Direkodkan oleh Ahmad[1] daripada Al-Saib bin Abi Al-Saib daripada Nabi s.a.w, Baginda bersabda:

صَلَاةُ الْقَاعِدِ عَلَى النِّصْفِ مِنْ صَلَاةِ الْقَائِمِ

“Solat orang yang duduk ialah separuh daripada solat orang yang berdiri (daripada sudut pahala)”.

Direkodkan oleh Al-Bukhāri[2] daripada `Imran bin Huṣain, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: 

مَنْ صَلَّى قَاعِدًا، فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ القَائِمِ

“Sesiapa yang menunaikan solat di dalam keadaan duduk, maka baginya separuh pahala orang yang menunaikannya di dalam keadaan berdiri”.

SEBAB HADIS INI DILAFAZKAN

Direkodkan oleh Abd Al-Razzāq di dalam Al-Musannaf dan Ahmad[3] daripada Anas r.a, beliau berkata:

“Ketika Rasulullah s.a.w sampai di Madinah, Madinah sedang dilanda wabak penyakit. Masyarakat ketika itu ramai yang ditimpa penyakit tersebut. Maka apabila Nabi s.a.w masuk ke masjid dan kebanyakan jemaah ketika itu duduk, Baginda s.a.w lantas bersabda: Solat orang yang duduk (pahalanya) ialah separuh dari solat orang yang berdiri, maka mereka lantas berusaha dengan susah payah menunaikan solat berdiri”.

Direkodkan juga oleh Abd Al-Razzāq daripada Abdullah bin Amru, beliau berkata:

“Ketika kami sampai di Madinah, kami telah ditimpa wabak penyakit yang ada di Madinah, ramai di kalangan kami menunaikan solat di tempat solat sunat mereka dalam keadaan duduk. Lalu Nabi s.a.w keluar dan mendatangi mereka di pertengahan hari sedang mereka solat di tempat solat sunat mereka secara duduk lantas Baginda s.a.w bersabda: Solat orang yang duduk (pahalanya) ialah separuh daripada solat orang yang berdiri. Maka mereka mula bangun dan berusaha untuk solat secara berdiri”.

PENGAJARAN

Daripada hadis di atas maka kita dapat faham bahawa solat di dalam keadaan duduk pada solat sunat mempunyai pahala yang kurang berbanding solat berdiri. Apabila para sahabat mendengar tentang hal tersebut, mereka terus berusaha untuk solat dalam keadaan berdiri sekalipun dalam keadaan sakit. 

DUDUK DALAM SOLAT FARḌU

Secara umumnya, solat berdiri di dalam solat Fardhu telah menjadi rukun yang mesti ditunaikan. Tidak boleh solat Farḍu dalam keadaan duduk melainkan apabila memerlukan seperti dengan berdiri akan menambahkan sakit, orang yang terlalu tua yang susah berdiri, atau orang yang mempunyai kecacatan untuk berdiri, atau wanita hamil yang terasa kandungannya sangat berat.

Dalil bagi kenyataan di atas ialah sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhāri berikut, Rasulullah SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Solatlah dengan berdiri. Sekiranya tidak mampu, maka dengan duduk. Sekiranya tidak mampu, maka mengiring.

(HR al-Bukhāri: 1117)

Ibnu Qudāmah RH berkata:

“Orang yang sakit, sekiranya dengan berdiri dapat menambah kesakitannya, maka hendaklah dia bersolat dengan duduk.”

Para ahli ilmu telah bersepakat bahawa seseorang yang tidak mampu untuk berdiri, maka dia dibenarkan untuk solat duduk. Ini bertepatan dengan kaedah umum maqāṣid al-Syar`iyyah, iaitu: Agama tidak berkehendak kepada kesusahan dan kemudaratan.

Allah berfirman:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Tidak dijadikan kesusahan kepada kamu di dalam agama.

(Al-Haj: 78)

Imam al-Nawawi berkata:

Umat telah ijma’ bahawa orang yang tidak mampu berdiri pada solat farḍu dia dibolehkan solat duduk tanpa perlu mengulanginya lag. Aṣhāb kita berkata: Pahalanya pada solat duduk tidak kurang berbanding spahala solatnya dalam keadaan berdiri kerana dia keuzuran. Telah sabit di dalam Ṣahih al-Bukārī bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَرِضَ العَبْدُ، أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Apabila seseorang hamba sakit atau bermusafir, ditulis pahala amalannya sepertimana yang dia lakukan ketika bermukim dan sihat.

(HR al-Bukhārī: 2996)

Ashāb kita berkata: Tidak diletakkan syarat kelemahan berkenaan pada sekadar tidak boleh berdiri, atau tidak memadai kesusahan yang ringan. Tetapi yang dimaksudkan ialah kesusahan yang benar-benar terzahir. Apabila dia bimbang pada kesusahan yang berat atau menambah sakit atau seperti itu, atau bimbang perahu akan karam atau pening kepala, maka dia bersolatlah dengan duduk tanpa perlu mengulanginya (setelah sihat).[4]

CARA DUDUK

Solat dalam keadaan duduk bersila (متربعا). Namun ia tidaklah diwajibkan begitu. Boleh juga duduk dalam keadaan iftirasy, menjulur kaki dan sebagainya berdasarkan keperluan.

Berkenaan duduk bersila, `Aisyah menyatakan:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مُتَرَبِّعًا

Aku melihat Rasulullah SAW bersolat dengan bersila.

(HR Al-Hākim di dalam al-Mustadrak: 1021)[5]

Ibnu Hajar al-`Asqalānī berkata di dalam Fath al-Bārī:

“Faedah: Tidak dijelaskan cara-cara duduk. Maka diambil secara bebas bahawaharus dengan apa sifat yang dikehendaki oleh orang yang bersolat. Inilah isu daripada kata-kata al-Syafiie di dalam al-Buwaiṭī.”[6]

DUDUK DALAM SOLAT SUNAT

Bagi solat sunat pula, umat Islam dibolehkan untuk solat dengan duduk tanpa perlu kepada sebarang keuzuran. Sekalipun tidak merasa penat atau sakit, mereka masih dibenarkan untuk solat dengan duduk. Inilah pendapat yang disepakati secara ijma`.
Sekalipun ia dibenarkan, pahala bagi orang yang solat dengan berdiri dan duduk tidaklah sama. Ia bertepatan dengan hadis yang sedang kita bicarakan di atas.

Imam al-Nawawi berkata ketika memberi ulasan pada Ṣahih Muslim:

“Makna solat duduk mendapat setengah pahala solat orang berdiri mengandungi pengiktirafan sahnya solat berkenaan bersama-sama kurangnya pahala. Hadis ini menunjukkan bahawa solat sunat secara duduk dalam keadaan berkemampuan untuk berdiri mendapat setengah pahala solat berdiri. Tetapi apabila dia solat dalam keadaan duduk kerana tidak mampu untuk berdiri, maka dia mendapat pahala yang sama seperti solat berdiri. Manakala solat farḍhu secara duduk dalam keadaan mampu untuk berdiri tidak sah serta tidak mendapat pahala, bahkan hanya mendapat dosa.

Ashāb kita berkata: Sekiranya ia menghalakannya kerana ingkar (dengan hukum) maka dia telah berada dalam hukum orang murtad, sepertimana orang yang menghalalkan zina, riba dan lain-lain yang telah tersebar pengharamannya.

Sekiranya ia solat Farḍu dengan duduk kerana tidak mampu berdiri atau ia berbaring kerana tidak mampu berdiri dan duduk, maka pahalanya sama seperti berdiri tidak berkurangan dengan kesepakatan Ashab kita. Hadis menfokuskan setengah pahala kepada orang yang solat sunat dalam keadaan mampu berdiri. Inilah perincian mazhab kita. Seperti ini juga pendapat jumhūr di dalam menafsirkan hadis ini.”[7]

FAEDAH PENGAJIAN

Daripada pengajian kita hari ini, kita simpulkan hal berikut:

❶ Solat farḍu tidak boleh dilakukan secara duduk sekiranya mampu berdiri. Berberbeza dengan solat sunat yang dibenarkan duduk atau berdiri ketika solat.

❷ Pahala orang yang solat sunat secara duduk adalah kurang sebahagian berbanding orang yang melakukannya berdiri.

❸ Orang yang tidak berkemampuan solat farḍuatau sunat dalam keadaan berdiri lalu dia duduk maka dia mendapat pahala sepertimana solat berdiri.

❹ Para sahabat Nabi SAW sangat mengambil berat urusan pahala dan maksiat sehingga mereka bersusah payah mengejar pahala dan sentiasa bertindak menjauhi maksiat.

❺ Islam ialah agama rahmat yang sentiasa melihat kebajikan umatnya dalam segala aspek kehidupan supaya manusia hidup bahagia bersama syariat Allah.

Kita doakan semoga Allah menjadikan kita daripada kalangan orang yang berilmu dan mengamalkannya. Serta menjadikan anak-anak serta kerabat kita sebagai orang yang berilmu dan soleh sehingga akhirnya kita semua akan digolongkan dalam kalangan penghuni syurga yang sentiasa bergembira dan berbahagia.

WallahuA`lam.

___________________

 ::: Nota Kaki :::

[1] Ahmad meriwayatkan dengan lafaz yang sama dari As Saib. Jilid 3: m/s 325.
[2] Al Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Memendekkan (At Taqsir) Solat bab (Solat orang yang duduk). Jilid 2: m/s 59. Lafaz penuh hadis ini adalah seperti berikut: “Imran bin Husain menceritakan kepadaku ketika beliau terkena penyakit buasir, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang solat seseorang di dalam keadaan duduk, Baginda s.a.w menjawab: Jika dia solat di dalam keadaan berdiri itulah yang terbaik, sesiapa yang solat di dalam keadaan duduk, maka baginya separuh pahala orang yang solat berdiri, dan sesiapa yang solat di dalam keadaan berbaring, baginya separuh pahala orang yang solat di dalam keadaan duduk”.
Di dalam bab ( Solat Orang Yang Duduk Dengan Menggunakan Isyarat Badan). Diriwayatkan dengan makna yang seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 59.
[3] Ahmad: Meriwayatkan dengan lafaz yang sama daripada Anas r.a. Jilid 3: m/s 136. Hadis ini ṣahih menurut Syeikh Syu`aib al-Arnaouṭ.
[4] Al-Majmu: 4/201
[5] Hadis ini Sahih menurut al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabī.
[6] Ibn Hajar, Fath al-Bārī, Jil 2, H. 745. Al-Maktabah al-Taufiqiyyah, Kaherah.
[7] Syarah Sahih Muslim: 14/6