CABANG IMAN KEEMPAT: BERIMAN KEPADA AL-QURAN YANG DITURUNKAN KEPADA NABI KITA MUHAMMAD SAW SERTA SEMUA KITAB YANG DITURUNKAN KEPADA PARA NABI SALAWATULLAH AJMA`IN.

Allah berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَى رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ …

136. Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu.[1]...

(Al-Nisā’: 136)

Firman Allah juga:

...وَالْمُؤْمِنُونَ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ ...

... dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya...

(Al-Baqarah: 285)

Firman Allah juga:

وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ...

4. dan juga orang-orang Yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" Yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab Yang diturunkan dahulu daripadamu...

(Al-Baqarah: 4)

Begitu juga ayat-ayat yang lain yang mempunyai makna sedemikian.

Telah diriwayatkan kepada kita suatu hadis daripada Ibnu Umar daripada Umar bin al-Khaṭṭāb ra, daripada Nabi SAW. Apabila baginda ditanya tentang iman, baginda berkata:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلاَئِكَتِهِ، وَكُتُبِهِ، وَرُسُلِهِ

Keimanan ialah kamu beriman kepada Allah, para malaikat, seluruh kitab dan para nabi-Nya.[2]

Keimanan terhadap al-Quran terpecah kepada beberapa bahagian. Yang paling utama ialah beriman bahawa ia adalah kalamullah tabārak wa ta`ālā, serta bukan ciptaan Muhammad SAW atau Jibril AS.

Kedua: Mengiktiraf bahawa susunannya adalah mukjizat. Sekiranya manusia dan jin berkumpul untuk membawakan yang sepertinya, nescaya mereka tidak akan mampu melakukan hal itu.

Ketiga: Berpegang (i`tiqad) bahawa keseluruhan al-Quran yang dibawa oleh Nabi SAW sehingga baginda wafat ialah al-Quran yang sama ada pada mushaf umat Islam, tidak musnah sedikitpun. Tidak hilang kerana manusia melupainya. Tidak ada kesesatan sekalipun satu muka surat, tidak hilang kerana kematian pembacanya. Tidak disembunyikan seorangpun. Tidak diselewengkan sedikitpun. Tidak ditambah sekalipun satu huruf. Tidak dikurangkan sekalipun satu huruf.

Berkaitan bahagian pertama, Allah telah berfirman:

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا

82. Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

(Al-Nisā’: 82)

Firman Allah juga:

وَهَذَا كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ

155. dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya;...

(al-An`ām: 155)

Firman Allah juga:

لَكِنِ اللَّهُ يَشْهَدُ بِمَا أَنْزَلَ إِلَيْكَ أَنْزَلَهُ بِعِلْمِهِ وَالْمَلَائِكَةُ يَشْهَدُونَ وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا

166. (Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkan-Nya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmu-Nya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).

(Al-Nisā’: 155)

وَإِنَّهُ لَتَنْزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ (192) نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ (193) عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ (194)

192. dan Sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. 193. ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. 194. ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi amaran (kepada umat manusia).

(Al-Syu`āra’: 192-194)

Juga firman Allah:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

2. Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

(Yūsuf: 2)

......

168- Daripada Jābir bin `Abdullah, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْرِضُ نَفْسَهُ عَلَى النَّاسِ فِي الْمَوْسِمِ، فَقَالَ: «أَلَا رَجُلٌ يَحْمِلُنِي إِلَى قَوْمِهِ، فَإِنَّ قُرَيْشًا قَدْ مَنَعُونِي أَنْ أُبَلِّغَ كَلَامَ رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ»

Rasulullah SAW pernah menawarkan diri beliau pada kerumunan manusia di tempat-tempat keramaian, sambil menyatakan: Siapakah lelaki yang akan membawaku kepada kaumnya. Sesungguhnya Quraisy telah menghalangi aku daripada menyampaikan Kalam Tuhanku (al-Quran).[3]

Diriwayatkan kepada kami daripada Abu Bakar al-Ṣiddiq ra:

أَنَّهُ لَمَّا قَرَأَ سُورَةَ الرُّومِ عَلَى مُشْرِكِي مَكَّةَ فَقَالُوا: هَذَا مَا أَتَى بِهِ صَاحِبُكَ. قَالَ: " لَا، وَلَكِنَّهُ كَلَامُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ " وَقَوْلُهُ

Apabila beliau membacakan surah al-Rūm kepada para musyrikin Mekah, mereka berkata: Ini apa yang kamu ambil daripada sahabat kamu. Beliau menjawab: Tidak tetapi ia adalah daripada kalamullah serta sabda-Nya.[4]

Di dalam riwayat lain, beliau berkata:

لَيْسَ بِكَلَامِي، وَلَا كَلَامِ صَاحِبِي، وَلَكِنَّهُ كَلَامُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Bukan daripada kata-kataku, bukan juga daripada kata-kata sahabatku, tetapi ia adalah kalamullah Azza wa jalla.[5]

Diriwayatkan daripada `Amir bin Syahr, katanya:

كُنْتُ عِنْدَ النَّجَاشِيِّ فَقَرَأَ ابْنٌ لَهُ آيَةً مِنَ الْإِنْجِيلِ فَضَحِكَ، فَقَالَ: أَتَضْحَكُ مِنْ كَلَامِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ؟

Aku berada di sisi al-Najāsyī, seorang anaknya membaca Injil lalu dia ketawa. Lantas Najasyi berkata: Adakah kamu ketawa kepada kalamullah?[6]

Khabbab bin al-Arat berkata:

تَقَرَّبْ مَا اسْتَطَعْتَ، وَاعْلَمْ أَنَّكَ لَنْ تَتَقَرَّبَ إِلَى اللهِ بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ كَلَامِهِ

Bertaqarrublah semampu kamu. Tetapi ketahuilah bahawa kamu tidak mampu bertaqarrub dengan sesuatupun yang lebih disukai Allah melainkan dengan kalam-Nya.[7]

Diriwayatkan kepada kami daripada Ibnu Mas`ud, katanya:

أَصْدَقُ الْحَدِيثِ كَلَامُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Ucapan yang paling jujur ialah kalamullah azza wa jalla.[8]

Daripada Umar bin al-Khaṭṭāb katanya:

الْقُرْآنُ كَلَامُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Al-Quran ialah kalamullah.

Usman bin `Affan berkata:

لَوْ أَنَّ قُلُوبَنَا طَهُرَتْ لَمَا شَبِعْنَا مِنْ كَلَامِ ربنا

Sekiranya hati kita bersih, nescaya kita akan merasa puas dengan kalam Tuhan kita.

Ali bin Abi Ṭolib berkata:

مَا حَكَّمْتُ مَخْلُوقًا إِنَّمَا حَكَّمْتُ الْقُرْآنَ

Aku tidak berhukum dengan makhluk, tetapi aku berhukum dengan al-Quran.

Daripada Ibnu Abbas:

أَنَّهُ، " صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَقَالَ رَجُلٌ: اللهُمَّ رَبَّ الْقُرْآنِ الْعَظِيمِ اغْفِرْ لَهُ، فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ إِنَّ الْقُرْآنَ مِنْهُ، إِنَّ الْقُرْآنَ مِنْهُ "

Beliau telah solat untuk sekujur jenazah, kemudian seseorang berkata kepadanya: Ya Allah Tuhan al-Quran yang agung ampunilah dia. Lalu Ibnu Abbas berkata: Bagaimana kamu ini! Al-Quran daripada Allah. Al-Quran daripada-Nya.

Kami telah sebutkan sanad-sanad asar ini di dalam kitab Al-Ṣifāt kesemua yang diambil daripada Nabi SAW, sahabat, tabiin serta yang mengikuti mereka.

 ::: Nota Kaki:: 

[1] Sambungan ayat berkenaan:

وَمَنْ يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا
dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya dan juga hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.
(Al-Nisa’: 136)
[2] Hadis ini telah disebutkan beberapa kali sebelum ini. Ia adalah hadis yang sahih. Direkodkan juga oleh Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan 4777 dan Muslim di dalam Sahih Muslim bilangan: 1-(8).
[3] Direkodkan juga oleh Imam Ahmad di dalam Musnad bilangan 15192. Syeikh Syu`aib berkata: Isnadnya sahih mengikut syarat al-Bukhārī.
[4] Imam al-Baihaqi meriwayatkan hadis ini didalam kitab beliau al-Asma’ wa al-Ṣiffāt dengan sanad daripada jalur Muhammad bin Yahya al-Zuhli, daripada Syuraih bin al-Nu`mān, HS Abdul Rahman bin Abi al-Zinād daripadanya, daripada `Urwah bin al-Zubair daripada Niyar bin Makram, lalu disebutkan kisah Abu Bakr bersama orang musyrikin. Imam al-Baihaqi mengulas: Isnad hadis ini Sahih. Namun, kami pula berpendapat bahawa sanadnya mempunyai masalah. Abdul Rahman bin Abi al-Zinad telah didhoifkan oleh jama`ah manakala sebahagian yang lain mensahihkannya. Rujuk al-Mizān (2/575).
[5] Riwayat ini juga seperti sebelumnya, diriwayatkan oleh Abdul Rahman bin Abi al-Zinad. Imam al-Tirmizi mensahihkannya.
[6] Al-Baihaqi meriwayatkan juga hadis ini di dalam al-Asma’ wa al-Sifāt dengan sanad yang Dhoif. Abu Daud juga meriwayatkan hadis ini tetapi dengan sanad yang Dhoif juga.
[7] Al-Baihaqi meriwayatkan hadis ini di dalam Asma` lalu beliau menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih. Imam Ahmad juga meriwayatkannya di dalam kitab al-Zuhd dengan sanad yang sahih.
[8] Diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad di dalam Musnad, bilangan: 14334. Syeikh syuaib berkata: Hadis Sahih.