Pendirian al-Musyrikun terhadap Rasulullah SAW

Bagi Rasulullah SAW pula, baginda adalah seorang lelaki yang mulia dan peribadi yang tidak dapat ditandingi. Para musuh dan rakan menerimanya dengan kemuliaan dan sanjungan. Tidak ada orang yang mulia yang mahu menyakitinya melainkan orang-orang rendah darjat dan bodoh sahaja. Justeru itu, Abu Tālib  menghalang mereka. Bahkan Abu Tālib merupakan sebahagian daripada tokoh terbilang di Mekah. Dihormati oleh keturunannya serta masyarakat secara umum. Ia menyukarkan sesiapapun untuk menandingi kemuliaan serta ketinggi dirinya. 

Perkara inilah yang merisaukan kaum Quraisy. Sehingga mereka menyeru kepada pemikiran yang waras bagi mengeluarkan diri mereka daripada kesempitan ini tanpa masuk dalam perkara larangan yang tidak dipuji pelakunya. 

 Lalu mereka mendapat idea untuk menggunakan kaedah al-Mufāwaḍah (perbincangan bagi mendapatkan persetujuan) daripada al-Mas’ul al-Akbār: Abu Tālib. Tetapi bersama-sama dengan hikmah dan kesungguhna yang tinggi, serta cara ancaman halus sehinga dia akur dengan kata-kata mereka.

Utusan Quraisy kepada Abu Tālib

Ibn Ishaq berkata: Para lelaki daripada tokoh-tokoh Quraisy bertemu Abu Tālib. Mereka berkata:

يَا أَبَا طَالِبٍ إنّ ابْنَ أَخِيك قَدْ سَبّ آلِهَتَنَا، وَعَابَ دِينَنَا، وَسَفّهَ أَحْلَامَنَا، وَضَلّلَ آبَاءَنَا، فَإِمّا أَنْ تَكُفّهُ عَنّا، وَإِمّا أَنْ تُخَلّيَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُ فَإِنّك عَلَى مِثْلِ مَا نَحْنُ عَلَيْهِ مِنْ خِلَافِهِ فَنَكْفِيكَهُ

Wahai Abu Tālib! Sesungguhnya anak saudaramu telah mencaci tuhan-tuhan kami. Memalukan agama kami. Mencaci mimpi-mimpi kami. Menyesatkan nenek moyang kami. Sama ada engkau menyimpannya atau engkau menghilangkannya daripada kami. Engkau adalah wakil kami kepadanya, maka kami biarkan dia kepadamu. 

Lalu Abu Tālib menjawab kepada mereka dengan jawapan yang lembut serta indah. Lalu mereka beradar daripadanya. Abu Talib tetap membiarkan Rasulullah menampakkan agama Allah dan menyeru kepadanya.  

Para Quraisy tidak bersabar lama sehinggalah mereka melihat Rasulullah terus kerja dan menyebarkan dakwah kepada Allah. Quraisy banyak menyebutkan tentang Nabi dan mahu baginda dicegah sehingga mereka memutuskan untuk bertemu Abu Tālib dengan cara yang lebih teruk daripada sebelumnya. 

Quraisy Mengancam Abu Tālib

Maka datanglah para pembesar Quraisy menemui Abu Talib. Mereka berkata padanya, “Hai Abu Talib, kamu termasuk saudara kami juga orang yang terhormat dan memiliki kedudukan di tengah-tengah kami. Kami telah memintamu untuk melarang anak saudaramu daripada mendakwahi kami tetapi kamu tidak mahu melarangnya. Demi Allah, kami tidak boleh terus-menerus bersabar atas tindakannya yang mencaci datuk moyang kami, membodoh-bodohkan imaginasi kami serta menghina Tuhan-tuhan kami. Sebaiknya, kamu hentikan dia daripada mendakwahi kami. Jika tidak, kami akan memeranginya dan dirimu sekali sehingga salah satu pihak antara kita binasa.”

Peringatan dan ancaman yang keras ini cukup menggentarkan Abu Talib. Maka, dia bangkit menemui Rasulullah s.a.w. lalu berkata padanya, “Hai anak saudaraku, sesungguhnya kaummu telah datang kepadaku dan mereka berkata begini dan begini. Maka selamatkanlah aku dan dirimu sendiri. Jangan kau bebankan kepadaku apa yang tidak sanggup kupikul daripada urusan ini.”

Mendengar bapa saudaranya berkata begitu, Rasulullah s.a.w. menganggap bahawa bapa saudaranya melepaskan perlindungan terhadapnya kerana tidak lagi mampu untuk membelanya. Maka baginda berkata, “Duhai bapa saudaraku, demi Allah, walaupun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan urusan ini, maka aku tidak akan akan meninggalkannya sehingga Allah memenangkan atau aku binasa di dalamnya.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. menangis lalu berdiri. Ketika baginda membalikkan tubuh untuk pergi, Abu Talib memanggilnya. Baginda pun menghadapkan kembali tubuhnya ke wajah Abu Talib. Abu Talib lantas berkata padanya, “Pergilah, anak saudaraku. Bercakaplah sesuka hatimu. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkanmu kepada sesiapa untuk selamanya.” 

Kemudian Abu Talib mendendangkan nasyid:

Demi Allah, mereka semua tidak akan dapat menyentuhmu
Hingga nanti aku dibaringkan di liang lahad, terkubur kaku
Perlihatkanlah urusanmu dan jangan pernah ragu
Bersenang dan bergembiralah dengannya 

Orang Quraisy Menemui Abu Talib Sekali Lagi

Melihat Rasulullah s.a.w. tetap menyampaikan dakwah secara terbuka, orang Quraisy mengetahui bahawa Abu Talib tidak mahu melepaskan perlindungannya terhadap Rasulullah s.a.w. serta memutuskan untuk memusuhi mereka dalam hal itu. Maka, mereka datang lagi kepadanya dengan membawa Imarah bin Walid bin Mughirah.

Mereka berkata kepadanya, “Hai Abu Talib, anak ini adalah seorang pemuda yang paling gagah dan paling tampan di kalangan Quraisy, maka ambillah dia. Kamu boleh mengambil manfaat daripada bantuan fikiran dan tenaganya. Angkatlah dia menjadi anakmu, maka dia akan menjadi milikmu. Serahkanlah kepada kami anak saudaramu yang telah menyelisihi agamamu dan agama nenek moyangmu, memisahkan diri daripada kaummu serta membodoh-bodohkan imaginasi mereka. Kami akan membunuhnya. Jadi, kita tukar seorang lelaki dengan seorang lelaki.”

Abu Talib menjawab, “Demi Allah, sungguh buruk apa yang kamu tawarkan kepadaku. Bagaimana mungkin kamu menyerahkan anak kamu kepadaku untuk kuberi makan, sementara aku menyerahkan anakku kepada kamu untuk kamu bunuh? Demi Allah, ini tidak akan terjadi.”

Mendengar jawapan Abu Talib, Muth‘im bin Ady bin Naufal bin Abd Manaf berkata, “Demi Allah, hai Abu Talib, kaummu telah melayanmu secara adil. Mereka telah berusaha melepaskanmu daripada apa yang tidak kamu suka. Sekarang aku melihat kamu tidak mahu menerima sedikit pun tawaran mereka.”
Abu Talib menjawab, “Demi Allah, mereka tidak adil kepadaku. Bahkan engkau juga memutuskan untuk melepaskan pembelaanmu terhadapku, kemudian membantu kaum itu untuk melawanku. Sudahlah, lakukanlah apa-apa saja yang kamu mahu.” 

Apabila rundingan tersebut gagal, serta mereka tidak berjaya mendapatkan persetujuan Abu Talib untuk menghalang dakwah Rasulullah SAW, mereka memutuskan untuk mengambil jalan lain iaitu dengan memusuhi diri Rasulullah SAW sendiri.