Hadis 11: Ancaman Mendahului Imam

Direkodkan oleh Al Bukhari dan Muslim[1] daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

أَمَا يَخْشَى أَحَدُكُمْ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ قَبْلَ الإِمَامِ، أَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ، أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ صُورَتَهُ صُورَةَ حِمَارٍ

“Tidakkah seseorang itu takut jika dia mengangkat kepalanya mendahului imam, Allah akan menjadikan kepalanya kepala keldai atau Allah mengubah rupanya menjadi rupa keldai”.

Sebab Hadis Ini Dilafazkan

Direkodkan oleh Ahmad[2] daripada Abu Said Al Khudri r.a, beliau berkata: “Seorang lelaki menunaikan solat di belakang Rasulullah s.a. Dia rukuk sebelum Baginda s.a.w rukuk dan bangun sebelum Baginda s.a.w bangun. Setelah selesai solat, Baginda s.a.w bertanya: “Siapakah yang melakukan sedemikian?” lelaki itu menjawab: “Aku wahai Rasulullah, aku suka untuk aku diajar, adakah (boleh) aku belajar dengan cara itu atau tidak? Baginda s.a.w menjawab: “Berhati-hatilah terhadap Khidaj[3] di dalam solat. Jika imam telah rukuk maka rukuklah dan jika dia telah bangun maka bangunlah”.

Ulasan:

Ulama bersepakat bahawa hadis ini adalah ancaman terhadap orang yang mendahului imam di dalam solat. Namun, para ulama berbeza pendapatpada maksud kepala bertukarr kepada kepala keldai atau rupa diubah menjadi rupa keldai kepada 2 pendapat:

1. Mungkin berlaku rupa orang berkenaan berubah menjadi rupa keldai.

2. Kenyataan hadis ini menunjukkan penyifatan yang sama diantara kemalasan orang berkenaan dengan sifat himar.

Faedah:

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan:

“Jelas daripada hadis ini menunjukkan kepada pengharaman mendahului imam. Kerana keadaan ancaman terhadapnya ialah perubahan yang merupakan seberat-berat hukuman. Demikian itu, al-Nawawi menetapkan di dalam Syarh al-Muhazzab bersama-sama pendapat mengharamkannya. Jumhur menyatakan orang berkenaan telah berdosa tetapi solatnya masih sah. Manakala Ibnu Umar menyatakan batal solatnya. Demikian jugalah pendapat Ahmad di dalam satu riwayat serta Ahl al-Zohir yang membina pendapat berkenaan daripada kaedah larangan membawa kepada kerosakan.”

Hadis 12: Zikir Ketika I`tidal

Direkodkan oleh Abu Daud[4] daripada Abu Said Al Khudri[5] bahawasanya Rasulullah s.a.w pernah melafazkan (ketika menyebut)[6]: Sami’a Allahu liman hamidah:

اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ مِلْءَ السَّمَوَاتِ، وَمِلْءَ الْأَرْضِ، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ، بَعْدُ أَهْلَ الثَّنَاءِ وَالْمَجْدِ، أَحَقُّ مَا قَالَ الْعَبْدُ، وَكُلُّنَا لَكَ عَبْدٌ، لَا نَازِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ

Ya Allah Ya Tuhan kami, hanya untuk-Mu segala pujian sepenuh langit dan bumi dan sepenuh apa sahaja yang Engkau kehendaki. Wahai Allah yang berhak menerima sanjungan dan kehormatan, ucapan yang paling patut diucapkan oleh seorang hamba, dan kami semua adalah hamba-Mu, tidak seorang pun yang dapat melarang apa yang telah Engkau berikan.[7] Orang yang mempunyai kemewahan tidak mampu memberikan manfaat kerana kemewahan itu adalah daripada-Mu.

Sebab Hadis Ini Dilafazkan

Direkodkan oleh Ibnu Majah[8] dan Abu Muti’[9] di dalam kitab Amali milik beliau  daripada Abu Juhaifah, beliau berkata: “Diceritakan tentang kekayaan kepada Rasulullah s.a.w, mereka berkata: “Kekayaan seseorang itu pada (banyaknya) unta, kekayaan seseorang itu pada (banyaknya) kambing-kambing”. Ketika menunaikan solat, tatkala Baginda s.a.w bangkit daripada rukuk Baginda s.a.w menyebut lafaz ini: Allahumma laka al hamd[10]. Mil’u as samawati wa mi’lu al ardhi wa mil’u ma syi’ta min syai, la mani’a lima a’taita wala mu’tiya lima mana’ta wala yanfa’u za al jadd minka al jadd, Baginda s.a.w melafazkannya dengan kuat”.

Ulasan:

Hadis ini mahu menjelaskan kepada kita bahawa segala yang kita miliki daripada harta benda dunia ini adalah milik Allah. Ia datang dengan izin Allah dan ia pergi juga dengan izin Allah.

Apa yang manusia mampu lakukan hanyalah berusaha mendapatkan harta dunia tanpa melampau. Ikuti penjelasan ayat berikut:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا

Mencarilah dengan apa yang diberikan oleh Allah kepada kamu akan (ganjaran) rumah akhirat. Serta jangan pula kamu lupakan habuan kamu di dunia...

(Al-Qasas: 77)

Ayat di atas menjelaskan bahawa pentingnya kita menggunakan harta yang kita dapat di dunia ini dengan sebaiknya. Setiap apa yang dilakukan di atas muka bumi ini hendaklah disangkut kepada ganjaran dan balasan akhirat.

Ayat di atas juga mengingatkan kita bahawa tidak salah mendapatkan harta dunia, asalkan ia tidak melalaikan kita daripada merebut ganjaran yang utama di akhirat.

WllahuAalam.

Faedah:

Hadis ini menunjukkan bahawa selain zikir yang sering kita sebutkan, ada zikir lain yang Nabi SAW baca ketika I`tidal. Justeru itu, kita bolehlah mula beramal dengannya sedikit demi sedikit.
                                                                                                                                     
Hadis 13: Datangilah Solat Dengan Tenang

Direkodkan oleh Imam hadis yang enam[11] daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata:

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلَاةُ فَلَا تَأْتُوهَا تَسْعَوْنَ، وَأْتُوهَا تَمْشُونَ وَعَلَيْكُمُ السَّكِينَةُ، فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّوا، وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّوا

“Jika telah dilaungkan iqamah untuk solat, janganlah kamu datang di dalam keadaan berlari, datanglah di dalam keadaan berjalan dan hendaklah kamu datang dalam keadaan tenang, maka solatlah apa yang sempat dan yang tertinggal itu sempurnakanlah”.

Sebab Hadis Ini Dilafazkan:

Direkodkan oleh Ahmad[12], al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Qatadah r.a, beliau berkata: “Ketika kami sedang solat bersama Rasulullah s.a.w, terdengar suara beberapa orang lelaki. Setelah selesai solat Baginda s.a.w memanggil mereka seraya bertanya: Kenapa dengan kamu? Mereka menjawab: Wahai Rasulullah, kami tergesa-gesa untuk bersolat. Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Janganlah kamu lakukan demikian, jika kamu dating untuk solat, hendaklah kamu di dalam keadaan tenang. Apa yang kamu sempat (bersama imam) solatlah, apa yang tertinggal, sempurnakanlah”.

Hadis 14: Ikuti Imam

Direkodkan oleh At Tirmizi[13] dari Ali bin Abi Talib r.a. daripada Nabi s.a.w, Baginda bersabda:

إِذَا أَتَى أَحَدُكُمُ الصَّلَاةَ وَالإِمَامُ عَلَى حَالٍ فَلْيَصْنَعْ كَمَا يَصْنَعُ الإِمَامُ

“Jika kamu datang untuk bersolat dan imam sedang di dalam keadaan tertentu, maka lakukanlah sepertimana yang dilakukan imam”.

Sebab Hadis Ini Dilafazkan:

Direkodkan oleh At Tabrani daripada Muaz, beliau berkata: “Masyarakat di zaman Rasulullah s.a.w, jika telah didahului dengan beberapa bahagian di dalam solat, dia akan bertanya para jemaah yang lain dan mereka akan menunjukkan bahagian di dalam solat yang telah tertinggal itu. Kemudian dia akan tunaikan bahagian yang tertinggal itu terlebih dahulu kemudian dia akan masuk solat berjemaah bersama jemaah yang lain.

Maka datanglah Muaz r.a ketika jemaah sedang duduk di dalam solat dan dia terus duduk bersama jemaah yang lain (mengikut imam). Apabila Rasulullah s.a.w (imam) memberi salam, Muaz r.a lantas bangun dan menyempurnakan bahagian solat yang telah tertinggal. Maka Rasulullah s.a.w bersabda sebagai respon kepada perbuatan beliau: Lakukanlah apa yang telah Muaz lakukan.

Di dalam riwayat At Tabrani yang lain, daripada Muaz r.a: Aku berkata: aku tidak mendapatinya kecuali berada di dalam keadaan yang engkau berada padanya, maka aku mengikut keadaan yang aku lihat mereka berada padanya. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Muaz telah mengadakan satu sunnah untuk kamu maka ikutilah dia, jika salah seorang daripada kamu datang dan telah berlalu sebahagian solat, maka  solatlah bersama imam. Apabila imam selesai sempurnakanlah apa yang telah tertinggal”.

Ulasan:

Apabila seseorang datang ke surau atau masjid atau tempat solat orang berjemaah, lalu dia melihat jemaah telah bersolat lebih daripada rakaat pertama, maka dia terus bertakbir dan berada pada posisi yang sama seperti jemaah lain. Apabila imam memberi salam, maka dia hendaklah bangun dan menyempurnakan rakaatnya yang tertinggal.

Imam al-Nawawi menjelaskan di dalam kitab al-Majmu`:

“Apabilaseseorang mendapati imam dalam keadaan tasyahud al-Akhir, maka dia hendaklah terus bertakbir ihram dalam keadaan berdiri kemudian duduk serta bertasyahud bersama imam.”

Sebahagian orang yang telah lewat dan melihat imam pada tasyahud akhir hanya menunggu sehingga imam selesai, seandainya mereka mengetahui hadis ini nescaya mereka tidak akan melakukannya.

Faedah:

1. Solat hendaklah didirikan dengan tenang. Ia tidak boleh dilakukan dalam keadaan kalut dan tergesa-gesa.

2. Khusyuk adalah kewajipan di dalam solat. Ia amat ditekankan di dalam solat sehingga Nabi SAW mengingatkan untuk menjauhi perkara yang menghilangkan khusyuk.

WallahuA`lam.

::: Nota Kaki:::

[1] Di dalam naskhah Andalus tertulis ( Ahmad, Al Hakim dan Muslim). Al Bukhari meriwayatkan: Di dalam kitab Al Jama’ah (solat berjemaah) bab (Dosa Mereka Yang Mengangkat Kepala Sebelum Imam) dengan lafaz yang sama, jilid 1: m/s 177. Dengan sedikit penambahan lafaz (Awala Yakhsya Ahadukum) selepas lafaz (Ama Yakhsya Ahadukum). Muslim: meriwayatkan di dalam kitab solat bab (Pengharaman Mendahului Imam ketika Rukuk Atau Sujud dan sumpamanya), dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2:m/s 73.
[2] Ahmad: meriwayatkan dengan lafaz yang sama dari Abu Said Al Khudri, jilid 3:m/s 43.
[3] Khidaj di dalam solat (huruf Kha’ berbaris bawah): Kekurangan di dalam solat. Akan tetapi di dalam naskhah Andalus tertulis Khidasy.
[4] Abu Daud: Meriwayatkan di dalam kitab Solat di dalam bab (apa yang di lafazkan ketika bangun dari rukuk) dengan lafaz yang sama. Jilid 1: m/s 224 hadis ke 847.
[5] Di dalam naskhah Andalus di tambah lafaz Radhiyallahu anhu.
[6] Di dalam naskhah Az Zahiriyyah yang pertama tidak tertulis (ketika menyebut) dan lafaz ini tertulis di dalam semua naskhah-naskhah yang lain.
[7] Lafaz ‘Al Jadd’ bermaksud: keberuntungan, kesenangan, kekayaan dan penerimaan di dunia. Maksud (la yanfa’u za al jadd minka al jadd) ialah tidak bermanfaat keuntungan seseorang terhadap dirinya jika dibandingkan dengan ketaatan kepada Allah. ( Al Mughrib Fi Tartib Al Mu’rib, jilid 1 m/s: 134).
[8] Ibnu Majah: Meriwayatkan di dalam kitab Solat bab ( Lafaz Yang Disebut Ketika Bangkit dari Rukuk) dengan makna yang seumpama lafaz ini, jilid 1: m/s 284 hadis ke 879. Di dalam Az Zawaid: Di dalam sanadnya terdapat Abu Umar, dia seorang yang tidak dikenali dan tidak diketahui hal keadaannya.
[9] Di dalam naskhah Andalus tertulis Ibnu Muti’.
[10] Di dalam naskhah Andalus tidak tertulis (Laka Al Hamd).
[11] Al Bukhari: meriwayatkan di dalam kitab Azan bab ( Tidak Boleh Berlari Untuk Solat Dan Hendaklah Berjalan Di dalam Keadaan Tenang), dengan makna yang seumpama lafaz ini, jilid 1:m/s 164. Juga di dalam kitab Jumaat bab (Berjalan untuk solat Jumaat) dengan makna yang seumpama lafaz ini, jlid 2:m/s 9.
Muslim: Di dalam kitab Solat bab (Disunatkan Datang Solat Di dalam Keadaan Tenang Dan Larangan Dari Datang Dengan Berlari Diriwayatkan dengan lafaz yang sama, jilid 1: m/s 255, hadis ke 775.). Diriwayatkan dengan lafaz yang sama. Jilid 2: m/s 245.
Abu Daud: Di dalam kitab Solat bab (Berlari Untuk Solat). Diriwayatkan dengan makna yang seumpama lafaz ini. Jilid 1: m/s 156, hadis ke 572.
At Tirmizi: Di dalam bab-bab solat bab (Perbahasan Mengenai Berjalan Ke Masjid). Diriwayatkan dengan lafaz yang sama, jilid 2: m/s 149. Di dalam notakaki m/s 149, hadis ini tidak dikomentar oleh At Tirmizi dan hadis ini statusnya soheh, diriwayatkan oleh Al Bukhari, Muslim dan lain-lain.
An Nasai:Di dalam kitab Al Imamah bab ( Berlari Untuk Solat). Diriwayatkan dengan makna yang seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 114.
Ibnu Majah: Di dalam kitab Masjid-Masjid dan Jemaah, bab (Berjalan Untuk Solat). Diriwayatkan dengan lafaz yang sama Diriwayatkan dengan lafaz yang sama, jilid 1: m/s 255, hadis ke 775.
[12] Ahmad: Meriwayatkan dengan lafaz ini dari Abu Qatadah, jilid 5: m/s 306. Al Bukhari: Di dalam kitab Azan, bab (Kata-kata seseorang: kami telah tertinggal solat). Diriwayatkan dengan lafaz yang sama, jilid 1:m/s 163. Muslim: Di dalam kitab Solat bab (Disunatkan Datang Solat Dengan Tenang dan Larangan Dari Datang Dengan Berlari), diriwayatkan dengan makna yang seumpama lafaz ini, jilid 2: m/s 247.
[13] At Tirmizi: Meriwayatkan di dalam bab-bab solat bab (Perbahasan Mengenai Seseorang Yang Mendapati Imam Sedang sujud, Apa Yang Harus Dia Lakukan), dengan lafaz yang sama, jilid 2: m/s 485-486.

Berkata Abu Isa: Hadis ini statusnya ialah ‘Gharib’ (janggal), kami tidak mendapati sesiapapun menyandarkan hadis ini (kepada sesiapa) kecuali yang diriwayatkan dengan bentuk ini, dan boleh beramal dengannya di sisi ahli ilmu.

Mereka berkata: Jika seseorang itu datang dan imam sedang sujud, maka sujudlah dan dia tidak mendapat rakaat itu jika dia terlepas rukuk bersama imam. Abdullah bin Mubarak memilih untuk bersujud bersama Imam, beliau menyebut daripada sebahagian yang lain: Mudah-mudahan dia tidak mengangkat kepalanya daripada sujud tersebut sehingga diampunkan.

Di dalam syarah Sunan At Tirmizi, jilid 2:m/s 487, berkata Ahmad Syakir: (Berkata Al Hafiz di dalam At Talkhis pada m/s ke 127: “di dalamnya terdapat dhaif dan terputus (sanadnya)”. Yang dimaksudkan oleh beliau dhaif itu ialah isyarat kepada melemahkan Hajjaj bin Artah, di sisi kami dia thiqah (dipercayai) kecuali dia ini seorang mudallis. Dan beliau (Ibnu Hajar) mengisyaratkan dengan terputus (sanad) ialah Ibnu Abi Laila tidak pernah mendengar daripada Muaz. Akan tetapi terdapat bukti daripada hadisnya di sisi Abu Daud, jilid 1: m/s 193-196, berkata Ibnu Abi Laila di dalam hadis tersebut: “Telah menceritakan kepada kami sahabat-sahabat kami” kemudian beliau menyebut hadis dan di dalamnya terdapat lafaz: “Maka berkata Muaz: Aku tidak melihatnya berada di dalam keadaan kecuali keadaan engkau ini. Beliau berkata lagi: Maka dia berkata: Sesungguhnya Muaz telah mengadakan satu sunnah, maka perbuatlah seperti itu” Dan hadis ini sanadnya bersambung, kerana yang dimaksudkan dengan sahabat-sahabat kami ialah para sahabat Nabi s.a.w. ini juga disebut dengan jelas di dalam riwayat Ibnu Abi Syaibah: “Telah menceritakan kepada kami sahabat-sahabat Muhammad s.a.w”.

-Hajjaj bin Artah: (Meninggal pada tahun 145H/762M), beliau ialah Hajjaj bin Artat bin Thaur An Nakhi’, seorang Qadhi berasal daripada Kufah, salah seorang daripada perawi dan hafiz di dalam bidang hadis. Beliau telah diminta berfatwa ketika masih berumur 16 tahun, beliau pernah memegang jawatan qadhi di Basrah dan meninggal dunia di Khurasan atau di Rayy, dia seorang yang agak sombong dan dikritik kerana menukar lafaz-lafaz di dalam hadis. (Al A’lam, jilid 2: m/s 168).