Direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim[1] daripada Ibnu Umar r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

«مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الْبَقْلَةِ فَلَا يَقْرَبَنَّ مَسَاجِدَنَا، حَتَّى يَذْهَبَ رِيحُهَا» يَعْنِي الثُّومَ

“Sesiapa yang makan daripada tumbuhan (Al-Baqlah)[2] ini, maka janganlah dia mendekati masjid kami sehingga hilang baunya” iaitu bawang putih.

Direkodkan oleh Muslim[3] daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ، فَلَا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا، وَلَا يُؤْذِيَنَّا بِرِيحِ الثُّومِ

“Sesiapa yang makan daripada pokok ini, maka janganlah dia dekati masjid kami dan janganlah dia menyakiti kami dengan bau bawang putih”.                                                            

Sebab Hadis Ini Dilafazkan :

Direkodkan oleh Ahmad[4] daripada Al Mughirah bin Syu`bah, beliau berkata:

“Aku telah makan bawang putih dan aku pergi ke masjid Nabi s.a.w. Ketika itu aku dapati baginda telah mendahuluiku dengan satu rakaat. Setelah Baginda s.a.w selesai solat, aku berdiri dan menyempurnakan rakaat yang telah tertinggal itu. Maka Baginda s.a.w terhidu bau bawang putih lantas bersabda: “Sesiapa yang makan sayuran ini maka janganlah dia dekati masjid kami sehingga bau itu hilang”.

Setelah aku selesai solat, aku mendatangi Rasulullah s.a.w dan aku berkata kepada Baginda s.a.w: “Sesungguhnya aku mempunyai keuzuran, berikanlah tanganmu kepadaku. Demi Allah!! Aku dapati Baginda s.a.w seseorang yang sangat mudah, kemudian Baginda s.a.w memberikan tangan Baginda s.a.w kepadaku lantas aku masukkannya melalui lengan bajuku (Kummi[5]) terus ke dadaku, lantas Baginda s.a.w mendapati dadaku berbalut lalu bersabda: Sesungguhnya engkau mempunyai keuzuran”.

Direkodkan oleh Ahmad dan Muslim[6] daripada Jabir r.a:

“Bahawasanya Nabi s.a.w melarang bawang besar dan daun bawang di hari Khaibar. Beberapa orang telah makan kedua-duanya kemudian mereka pergi ke masjid, maka Baginda s.a.w bersabda: “Bukankah aku telah melarang daripada dua sayuran yang busuk ini?” Mereka menjawab: “Bahkan engkau telah melarangnya wahai Rasulullah, akan tetapi kelaparan telah memaksa kami. Maka Baginda s.a.w bersabda: “Sesiapa yang makan kedua-duanya janganlah dia hadir ke masjid kami, sesungguhnya malaikat juga terganggu dengan apa yang mengganggu anak Adam”.

Direkodkan juga oleh Ahmad[7] daripada Abi Tha’labah  Al Khushani[8], beliau berkata: “Aku berperang bersama Rasulullah s.a.w di Khaibar, ketika itu tentera-tentera kelaparan. Maka kami telah menyembelih beberapa ekor keldai peliharaan, perkara itu diceritakan kepada Baginda s.a.w lalu Baginda menyuruh Abdurrahman bin Auf menyeru: Bahawasanya daging-daging keldai peliharaan tidak halal untuk sesiapa yang bersaksi bahawa aku ini pesuruh Allah.

Berkata Abi Sa’labah: Kami temui bawang besar dan bawang putih. Para tentera ketika itu telah kelaparan lantas mereka makan (bawang dan bawang putih tersebut) dengan kadar yang banyak. Kemudian mereka beredar dan masjid telah berbau bawang besar dan bawang putih. Lantas Rasulullah[9] s.a.w bersabda: Sesiapa yang makan sayuran yang buruk ini maka janganlah dia dekati kami. Kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: Tidak halal An Nahba[10], juga tidak halal binatang buas yang bertaring atau berkuku, dan tidak halal juga Al Mujassamah[11]”.

Direkodkan oleh Ahmad dan Muslim[12] daripada Abu Said Al Khudri r.a, beliau berkata: “Kami tidak berlebih-lebihan di hari pembukaan Khaibar. Kami menjumpai sayuran tersebut (bawang dan bawang putih). Kami telah memakannya dengan kadar yang banyak kerana kelaparan kemudian kami beredar menuju ke masjid. Rasulullah s.a.w menghidu baunya seraya bersabda: Sesiapa yang makan tumbuhan yang buruk ini maka janganlah dia dekati kami di dalam masjid. Maka berkata para jemaah: Telah haramlah, telah haramlah. Kemudian kata-kata itu sampai kepada pengetahuan Rasulullah s.a.w lalu Baginda s.aw bersabda: Wahai manusia aku tidak berhak mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah, akan tetapi ianya merupakan tumbuhan yang aku tidak suka baunya”.

Ulasan:


Daripada hadis dan latar belakang kisah di atas, kita fahami bahawa memakan bawang sama ada bawang putih, bawang besar, atau bawang merah adalah halal, tidak haram dan tidak makruh. Tetapi menjadi makruh daripada sudut baunya yang menyakiti orang lain, khususnya ketika beribadah.

Apabila menyakiti orang dengan bau bawang putih adalah dilarang, maka menyakiti orang dengan cara yang lebih berat daripada itu seperti membuat bising di masjid, menyanyi-nyanyi dan sebagainya lebih berat.

Perbuatan merokok yang menyebabkan bau mulut berubah, pakaian turut berbau bahkan orang lain juga terkesan termasuk di dalam larangan ini. Selain hukumnya sendiri haram, ia ditambah lagi dosa apabila menyakiti orang lain.

Pertama: Apa Hukum Makan Bawang Putih?


Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim memberikan kenyataan apabila menjelaskan hadis “Wahai manusia aku tidak berhak mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah, akan tetapi ianya merupakan tumbuhan yang aku tidak suka baunya”. Kata Imam al-Nawawi:

“Pada hadis tersebut menjadi dalil bahawa bawang putih tidak haram. Ia adalah kesepakatan bagi sesiapa yang berpegang seperti itu. Para Ashab kita telah berselisih pendapat pada hukum bawang putih untuk Rasulullah SAW, adakah ia haram atau dia tinggalkan kerana tidak suka? Jelas daripada hadis tersebut ia tidak diharamkan kepada Rasulullah SAW.”

Justeru itu, kita dapat simpulkan bahawa bawang putih bukanlah salah satu daripada makanan yang diharamkan. Ia harus dimakan oleh sesiapa yang mahu.

Hukum Orang Makan Bawang Putih Datang ke Masjid


Kerugian sangat besar bagi orang yang tidak hadir ke masjid untuk solat berjemaah atau beribadah di dalamnya. Allah berfirman,

18. Hanyasanya Yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan Yang mendapat petunjuk.

(al-Taubah: 18)

Justeru, hukum orang yang makan bawang datang ke masjid adalah hukum yang besar kerana menyebabkan kemungkinan hilang kelayakan mendapatkan kelebihan hadir ke masjid dan menjadi sebahagian daripada ciri-ciri orang yang mendapat petunjuk.

Pendapat pertama: Mazhab al-Mālikiyyah[13], zahir Mazhab al-Syafiiyyah[14], satu riwayat daripada Ibn Hazm dan Ibn Munzir menyatakan bahawa haram orang yang makan bawang putih pergi ke Masjid dan wajib mengeluarkan orang berkenaan daripadanya.

Dalil pendapat ini.

Mereka menyatakan hujah daripada hadis-hadis berikut:

1- Nabi SAW bersabda ketika perang Khaibar:

مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ - يَعْنِي الثُّومَ - فَلاَ يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا

Sesiapa makan daripada pohon ini – iaitu pohon bawang putih – maka jangan sesekali dia mendekati masjid kami.

(HR al-Bukhāri: 853)

2- Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا، فَلْيَعْتَزِلْنَا - أَوْ قَالَ: فَلْيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا - وَلْيَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ

Sesiapa yang makan bawang putih atau bawang besar maka pisahkanlah daripada kami – atau Rasulullah berkata: Maka pisahkanlah daripada masjid kami dan duduklah di rumahnya.

(HR al-Bukhāri: 855)

3- Jabir berkata: Nabi SAW melarang kami daripada memakan bawang besar dan daun bawang, tetapi apabila kami terpaksa memakannya, lalu kami memakannya. Lantas Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ الْمُنْتِنَةِ، فَلَا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ تَأَذَّى، مِمَّا يَتَأَذَّى مِنْهُ الْإِنْسُ

Sesiapa yang makan daripada pokok yang busuk ini, maka jangan sesekali mendekati masjid kami, kerana malaikat akan merasa tersikiti disebabkan sesuatu yang turut disakiti oleh manusia.

(HR Muslim: 72)

4- Demikian juga kata-kata Umar al-Khaṭṭab yang direkodkan: Ketika berkhutbah, Umar berkata: “Wahai manusia, aku melihat kamu memakan daripada dua pohon yang tidak terlihat di pandanganku melainkan kekotoran, inilah bawang besar dan bawang putih. Aku melihat perbuatan Nabi SAW apabila baginda mendapati seseorang yang terdapat bau kedua-duanya di dalam masjid, nescaya baginda akan menyuruh dikeluarkan dia sehingga ke al-Baqi`. Maka sesiapa yang memakannya hendaklah dia masak sehingga sebati.”

(HR Muslim: 78)

Penjelasan: Hadis-hadis di atas menunjukkan kepada larangan orang yang makan bawang untuk menghadiri masjid kerana bauannya menggangu orang. Apabila ada larangan yang tiada penghubung yang menjadikan ia difahami sebaliknya, maka ia tetap dengan hukum asalnya iaitu larangan bermaksud haram.

Di dalam hadis di atas juga menunjukkan suruhan untuk mengeluarkan orang berkenaan daripada masjid sekalipun masjid tersebut kosong kerana ia dipenuhi oleh malaikat.

Imam al-Nawawi memberi ulasan: Ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang makan bawang dan seumpamanya dilarangan daripada memasuki semua masjid. Inilah pandangan ulama keseluruhannya.

(Rujuk: Syarah Sahih Muslim: 5/49)

Pendapat Kedua: Al-Malikiyyah[15], al-Syafiiyyah[16], dan pendapat yang Sahih daripada al-Hanābilah[17] menyatakan makruh hadir ke masjid bagi orang yang makan bawang atau seumpamanya.

Mereka berhujah dengan dalil berikut:

1. Dalil hadis yang disebutkan menunjukkan larangan yang bersifat makruh, bukan haram.

2. Direkodkan oleh Ahmad[18] daripada Al Mughirah bin Syu`bah, beliau berkata:
“Aku telah makan bawang putih dan aku pergi ke masjid Nabi s.a.w. Ketika itu aku dapati baginda telah mendahuluiku dengan satu rakaat. Setelah Baginda s.a.w selesai solat, aku berdiri dan menyempurnakan rakaat yang telah tertinggal itu. Maka Baginda s.a.w terhidu bau bawang putih lantas bersabda: “Sesiapa yang makan sayuran ini maka janganlah dia dekati masjid kami sehingga bau itu hilang”.

Setelah aku selesai solat, aku mendatangi Rasulullah s.a.w dan aku berkata kepada Baginda s.a.w: “Sesungguhnya aku mempunyai keuzuran, berikanlah tanganmu kepadaku. Demi Allah!! Aku dapati Baginda s.a.w seseorang yang sangat mudah, kemudian Baginda s.a.w memberikan tangan Baginda s.a.w kepadaku lantas aku masukkannya melalui lengan bajuku (Kummi[19]) terus ke dadaku, lantas Baginda s.a.w mendapati dadaku berbalut lalu bersabda: Sesungguhnya engkau mempunyai keuzuran”.

Pendapat kedua menyatakan: Hadis di atas menunjukkan keharusan menghadiri masjid sekalipun makan bawang atau seumpamanya. Kerana Nabi memberi keuzuran kepada Al-Mughirah bin Syu`bah. Bahkan Nabi SAW tidak mengeluarkan dia daripada masjid.

Kritikan: Hadis ini Dhoif. Sedangkan hadis yang menjadi hujah pengharaman adalah sahih. Maka hadis sahih lebih kuat dalam hujah.

Kedua, jika kita berlapang dada dan mengatakan kemungkinan sahih, maka hadis berkenaan sendiri telah menolak pendapat mereka. Di dalam hadis itu menyatakan al-Mughirah mempunyai keuzuran, lalu Nabi SAW membiarkannya. Sekiranya tidak ada keuzuran, maka larangan berterusan.

Tarjieh: Pendapat yang lebih kuat dan terpilih menurut kami daripada sudut hujah ialah pendapat pertama yang menyatakan pengharaman.  Kerana ia dalil yang kuat.

Meninggalkan Solat Jamaah dan Jumaat kerana Mulut Berbau?


Al-Hanafiyyah, Syafiiyah dan zahir Mazhab al-Hanābilah menyatakan bau mulut yang busuk menyebabkan ada keuzuran daripada menghadiri solat Jumaaat dan Jemaah.

Mereka berhujah dengan dalil larangan hadir ke masjid bagi orang yang makan bawang atau mulut berbau. Perbuatan itu menyakiti umat Islam, orang yang bersolat dan para malaikat. Kerana syarat sah solat ialah seseorang itu fokus menyedari perbuatannya. Bau busuk menyebabkan khusyuk hilang. Solat dengan khusyuk di luar Jemaah adalah lebih baik daripada solat tidak khusyuk di dalam jemaah.

Namun begitu, membuang bau tersebut adalah lebih baik, kemudian pergi ke masjid. Kerana halangannya adalah bauan yang boleh dihilangkan dengan mudah pada hari ini.

Meninggalkan jemaah kerana bauan dan meninggalkannya kerana sakit atau musafir tidak sama. Jika bermusafir atau sakit, kita mendapat ganjaran pahala kerana Nabi SAW telah bersabda:

إِذَا مَرِضَ العَبْدُ، أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Apabila seorang hamba jatuh sakit atau bermusafir, maka dia mendapat pahala sama sepertimana jika dia melakukannya dalam keadaan sihat atau bermuqim.

(HR al-Bukhari: 2996)

Tetapi tidak ada ganjaran pahala kepada orang yang meninggalkan solat Jumaat kerana bau. Apabila kita melarang mereka datang menghadiri jemaah , kita bermaksud melarang dia daripada menyakiti orang lain dan para malaikat.

Tidak patut pula bagi seorang muslim yang mahu berbuat helah tidak menghadiri jemaah dengan sengaja membuatkan mulutnya berbau. Jika demikianlah urusannya, maka dia mendapat dosa daripada perbuatannya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

WallahuA`lam.


 ________ Nota Kaki ______


[1] Di dalam naskhah Andalus tidak tertulis (Muslim). Al Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Sifat Solat bab (Perbahasan Berkenaan Bawang Putih Mentah, Bawang Dan Daun Bawang), dengan makna seumpama lafaz ini, jilid 1: m/s 216. Muslim: Di dalam kitab Solat bab (Larangan Daripada Makan Bawang Putih, Bawang, Daun Bawang Dan Seumpamanya), diriwayatkan dengan lafaz yang sama. Jilid 2: m/s 196.
[2] Apa yang tumbuh terus dari benih bukan dari (asal) batang pokok.
[3] Muslim: Meriwayatkan di dalam kitab Solat bab (Larangan Daripada Makan Bawang Putih, Bawang, Daun Bawang Dan Seumpamanya). Diriwayatkan dengan lafaz yang sama. Jilid 2: m/s 196.
[4] Ahmad: Meriwayatkan dengan lafaz ini dari Al Mughirah. Jilid 3: m/s 252.
[5] Al Kum: Tempat keluar masuk tangan di baju.
[6] Ahmad: Meriwayatkan dengan lafaz yang sama dari Jabir bin Abdullah r.a. Jilid 3: m/s 387. Muslim: Di dalam kitab Solat bab (Larangan Dari Makan Bawang Putih, Bawang, Daun Bawang dan Seumpamanya). Diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 197.
[7] Ahmad: Meriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini dari Abi Tha’labah Al Khushani. Jilid 3: m/s 194.
[8] Di dalam naskhah Halab tertulis Al Khuthani.
[9] Di dalam naskhah Kaherah tidak tertulis perkataan (Rasulullah) ini.
[10] Di dalam naskhah Halab tertulis (An Nabha’), An Nabha yang ditulis dengan Alif Maqsurah membawa maksud rampasan.
[11] Di dalam naskhah Halab tertulis (Al Mujattamah). Lafaz Al Mujassamah bermaksud: Setiap haiwan yang diikat dan dibaling atau dipanah untuk dibunuh, banyak dilakukan kepada burung dan arnab.
[12] Di dalam naskhah Andalus tidak tertulis perkataan Muslim. Ahmad meriwayatkan dengan lafaz yang sama dari Abu Said Al Khudri. Jilid 3: m/s 12. Muslim: Di dalam kitab Solat bab (Larangan Dari Makan Bawang Putih, Bawang, Daun Bawang Dan Seumpamanya). Diriwayatkan dengan makna yang seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 198.
[13] Rujuk al-Tamhid, jilid 2, halaman 348
[14] Rujuk: Mughni Muhtaj, jilid 1, halaman 360.
[15] Rujuk: Hāsyiyah al-Dusuqī, jilid 1, halaman 620.
[16] Rujuk: al-Majmu` jilid 2, halaman 140.
[17] Rujuk: Al-Mughnī, jilid 13, halaman 351.
[18] Ahmad: Meriwayatkan dengan lafaz ini dari Al Mughirah. Jilid 3: m/s 252.
[19] Al Kum: Tempat keluar masuk tangan di baju.