah 6 bulan berdasarkan dua ayat berikut:

وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.

(Al-Ahqāf: 15)

وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ

Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.

(Al-Luqmān: 14)

Fiṣaluhu bermaksud memisahkan daripada susuan (ibu).

Apabila tempoh mengandung dan menyusu tiga puluh bulan, dan tempoh menyusu sahaja ialah dua tahun, maka tempoh mengandung adalah enam bulan dan itulah tempoh minimumnya. Ini bermakna, perempuan yang melahirkan anak dalam tempoh kurang daripada enam bulan selepas berkahwin dan anak itu hidup, tidak boleh dinasabkan kepada bapanya.[4]

Tempoh biasa: Kebiasannya tempoh mengandung ialah 9 bulan berdasarkan kepada realiti yang berlaku kepada majoriti wanita. Boleh jadi ia lebih beberapa hari atau kurang.

Tempoh maksima: Menurut pendapat Imam al-Syafii tempoh maksima mengandung ialah 4 tahun. Tempoh ini walaupun tidak mustahil tetapi amat rjarang berlaku dan berdasarkan itulah Imam al-Syafii membina pendapatnya.

::: Nota Kaki:::
[1] Nota kuliah: Daripada kenyataan ini, maka kita dapat simpulkan beberapa perkara berikut: 
1- Wanita yang melahirkan anak mempunyai 2 keadaan, iaitu ketika melahirkan terdapat darah yang bersama-sama dengan bayi. Keadaan kedua pula ialah kering tanpa darah.
2- Wanita yang melahirkan anak tanpa sebarang darah, maka dia wajib mandi bagi membolehkan solat. Hukumnya diqiyas kepada mandi janabah yang disebabkan keluarnya mani.
3- Wanita yang keluar darah selepas melahirkan anak, bukan sebelumnya maka darah itu disebutkan sebagai darah nifas.
4- Darah wiladah ialah darah nifas.
[2] Al-Aẓhar adalah istilah usul fiqah mazhab al-Syafi`i. Apabila ia disebutkan, maka ia mencakupi beberapa perkara berikut:
1- Isu berkenaan adalah isu khilāfiyah. Imam al-Syafii di dalam bab ini juga mempunyai pendapat yang lain.
2- Perkataan al-Aẓhar menunjukkan pendapat ini adalah yang terpilih berbanding pendapat lain.
3- Kesemua pendapat tersebut bukan pendapat mazhab al-Syaffi tetapi Imam al-Syafii sendiri.
4- Pendapat yang lain (Muqābil) itu juga adalah Imam al-Syafii, cuma yang menjadi mu`tamad dan berhukum dengannya ialah pendapat al-Aẓhar.
[3] Ini adalah pendapat Muqābil al-Aẓhar.
[4] Nota Kuliah: Dari segi perubatan, 28 minggu (7 bulan) dikira waktu minimum bagi kehamilan yang boleh hidup. Tetapi dengan kemajuan rawatan rapi perubatan hari ini, bayi yang berusia 22 minggu (5.5 bulan) dan mempunyai berat lebih daripada 500g telah dapat diselamatkan (dengan izin Allah). Kelahiran dalam tempoh kehamilan di antara 20 hingga 38 minggu dikira sebagai bayi pramatang (premature), yang mana mungkin dapat diselamatkan dengan kemajuan rawatan rapi perubatan. Rujuk: TEMPOH KEHAMILAN
Dari  Perspektif SYARIAH, KANUN, DAN PERUBATAN, Oleh:Ummu Anas Madani. Madinah  Munawwarah, 18/9/98.   http://www.abuanasmadani.com/tempoh-kehamilan/ dirujuk pada 18/12/2015.


......bersambung