Header Ads

test

Ulasan Kitab Al-Luma`: Hadis 16-20

Hadis 16: Solat Tahiyyatul Masjid

Dikeluarkan oleh Al-Bukhari dan Muslim[1] dari Abu Qatadah r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ المَسْجِدَ، فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

“Jika seseorang daripada kamu masuk ke masjid, maka janganlah dia duduk melainkan setelah selesai solat dua rakaat”.

Sebab Hadis ini Dilafazkan:

Direkodkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dan Muslim[2] daripada Jabir bin Abdullah r.a bahawasanya suatu hari Salik[3] datang dan ketika itu Nabi s.a.w sedang berkhutbah dan beliau terus duduk. Maka Nabi s.a.w memerintahkan beliau untuk solat dua rakaat, kemudian Nabi s.a.w menghadap para jemaah seraya bersabda: “Jika seseorang dari kamu datang sedang imam berkhutbah, maka solatlah dua rakaat dengan diringankan solat tersebut”.

Direkodkan oleh Ahmad, Al Bukhari dan Muslim[4] dari Abu Qatadah r.a, beliau berkata: “Aku masuk ke masjid dan ketika itu Rasulullah s.a.w duduk di antara para jemaah maka aku terus duduk, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Apa yang menghalang engkau daripada melaksanakan solat dua rakaat (sebelum engkau duduk)? Abu Qatadah berkata[5]: Aku menjawab: Aku melihat engkau duduk wahai Rasulullah bersama para jemaah yang lain. Maka Baginda s.a.w bersabda: Jika seseorang daripada kamu masuk ke masjid maka janganlah dia duduk sebelum dia solat dua rakaat”.

Ulasan:

Fath al-Allām syarah Bulughul Marām menyatakan bahawa hadis induk di atas secara zahirnya menunjukkan bahawa wajib solat tahiyyatul masjid. Namun para jumhur ulama menyatakan bahawa ia sunnah, namun pandangan pertama adalah lebih didahulukan.[6]

Ibn Hibban berpandangan bahawa solat tahiyatul masjid tidak luput dengan duduk kerana hadis-hadis seperti hadis sebab di atas menunjukkan bahawa Sulaik al-Ghaṭfān telah pun duduk tetapi Rasulullah memerintahkan beliau bangun untuk solat tahiyyatul masjid.

Apabila seseorang masuk ke masjid, perkara pertama yang perlu dia lakukan ialah solat dua rakaat sebelum menegur orang dalam masjid atau melakukan apa-apa perbuatan.

Wallahua`lam.

Hadis 17: Solatlah di Rumah Sendiri

Direkodkan oleh Al Bukhari[7] dan Muslim daripada Zaid bin Thabit bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

صَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ، فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ

“Solatlah wahai manusia di rumah-rumah kalian, sesungguhnya sebaik-baik solat[8] ialah solat seseorang itu di rumahnya sendiri kecuali solat yang fardhu[9]”.

Sebab Hadis Ini Dilafazkan:

Direkodkan oleh Ahmad, Al Bukhari dan Muslim[10] daripada Zaid bin Thabit r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w mempunyai bilik di dalam masjid yang diperbuat daripada tikar. Rasulullah s.a.w bersolat di tempat tersebut beberapa malam sehingga manusia berkumpul (dan bersolat mengikut Rasullullah s.a.w) sehingga pada satu malam tidak kedengaran lagi suara Baginda s.a.w. Maka mereka menyangka bahawa Rasulullah s.a.w telah tidur. Sebahagian daripada mereka berdehem[11] dengan harapan supaya Rasulullah s.a.w keluar bertemu mereka. Lalu Rasulullah s.a.w berkata kepada mereka: “Kalian kekal berbuat seperti yang aku lihat ini sehingga aku bimbang ianya akan diwajibkan ke atas kamu. Jika diwajibkan nescaya kamu tidak (mampu) melakukannya. Maka solatlah di rumah-rumah kalian, sesungguhnya sebaik-baik solat seseorang itu di rumahnya sendiri kecuali yang fardhu”.

Ulasan:

Imam al-Nawawi menyatakan di dalam Syarah Sahih Muslim bahawa hadis induk di atas berbentuk umum, berlaku di dalam semua jenis solat sunat rawatib ataupun solat sunat mutlaq kecuali solat sunat yang merupakan syiar Islam seperti solat sunat hari raya, khusuf, istisqa’ dan juga tarawih. Menurut pendapat yang paling sahih, kesemua solat itu disyariatkan agar dilakukan di masjid manakala istisqa’ di tanah lapang.

Rasulullaah SAW juga bersabda:

«إِذَا قَضَى أَحَدُكُمُ الصَّلَاةَ فِي مَسْجِدِهِ، فَلْيَجْعَلْ لِبَيْتِهِ نَصِيبًا مِنْ صَلَاتِهِ، فَإِنَّ اللهَ جَاعِلٌ فِي بَيْتِهِ مِنْ صَلَاتِهِ خَيْرًا»

Apabila kamu telah solat di masjid, maka jadikan rumah sebagai bahagiannya daripada solat (sunat). Kerana Allah memberikan kebaikan daripada solatnya di rumah.

(HR Muslim: 778)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Rasulullah menunaikan solat di rumah kerana solat di rumah lebih tersembunyi dan jauh daripada sifat riyak. Ia juga lebih terjaga daripada segala factor penghapus amal serta untuk mencari keberkatan rumah melalui perantaraan solat. Solat dirumah juga dapat memancing malaikat serta mengusir syaitan sepertimana yang disebutkan di dalam hadis-hadis lain.

WallahuA`lam.

Hadis 18: Lambatkan Solat Zohor

Direkodkan oleh Al Bukhari dan Muslim[12] daripada Ibnu Umar r.a, beliau berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda:

إِذَا اشْتَدَّ الحَرُّ فَأَبْرِدُوا عَنِ الصَّلاَةِ، فَإِنَّ شِدَّةَ الحَرِّ مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ

“Jika menjadi bersangatan panas, maka sejukkanlah (dengan menunggu waktu redup untuk solat), sesungguhnya panas yang bersangatan itu merupakan sebahagian luapan neraka jahannam”

Sebab Hadis Ini Dilafazkan

Direkodkan olah Ahmad[13] daripada Al Mughirah bin Syu’bah, beliau berkata: “Suatu hari kami bersolat Zohor bersama Rasulullah s.a.w ketika pertengahan hari yang sangat panas, maka Rasulullah s.a.w berkata kepada kami: “Sejukkanlah (dengan menunggu waktu redup) untuk solat, sesungguhnya panas yang bersangatan merupakan sebahagian bahang luapan neraka jahannam”.

Ulasan:

Di dalam Fath al-`Allām syarah Bulughul Marām disebutkan bahawa hikmah daripada melewatkan waktu zohor apabila terlalu panas adalah bertujuan memastikan khusyuk terjaga. Panas akan membuatkan hilang khusyuk sedangkan ia adalah roh solat dan perkara besar yang amat dituntut.[14]

Para ulama berbeza pendapat pada hokum melewatkan zohor sehingga redup ketika hari panas terik berdasarkan hadis yang dinyatakan di atas. Sebahagian mereka menyatakan bahawa wajib melewatkannya kerana itulah yang diarahkan apabila panas terik. Sebahagian pendapat lain pula hanya menyatakan ia sekadar galakkan sahaja (istihbāb). Demikian itulah pendapat jumhur ulama semada dilakukan solat itu secara bersendirian, Jemaah, di negeri yang memang panas atau selainnya. 

Sebahagian pendapat lain pula menyatakan bahawa melewatkan sehingga redup itu sunna sahaja, menyegerakan solat itu adalah lebih baik (afḍal) kerana keumuman hadis menyegerakan solat. Namun pendapat berkenaan tidak kukuh kerana kisah yang menjadi sebab hadis ini dilafazkan menunjukkan bahawa perkara umum telah dikhususkan. Asalnya solat hendaklah disegerakan, tetapi apabila dating waktu yang panas terik, maka ia dilewatkan.

Ibn al-Arabi al-Maliki menyatakan bahawa penetapa berkenaan hanya berlaku kepada waktu panas terik sahaja. Tetapi bagi keaadaan sejuk pula tiada sebarang penetapan.

Jika dilihat di kawasan Asia kita, jarang berlaku panas terik. Tetapi keadaan panas yang berlaku sejak akhir-akhir ini membolehkan kita beramal dengan hadis ini. Khususnya bagi kawasan-kawasan solat yang tiada kemudahan penyaman udara.

WallahuA`lam.

Hadis 19: Kelebihan Saf Pertama

Direkodkan Oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Al Hakim[15] daripada Al Barra’ bin Azib bahawasanya Nabi s.a.w bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصَّفِّ الْأَوَّلِ

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang berada di saf pertama”.

Sebab Hadis Ini Dilafazkan

Direkodkan oleh Ibnu Abi Syaibah daripada Mujahid, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w melihat terdapat kelemahan di dalam saf yang pertama, lantas Baginda s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat ke atas saf-saf yang pertama. Maka para jemaah bersesak-sesak untuknya”.

Ulasan:

Orang hari ini tidak mementingkan saf pertama. Mereka lebih mementingkan kawasan yang ada kipas dan penghawa dingin. Bukan kerana kejahilan terhadap hadis, tetapi keengganan mereka daripada mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

Semoga kita menjadi orang yang menegakkan sunnah Nabi SAW sehingga kita diampunkan dosa dan dikasihi Allah SWT. Sila rujuk surah Ali Imran, ayat 31.

Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا، وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

Sebaik-baik saf bagi lelaki (yang paling banyak pahala kerana ia adalah saf yang malaikat berselawat kepada pemilik saf berkenaan) ialah yang paling awal, manakala yang paling buruk (kurang pahala) ialah yang paling akhir. Sebaik-baik saf wanita ialah yang paling akhir, manakala yang paling buruk ialah yang paling awal.

(HR Muslim: 132)

Bagi orang lelaki, mereka hendaklah berusaha mendapatkan saf yang paling awal. Manakala wanita hendaklah mencari saf di belakang lelaki, itulah dimaksudkan dengan saf paling akhir. Namun, apabila wanita bersolat dengan Jemaah wanita, maka dia serupa dengan lelaki dalam bab saf.

 Hadis induk di atas juga menunjukkan galakkan imam memastikan saf tersusun baik sebelum memulakan solat. Imam bukan sekadar menyebutkan "Lurus dan rapatkan saf" tetapi dia melihat kepada jemaah dan memastikannya,

WallahuA`lam.


20. (Hadis Tasyahhud)[16]

20. Sebab Hadis Ini Dilafazkan [17]:

Direkodkan oleh At Tabrani dari Abdullah bin Abi (Aufa)[18], beliau berkata: “Orang-orang musyrik jika memasuki Makkah mereka berkata kepada Tuhan-tuhan mereka: “Hayyaitum Tibtum”, maka Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada NabiNya: “Kamu katakanlah: “At Tahiyyatu Lillah[19] Wa At Tayyibatu Lillah”.

---Nota Kaki ----

[1] Al Bukhari: Meriwayatkan di dalam kitab Masjid bab (Jika Seseorang Masuk Ke Masjid Maka Hendaklah Dia Solat Dua Rakaat), dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 1: m/s 120. Juga di dalam kitab Solat-Solat Sunat bab (Perbahasan Mengenai Solat Sunat Itu Dua Rakaat-Dua Rakaat), dengan lafaz yang sama. Jilid 2:m/s 70. Muslim: Di dalam kitab Solat bab (Sunat Menghormati Masjid Dengan Dua Rakaat). Diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 365.

[2] Di dalam naskhah Andalus tidak tertulis perkataan Ahmad ini. Ahmad meriwayatkan dengan lafaz ini daripada Jabir r.a. Jilid 3: m/s 296. Al Bukhari: Di dalam kitab Jumaat bab (Jika Seorang Imam Melihat Seorang Lelaki Datang Sedang Dia Berkhutbah…), diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 15, di dalam bab (Sesiapa Yang Datang Sedang Imam Berkhutbah Maka Hendaklah Dia Solat Dua Rakaat Yang Ringan), diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 15. Juga di dalam kitab Solat Sunat bab (Perbahasan mengenai Solat Sunat itu Dua Rakaat-Dua Rakaat), diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 70. Muslim: Di dalam kitab Jumaat bab (Solat Tahiyyat Sedang Imam Berkhutbah). Diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 526.

[3] Salik Al Ghatfani.

[4] Di dalam naskhah Halab tidak tertulis (Al Bukhari dan Muslim). Ahmad: Aku berpegang dengan riwayat Ahmad dengan lafaz ini dari Abu Qatadah r.a. jilid 5: m/s 305. Al Bukhari: Di dalam kitab Solat Sunat bab (Perbahasan Mengenai Solat Sunat Itu Dua Rakaat-Dua Rakaat), diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 70. Muslim: Di dalam kitab Solat bab (Sunat Menghormati Masjid dengan Solat Dua Rakaat…), diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2, m/s: 366.

[5] Ini berdasarkan riwayat Ahmad, di dalam naskhah Halab tidak tertulis lafaz (Qala) ini. Di dalam naskhah-naskhah lain pula tidak tertulis lafaz (Qabla An Tajlisa Qala).

[6] Jilid 1, halaman 363.

[7] Al Bukhari: Meriwayatkan di dalam kitab Solat Berjemaah bab (Solat Malam) dengan lafaz ini. Jilid 1: m/s 186. Ini ialah riwayat dari Imam Al Bukhari: Dari Zaid bin Thabit bahawasanya Rasulullah s.a.w pernah membuat bilik daripada tikar di dalam bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w bersolat di dalamnya pada malam-malam hari, maka para sahabat ketika itu ikut solat bersama Rasulullah s.a.w. Apabila Rasulullah s.a.w mengetahui perkara tersebut maka Baginda s.a.w berhenti, keluar menemui mereka seraya bersabda: “ Aku ketahui daripada apa yang aku lihat daripada perbuatan kamu, maka solatlah wahai manusia di rumah-rumah kamu sesungguhnya sebaik-baik solat seseorang itu dirumahnya sendiri kecuali solat yang fardhu. Di dalam kitab Adab, bab (Perkara Yang Diharuskan Untuk Marah Dan Bersifat Keras Kerana Allah), diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 8: m/s 34. Di dalam kitab Al I’tisam (penjagaan), bab (Makruh Memperbanyakkan Soalan Sehingga Diwajibkan Dengan Perkara Yang Tidak Mampu), diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 9: m/s 119. Muslim: Meriwayatkan di dalam kitab Solat  bab (Disunatkan Untuk Solat Sunat Di Rumah Dan Diharuskan Untuk Dilakukan Di Masjid), diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 437.

[8] Di dalam naskhah Halab tidak tertulis perkataan (Afdhal), dan di dalam naskhah Az Zahiriyyah yang kedua tidak tertulis perkataan (Solah)

[9] Al Maktubah: Al Mafrudhah (Yang wajib).

[10] Ahmad: Meriwayatkan dengan lafaz yang sama dari Zaid bin Thabit r.a. Jilid 5: m/s 182. Di akhir hadis tertulis (Illa As Solah Al Maktubah). Bukhari: Di dalam kitab solat berjemaah bab ( Solat Malam), diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 1: m/s 186. Di dalam kitab Adab bab (Perkara Yang Diharuskan Untuk Marah Dan Bersifat Keras Kerana Allah), diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 8: m/s 34. Di dalam kitab Al I’tisam (penjagaan) bab (Makruh Memperbanyakkan Soalan Yang Sehingga Diwajibkan Dengan Perkara Yang Tidak Mampu), diriwayatkan dengan lafaz yang sama. Jilid 9: m/s 119. Muslim: Di dalam kitab Solat bab (Disunatkan Untuk Solat Sunat Di Rumah Dan Diharuskan Untuk Dilakukan Di Masjid). Diriwayatkan dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 2: m/s 438.`

[11] Yatanahnah (Berdehem): Berulang-ulang suara di dalam mulut dan tekak. Ianya lebih ringan daripada suara batuk.

[12] Bukhari: Meriwayatkan di dalam kitab Waktu-Waktu Solat Bab (Menunggu Waktu Redup Untuk Zohor Ketika Panas Yang Bersangatan), dengan lafaz yang sama. Jilid 1: m/s 142. Muslim: Di dalam kitab Solat bab (Sunat Menunggu Waktu Redup  Untuk Zohor Ketika Bersangatan…), dengan lafaz yang sama daripada Abu Hurairah r.a, Jilid 2: m/s 262.

[13] Ahmad: Meriwayatkan dengan lafaz yang sama dari Al Mughirah. Jilid 4: m/s 250.

[14] Jilid 1, halaman 253.

[15] Abu Daud: Meriwayatkan di dalam kitab Solat bab (Siapa Yang Disunatkan Duduk Dibelakang Imam Dan Makruh Menjauhi Imam), dengan makna seumpama lafaz ini. Jilid 1: m/s 181 hadis ke 676. Ibnu Majah: Di dalam kitab Mendirikan Solat Dan Sunnah di dalamnya ada bab (Kelebihan Saf Hadapan), diriwayatkan dengan lafaz yang sama, di dalam Az Zawaid sanadnya sahih. Perawi-perawinya Thiqah. Jilid 1: m/s 319 hadis ke 999.

[16] (Ahadis At Tasyahud): Penambahan yang terdapat di dalam naskhah Kaherah, Az Zahiriyyah yang kedua dan Andalus. Akan tetapi tidak disebut oleh As Sayuti sebarang hadis.

[17] Di dalam naskhah Kaherah: Tertulis (Sabab) shj kemudian tidak tertulis dua baris. Di dalam naskhah naskhah Az Zahiriyyah yang kedua di dalam notakaki tertulis (Sabab Tasyahud). Di dalam naskhah Andalus pula: tidak tertulis perkataan (Sabab) kemudian tidak tertulis juga 4 baris yang selepasnya.

[18] Perkataan (Aufa) ialah penambahan di dalam naskhah Kaherah, Az Zahiriyyah yang kedua dan Andalus.

[19] Di dalam naskhah Az Zahiriyyah kedua tertulis (At Tahiyyatu Wa At Tayyibatu Lillah).
At Tahiyyat: Kata jamak bagi perkataan At Tahiyyah maksudnya ialah kesejahteraan. Ia juga bermaksud Hayakallah, Abqakallah atau Mallakallah (Semoga Allah memanjangkan umurmu, mengasihani kamu).

Dikeluarkan oleh Al Bukhari: Lafaz ini di dalam riwayat Al Bukhari. Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, beliau berkata: “Kami pernah menyebut di dalam solat kami: Assalamu Ala Allah As Salamu Ala Fulan, suatu hari Nabi s.a.w bersabda kepada kami: Sesungguhnya Allah itulah kesejahteraan, apabila kalian duduk di dalam solat, katakanlah: At Tahiyyatu Lillah hingga As Salihin, apabila mereka menyebutnya maka seluruh hamba Allah di langit akan memperolehi kebaikan Asyhadu An La Ilaha Illah Wa Asyhadu Anna Muhammad Abduhu Wa Rasuluh, kemudian Allah akan memilih mana-mana pujian yang dia sukai” (Kitab doa-doa, bab Doa Di Dalam Solat, jilid 8: 89).

No comments

Powered by Blogger.