Terjemahan Kitab: Al-Rahiq al-Makhtum
Bab: Dalam Naungan Kenabian dan Kerasulan

_______________

Di Gua Hira

Ketika umur Baginda mendekati 40 tahun dan tatkala pelbagai renungan yang dilakukannya telah membentangkan jarak pemikiran antara baginda dengan kaumnya, Nabi Muhammad mula suka menyendiri. Baginda membawa roti gandum (as-sawiq) dan bekal air lalu pergi ke Gua Hira yang terletak di Jabal Nur, yang jauhnya kira-kira dua batu dari Mekah. Ukuran Gua Hira sederhana, tidak terlalu besar. Dalamnya sepanjang empat engkol besi dan lebarnya 1 ¾ engkol besi.

Baginda berdiam diri di Gua Hira sepanjang bulan Ramadhan. Baginda menghabiskan waktu di dalamnya untuk beribadah dan memikirkan fenomena alam yang terjadi di sekeliling baginda serta kekuatan tersembunyi yang ada di sebalik alam nyata. Baginda tidak mendapat ketenteraman hati menyaksikan apa yang ada pada kaumnya yang berupa keyakinan syirik yang membelenggu dan persepsi lemah yang dipenuhi dengan imaginasi tahyul. Namun begitu, di hadapan baginda juga tidak ada jalan terang untuk keluar daripada perkara itu, tidak juga jalan yang boleh dituju yang dapat membalut hati baginda dengan ketenteraman dan keredhaan.

Pilihan hidup baginda untuk melakukan uzlah (menyendiri daripada masyarakat) merupakan salah satu rahsia Allah dalam mengatur diri baginda. Tujuannya adalah untuk mempersiapkan diri baginda sebelum menyambut urusan agung yang telah menanti baginda. Di situ, baginda bebas daripada kesibukan dan hiruk-pikuk dunia serta perangai manusia yang sentiasa mewarnai kehidupan.

Seperti inilah baginda mempersiapkan dirinya untuk memikul amanah besar yang akan mengubah wajah dunia dan meluruskan garis sejarah. Allah menetapkan baginda melakukan uzlah selama tiga tahun sebelum membebankan risalah Islam di bahu baginda. Baginda biasanya pergi menyendiri selama satu bulan penuh dengan hatinya yang merdeka, lalu merenungi keajaiban tersembunyi yang ada di sebalik alam nyata ini. Hingga tibalah masanya baginda berinteraksi dengan keajaiban tersebut tatkala Allah mengizinkannya.[1]

Jibril Turun Membawa Wahyu

Setelah usia baginda genap 40 tahun (yang dianggap sebagai puncak kesempurnaan jiwa manusia dan dikatakan bahawa para nabi diangkat menjadi rasul pada usia ini) mulailah tanda-tanda kenabian melambai dan memancarkan kilaunya kepada baginda dari balik ufuk kehidupan. Tanda itu berupa mimpi yang benar. Baginda bermimpi kelihatan seperti fajar menyingsing di waktu subuh. Hal itu berlangsung selama enam bulan. Baginda memikul amanah kenabian selama 23 tahun dan mimpi yang benar itu termasuk salah satu daripada 46 tanda kenabian baginda. Hingga akhirnya pada bulan Ramadhan pada tahun ketiga sejak baginda beruzlah di Gua Hira, Allah berkenan melimpahkan rahmat-Nya kepada baginda untuk menjadi pemimpin bagi seluruh penghuni bumi. Allah memuliakan baginda dengan kenabian dan mengutus Jibril kepada baginda dengan membawa beberapa ayat al-Quran.[2]

Dengan mengamati dan menganalisis pelbagai bukti dan dalil, kita boleh memastikan bahawa peristiwa itu terjadi pada hari Isnin, tepatnya pada malam ke-21 bulan Ramadhan, bertepatan dengan tarikh 10 Ogos 610 M. Umur Nabi Muhammad ketika itu tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari berdasarkan perkiraan bulan. Sedangkan, jika memakai kiraan matahari, maka umur baginda waktu itu ialah 39 tahun 3 bulan 20 hari.[3]

Mari kita kaji perbualan Aisyah al-Siddiqah yang meriwayatkan kisah peristiwa tersebut untuk kita. Peristiwa yang merupakan pancaran sinar Ilahiah, yang menyingkap tabir gelapnya kekufuran dan kesesatan hingga mampu mengubah jalan kehidupan dan meluruskan garis sejarah. Aisyah bercerita:
Permulaan yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. menjelang turunnya wahyu adalah mimpi yang benar ketika baginda tidur. Baginda bermimpi melihat fajar menyingsing pada waktu subuh. Semenjak itu baginda diberi rasa suka untuk menyendiri. Baginda bersendiri di Gua Hira. Baginda beribadah di dalamnya untuk beberapa malam, selepas itu baru pulang kepada keluarganya. Baginda membawa bekal makanan yang cukup sepanjang ibadah tersebut. Kemudian, setelah bekalan makanan habis, baginda pulang menemui Khadijah untuk mengambil bekalan makanan yang sama. Akhirnya, ketika baginda berada di Gua Hira, datanglah kebenaran kepada baginda.

Malaikat mendatangi baginda dan berkata, “Bacalah!” Baginda menjawab, “Saya tidak boleh membaca.” Baginda menyatakan, “Ia merangkulku dengan kuat hingga aku keletihan. Selepas itu dia melepaskanku. Dia kembali memberi perintah kepadaku, ‘Bacalah!’ Maka kujawab, ‘Aku tidak boleh membaca.’ Maka ia merangkulku dengan kuat hingga aku keletihan. Perbuatan itu berlaku sebanyak tiga kali. Akhirnya ia melepaskanku dan membacakan wahyu, ‘Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu paling Pemurah. Yang mengajari dengan perantaraan kalam. Mengajari manusia apa yang tidak diketahuinya’.” (Al-‘Alaq: 1-5)

Selepas kejadian itu, Rasulullah s.a.w. pulang dengan hati yang gementar. Baginda menemui Khadijah binti Khuwailid. Baginda berkata, “Selimutilah aku, selimutilah aku.” Keluarganya yang ketika itu berada di situ lantas menyelimuti baginda hingga baginda berasa tenang.

Baginda bertanya kepada Khadijah, “Apakah yang terjadi kepadaku?” Baginda menceritakan kejadian yang baginda alami dan berkata dalam nada risau, “Sesungguhnya aku takut pada diriku sendiri.”

Khadijah menenangkan baginda, “Jangan takut. Demi Allah, Allah tidak akan menghinamu selamanya. Sesungguhnya kamu orang yang gemar menyambung tali silaturrahim, memikul amanahmu sendiri, memberi kepada orang yang tidak berpunya, menjamu tetamu dengan penuh hormat serta menolong siapa saja yang berusaha menegakkan kebenaran.”

Kemudian Khadijah membawa Nabi Muhammad menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin Abdul Uzza, anak bapa saudara Khadijah. Waraqah adalah orang yang memeluk agama Nasrani pada masa jahiliah. Dia giat menulis kitab dalam bahasa Ibrani. Dia juga menulis sebahagian Injil dalam bahasa Ibrani. Umurnya telah tua dan matanya pula telah buta.

Khadijah berkata kepadanya, “Wahai anak bapa saudaraku, tolong dengar cerita anak saudaramu ini.” Maka Waraqah bertanya pada Nabi Muhammad, “Wahai anak saudaraku, apakah yang kamu saksikan?” Rasulullah s.a.w. pun bercerita kepadanya tentang apa yang baginda alami.

Mendengar penerangan itu, Waraqah berkata, “Inilah namus (tanda kenabian) yang pernah Allah turunkan kepada Musa. Semoga aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu.” Rasulullah s.a.w. bertanya, “Adakah mereka akan mengusirku?” Waraqah menjawab, “Ya. Setiap yang datang membawa berita seperti yang engkau bawa, pasti dia akan dimusuhi. Jika aku masih diberi kesempatan hidup hingga hari itu, aku akan menolongmu setakat kemampuanku.”

Sayangnya, harapan Waraqah tidak kesampaian. Dia meninggal ketika wahyu berhenti turun sementara waktu.[4]

Wahyu Terhenti Sementara Waktu

Tentang lamanya wahyu berhenti, Ibnu saad membawakan riwayat daripada Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa peristiwa itu terjadi beberapa hari.[5] Ini pendapat yang rajih, bahkan dapat dipastikan kebenarannya dengan mengamati secara mendalam seluruh aspek perbahasannya. Manakala, pendapat yang terkenal bahawa ia terjadi sepanjang tiga tahun atau dua setengah tahun, merupakan pendapat yang sama sekali tidak benar.

Telah jelas kepadaku sesuatu yang ganjil setelah melakukan penilitian di dalam pelbagai riwayat serta pendapat ahli akademik. Aku tidak dapati mereka menyelisihi dapatan berkenaan.

► Pelbagai riwayat dan pendapat tersebut memberi jawapan bahawa Rasulullah SAW berada di Gua al-Hira’ selama 1 bulan sahaja. Iaitu pada bulan Ramadhan setiap tahun. Iaitu sepanjang 3 tahun sebelum menerima wahyu (kenabian).
► Tahun baginda dilantik menjadi nabi adalah tahun akhir bagi 3 tahun berkenaan.
► Baginda berada di Hira’ sepanjang bulan Ramadhan.
► Baginda keluar dari Hira’ pada waktu pagi – iaitu hari pertama bagi bulan Syawal – lalu pulang ke rumah.

Telah diriwayatkan nas daripada Sahihain bahawa wahyu yang turun kepada Rasulullah SAW setelah berhentinya. Wahyu diturunkan ketika nabi pulang ke rumah baginda setelah tinggal di gua hira’ sepenuh bulan Ramadhan.

Aku berpendapat: Ini menghasilkan dapatan bahawa wahyu berkenaan diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah selepas terhentinya. Ia diturunkan pada hari pertama bulan Syawal setelah selesainya bulan Ramadhan yang dimuliakan baginda dengan anugerah kenabian dan wahyu. Ia adalah hari terakhir baginda berada di gua Hira’.

Apabila telah sabit bahawa wahyu diturunkan pada hari Isnin, 21 Ramadhan maka tempoh wahyu terhenti hanyalah 10 hari. Wahyu seterusnya baginda terima pada pagi hari Khamis, 1 Syawal tahun pertama kenabian. Berkemungkinan inilah rahsia pada pengkhususan 10 hari akhir bulan Ramadhan dengan mendiami serta beriktikaf. Demikian juga ia menjadi hari dikhususkan bulan Syawal dengan hari Raya. WallahuA`lam

Selama hari-hari kekosongan wahyu, Rasulullah s.a.w. berdiam diri dengan perasaan sedih dan penuh tekanan. Jiwa baginda diselimuti kebimbangan dan goncangan yang dahsyat. Dalam kitab al-Ta’bir, al-Bukhari meriwayatkan sebuah nas hadis,

“Wahyu terputus beberapa waktu sehingga Rasulullah s.a.w. bersedih. Disebabkan itu, berkali-kali baginda lari untuk menjatuhkan diri ke puncak gunung. Setiap kali baginda sampai di puncak gunung dan telah bersiap-siap untuk melompat, Jibril menampakkan diri dan berkata, ‘Hai Muhammad, sesungguhnya kamu benar-benar seorang rasul.’ Mendengarkan suara itu, perasaannya menjadi tenang dan jiwanya pun tenteram sehingga baginda pulang. Namun begitu, setelah pulang dari sana, wahyu tidak juga turun. Keesokan harinya baginda melakukan hal yang sama. Tatkala sampai di puncak gunung, Jibril kembali menampakkan diri dan mengatakan seperti apa yang dikatakan tadi.”[6]

Jibril Membawa Wahyu Kali Kedua

Ibnu Hajar berkata, “Hal itu (terputusnya wahyu selama beberapa hari) dimaksudkan agar goncangan yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. pada peristiwa pertama hilang dan agar baginda boleh mempersiapkan diri untuk menerima wahyu yang berikutnya.”[7]

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku berdiam diri di gua Hira’ selama sebulan, setelah selesai akupun turun. Apabila aku sampai di wadi, aku diseru. Aku melihat ke kiri tetapi aku tidak melihat apa-apa. Aku melihat ke kanan tetapi aku tidak melihat apa-apa. Aku melihat ke hadapan, aku tidak melihat apa-apa. Begitu juga ke belakang. Aku pun dongakkan kepalaku memandang ke arah langit. Kudapati malaikat yang sebelum itu turun kepadaku di Gua Hira, sedang duduk di atas kerusi yang terletak di antara langit dan bumi. Aku tersungkur ke tanah. Selepas itu aku pulang menemui keluargaku. Aku berkata kepada mereka, ‘Selimutilah aku. Selimutilah aku.’ Maka mereka menyelimutiku. Kemudian Allah Taala menurunkan ayat berikut:

“Wahai orang yang berselimut. Bangunlah dan berilah peringatan. Dan, Rabbmu besarkanlah. Dan, pakaianmu bersihkanlah. Dan, perbuatan dosa tinggalkanlah. Dan, jangan kamu memberi untuk meminta yang lebih banyak. Dan, untuk (memenuhi perintah) Rabbmu, bersabarlah.” (Al-Muddassir: 1-7).  

Ia diturunkan sebelum perintah solat. Semenjak itu, wahyu selalu datang berturut-turut.”[8]

Ayat-ayat ini adalah risalah Rasulullah yang paling awal. Ia dilewatkan daripada waktu kenabian dengan jarak tempoh wahyu terhenti. Ia merangkumi dua jenis tanggungjawab (Taklīf) seperti yang dijelaskan tertibnya berikut:

Jenis pertama: Tanggungjawab Rasulullah SAW untuk menyampaikan dan memberi amaran. Demikian itu daripada firman Allah: Qūm faanzir. Maksudnya ialah: Berilah amaran kepada manusia daripada azab Allah sekiranya mereka tidak insaf terhadap kesesatan dan ibadah kepada selain Allah yang mereka lakukan. Serta beri amaran terhadap syirik terhadap Allah pada zat, sifat, hak dan perbuatan.

Jenis kedua: Tanggungjawab Rasulullah di dalam merealisiasikan perintah Allah secara zatnya. Serta beriltizam dengannya di dalam dirinya bagi mendapatkan keredhaan Allah. Serta menjadikan beliau contoh teladan kepada sesiapa sahaja yang beriman kepada Allah.

Pada ayat seterusnya Allah berfirman: ((Wa rabbaka fakabbir)) yang bermaksud; mengkhususkan keangungan hanya kepada Allah serta tidak menyukutukan-Nya dengan apa-apa sahaja.

Kemudian Allah berfirman: ((Wasiyābaka faṭohhir)). Maksud luaran bagi ayat berkenaan ialah membersihkan pakaian dan tubuh badan. Iaitu tidak boleh seseorang yang membesarkan Allah serta menghadap-Nya dalam keadaan bernajis lagi kotor. Apabila pembersihan jenis tersebut dituntut, maka pembersihan daripada kotoran syirik, amalan serta peribadi keji adalah lebih dituntut.

Firman Allah: ((Wa al-rujza fāhjur)) bermaksud: Menjauhkan diri daripada sebab-sebab kemurkaan dan azab Allah. Ia ditaati dengan beriltizam melakukan ketaatan serta menjauhi kemaksiatan.

Firman Allah ((Wa lā Tamnun Tastaksir)) bermaksud: Janganlah engkau melakukan sesuatu kebaikan kerana mahukan balasan daripada manusia atau engkau mahukan ganjaran yang lebih baik di dunia ini.

Kemudian pada ayat terakhir, ia mengandungi peringatan kepada pelbagai keperitan yang bakal dilakukan kaum baginda ketika baginda memisahkan mereka daripada agama mereka, lalu baginda disuruh bangun mengajak mereka ke jalan Allah sahaja serta memperingatkan tentang azab serta kekerasan Allah. Allah berfirman: ((Walirabbika Fāṣbir)).

Permulaan ayatnya mengandungi seruan yang amat agung (dengan suara yang besar dan meninggi) dalam melimpahkan sebuah mandat kepada nabi, iaitu, “Hai orang yang berselimut! Bangunlah dan berilah peringatan.” Seakan-akan Allah mengatakan kepada nabi, “Sesungguhnya orang yang hidup untuk dirinya sendiri selalu menikmati hidup dengan bersantai. Sedangkan kamu, adalah orang yang memikul tanggungjawab yang besar ini. Maka mengapa kamu tidur? Mengapa kamu bersantai? Mengapa kamu menikmati segala kesenangan yang melenakan? Bangunlah untuk menyambut urusan agung yang telah menantimu dan tanggungjawab berat yang telah disiapkan untukmu. Bangkitlah untuk berjuang dan berkorban, bekerja keras dan menempuh letih. Berdirilah! Waktu tidur dan istirehat telah habis. Hari-hari di hadapan adalah terus berjaga dengan mata terbuka, juga jihad panjang yang penuh kepenatan. Ayuh, bangunlah, persiapkan dirimu untuk memikul urusan ini.”

Sesungguhnya, ini merupakan sebuah untaian kalimat yang agung dan menggetarkan hati, yang membangunkan nabi daripada kehangatan pelukan isteri di rumahnya yang nyaman, sekaligus mendorong baginda untuk tampil ke tengah-tengah kumpulan manusia. Kemudian baginda pun menceburkan diri ke tengah pusaran angin kencang dan hujan deras, menikmati pelbagai penolakan dan penerimaan daripada manusia serta merasakan bagaimana realiti kehidupan yang sebenarnya.

Rasulullah s.a.w. terbangun dan terus terjaga setelah lebih dari 20 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ada istilah rehat dan bersantai bagi baginda. Baginda hidup bukan untuk kepentingan diri dan keluarganya tetapi untuk agama Allah. Baginda bangkit dan terus berdiri berdakwah, memikul beban yang terlampau berat di bahunya, yang tidak pernah diturunkannya walau sekelip mata. Beban tersebut adalah amanah terbesar yang pernah ada di muka bumi. Beban yang beratnya setara dengan kehidupan seluruh umat manusia, setara dengan keagungan akidah yang kuat, setara dengan pengorbanan tidak berhujung dan jihad panjang di seluruh medan peperangan. Baginda hidup di tengah-tengah pertempuran yang berpanjangan selama lebih dari 20 tahun. Selama tempoh ini, baginda tidak terpaling sedikit pun oleh gangguan, sejak dari pertama kali menerima bebanan syariat dan menyambut seruan agung di atas. Semoga Allah membalasi baginda dengan pahala terbaik kerana telah memberi petunjuk kepada kita dan seluruh manusia.

Lembaran-lembaran selepas ini akan menyajikan gambaran kecil dan ringkas daripada jihad panjang yang meletihkan itu, yang telah dipikul oleh Rasulullah s.a.w. sepanjang baginda menjadi nabi.

Pembahagian Wahyu

Sebelum saya menjelaskan secara jelas tentang kesungguhan Nabi SAW, saya fikir kita perlu mengetahui terlebih dahulu tentang pembahagian wahyu dan tingkatannya. Ibnu Qayyim menyebutkan tentang tahap-tahap wahyu:

Mimpi yang benar, yang merupakan permulaan menjelang turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad.
Dilontarkan oleh malaikat ke dalam hati dan jiwa Nabi Muhammad tanpa baginda melihat malaikat itu. Ini seperti sabda baginda, “Sesungguhnya Ruhul Kudus telah menghembuskan ke dalam diriku bahawa setiap jiwa tidak akan mati kecuali apabila telah disempurnakan rezekinya. Maka takutlah kepada Allah dan tempuhlah cara yang baik dalam mencari rezeki. Janganlah sampai kelambatan rezeki menyebabkan kamu menempuh laluan kemaksiatan untuk mendapatkannya kerana apa yang ada di sisi Allah tidak akan diraih kecuali melalui ketaatan kepada-Nya.”

Malaikat datang kepada baginda dalam rupa seorang manusia lelaki, lalu bercakap kepada baginda hingga baginda faham apa yang dikatakannya. Wahyu jenis ini kadangkala dilihat juga oleh para sahabat.

Wahyu datang kepada baginda dalam dentingan suara lonceng. Inilah wahyu yang paling berat terhadap baginda. Kedatangan malaikat tidak dapat diketahui secara jelas oleh nabi sehingga dahi baginda berkerut mengeluarkan peluh padahal hari sedang sejuk. Juga, apabila baginda sedang menunggang unta, tiba-tiba unta itu tersembam ke tanah. Pernah satu kali wahyu turun dengan cara seperti ini, padahal paha Rasulullah s.a.w. sedang berada di atas paha Zaid bin Tsabit. Maka tiba-tiba Zaid berasa sangat berat sehingga hampir saja melepaskannya.

Nabi melihat malaikat dalam rupa asalnya, diwahhyukan kepada baginda apa yang Allah perintahkan untuk diwahyukan. Cara turun wahyu yang seperti ini terjadi dua kali sebagaimana disebutkan Allah dalam Surah an-Najm.

Allah menyampaikan wahyu kepada nabi, sementara baginda berada di atas tujuh lapis langit pada malam Mikraj. Ia berupa kewajipan solat dan yang lainnya.

Allah menyampaikan sendiri firman-Nya kepada nabi tanpa perantaraan malaikat tetapi masih dari balik tabir, seperti percakapan Allah dengan Musa bin Imran. Kejadian wahyu jenis ini pada Nabi Musa dinyatakan secara tegas dalam nas al-Quran. Sementara kepastian terjadinya pada Nabi Muhammad dinyatakan dalam hadis tentang Israk.

Ada ulama yang menambahkan jenis wahyu kelapan, iaitu Allah bercakap secara langsung berhadap dengan nabi tanpa memakai tabir. Ini merupakan persoalan yang diperselisihkan oleh ulama dahulu mahupun terkini. Demikianlah huraian ringkas tentang tahap-tahap wahyu, dari tahap pertama hingga kelapan.[9]

:::Nota Kaki :::

[1] Rujuk kisa asal di dalam sahih al-Bukhari, hlm 3. Ibnu Hisyam 1/235, 236. Serta rujukan kitab tafsir hadis dan sirah selain daripada mereka berdua. Dikatakan: Abdul Mutallib adalah orang yang pertama bertahannus di gua Hira’. Apabila tiba bulan Ramadhan, beliau akan memanjat (Jabal Nur) serta menjamu orang miskin sepanjang bulan berkenaan. Rujuk al-Kamil oleh Ibnu al-Asīr, 1/553.
[2] Ibnu Hajar mengatakan, “Baihaqi menyatakan bahawa mimpi yang benar berlangsung selama 6 bulan. Oleh itu, permulaan mimpi yang benar yang merupakan petanda awal kenabian terjadi pada bulan baginda dilahirkan, iaitu Rabiul Awal. Peristiwa itu terjadi setelah umur baginda genap 40 tahun. Namun, wahyu pertama yang turun kepada baginda dalam keadaan sedar (tidak tidur), terjadi pada bulan Ramadhan.” Lihat Fath al-Bary, jil I, hlm. 27.
[3] Para sejarawan berbeza pendapat berkaitan pada bulan apa Allah memuliakan Nabi Muhammad dengan kenabian dan menurunkan wahyu pertama. Sebahagian mereka berpendapat peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal, sementara sebahagian lain menyatakan ia terjadi pada bulan Ramadhan. Ada pula yang menyebutkan pada bulan Rejab. Lihat Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 75.
Saya merajihkan pendapat yang kedua, iaitu terjadi pada bulan Ramadhan. Dasarnya adalah firman Allah Taala, “Bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan al-Quran.” (Al-Baqarah: 185) dan“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam al-qadar.” (Al-Qadar: 1). Telah maklum pula bahawa malam al-Qadar terdapat pada bulan Ramadhan. Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang penuh berkah. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi peringatan.” ( ad-Dukhan: 3). Kesimpulan bahawa “malam yang penuh berkah” ini terjadi pada bulan Ramadhan diambil kerana Rasulullah berdiam diri di Gua Hira sepanjang bulan Ramadhan dan bahawa turunnya Jibril pertama kali kepada Nabi Muhammad dengan membawa wahyu terjadi pada bulan Ramadhan.
Seterusnya para pengkaji masih berbeza pendapat lagi dalam menetapkan hari pada bulan Ramadhan tatkala pertama kali wahyu diturunkan. Ada yang berpendapat pada hari ke-7 bulan Ramadhan. Ada yang mengatakan pada hari ke-17. Ada juga yang mengatakan pada hari ke-18. Lihat Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 75 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 49. Dalam Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah, jil I, hlm. 69, al-Khudhari menekankan bahawa peristiwa itu terjadi pada hari ke-17.
Saya berpendapat peristiwa itu terjadi pada hari ke-21 meskipun tidak ada ulama yang mengatakan demikian. Ini kerana para pakar sejarah (majoriti atau bahkan seluruhnya) bersepakat bahawa pengutusan Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada hari Isnin. Mereka menguatkannya dengan riwayat hadis daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah pernah ditanya tentang puasa pada hari Isnin, maka baginda menjawab, “Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu diturunkan wahyu kepadaku.” Di tempat lain diriwayatkan dengan lafaz, “Itu adalah hari aku dilahirkan dan hari aku diutus atau diturunkan wahyu kepadaku.” Lihat Sahih Muslim, jil I, hlm. 368; Musnad Ahmad, jil V, hlm. 297; Sunan al-Baihaqi, jil IV, hlm. 286, 300 dan Mustadrak al-Hakim, jil II, hlm. 602.
Hari Isnin bulan Ramadhan pada tahun tersebut terjadi pada hari ke-7, ke-14, ke-21 dan ke-28. Sementara riwayat-riwayat sahih menunjukkan bahawa Lailatul Qadar terjadi pada malam-malam ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Jatuhnya Lailatul Qadar untuk setiap tahun selalu berganti-ganti antara malam-malam ganjil tersebut.
Dengan demikian, apabila kita mengaitkan antara firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang penuh berkah,” dengan riwayat Abu Qatadah bahawa pengutusan Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada hari Isnin ditambah lagi dengan hitungan tarikh secara ilmiah pada hari Isnin bulan Ramadhan yang tahun itu jatuh pada tarikh apa saja, maka kita boleh menarik kesimpulan bahawa diutusnya Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada malam ke-21 bulan Ramadhan.
[4]Sahih al-Bukhari, halaman (3). Al-Bukhari telah merekodkan hadis ini di dalam kitab at-Tafsir dan at-Ta`bir ar-Ru’ya dengan ada sedikit perbezaan pada lafaz. Juga terdapat di dalam bilangan (3392, 4953, 4955-4957, 6982). Imam Muslim pula merekodkan di dalam Kitab al-Imān (252).
[5]Ṭobaqāt Ibn Sa`ad 1/196
[6]Sahih al-Bukhari, 6982
[7]Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fath al-Bari, jil I, hlm. 27.
[8]Sahih al-Bukhari, kitab al-Tafsir surah al-Mudatsir, bab (1) dan seterusnya 8/445-447 dan sepertinya di dalam Sahih Muslim: Kitab al-Iman 1/144 h. 257.
[9] Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Zad al-Ma’ad, jil I, hlm. 18.