Header Ads

Book an appointment with SetMore

Terjemahan Al-Wajiz fi Usul Fiqh: Dalil Ketiga – Al-Ijmā` (Kesepakatan/konsensus)

Definasi al-Ijmā`

Al-Ijmā` daripada sudut bahasa Arab membawa maksud keazaman terhadap sesuatu; disebutkan:

أجمع فلان على الأمر

Si fulan telah berijma` untuk melakukan suatu perkara.

Maksud ijmak dalam ayat berkenaan ialah keazaman melakukannya. Demikian juga firman Allah:

فَأَجْمِعُوا أَمْرَكُمْ وَشُرَكَاءَكُمْ

… oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu…

(Yūnus: 71)[1]

Iaitu mereka berazam.

Ia juga boleh dimaksudkan dengan makna Ittifāq (Kesepakatan). Orang Arab menyebutkan:

أجمع القوم على كذا

Satu kaum telah berijmak terhadap sesuatu ini.

Maksudnya ialah mereka telah bersepakat tentangnya.

Daripada sudut istilah yang digunakan ulama Usul Fiqh pula, al-Ijmā` ialah:

اتفاق المجتهدين من أمة محمد صلى الله عليه وسلم بعد وفاته في عصر من العصور على حكم الشرعي

Kesepakatan para ulama mujtahid[2] daripada kalangan umat Muhammad SAW setelah kewafatan baginda pada setiap zaman terhadap hukum syarak.

Ertinya; Al-Ijmā` hendaklah satu kesepakatan terhadap beberapa perkara dan ia mesti disandar kepada ulama mujtahid yang telah lengkap keahlian dalam ijtihad. Ijmak tidak disandarkan kepada orang awam atau sesiapa yang tidak mempunyai kepakaran di dalam menentukan aplikasi (Istinbāṭ) hukum syarak.

Kesepakatan berkenaan juga mesti daripada keseluruhan  ulama mujtahid. Tidak disebut ijmak apabila ia hanya kesepakatan kebanyakan ulama sahaja atau ia hanya kesepakatan penduduk madinah sahaja, penduduk al-Haramain (Mekah dan Madinah) sahaja, penduduk al-Misrain (Basrah dan Kūfah) sahaja, Syaikhain (Abu Bakar dan Umar) sahaja, empat Al-Khulafā’ al-Rāsyidin sahaja, atau ahli bait (Ali, Fāṭimah, serta anak kedua-duanya iaitu al-Hasan dan al-Husain) sahaja.

Demikian juga Ijmak tersebut hanya terpakai disandarkan kepada para ulama Mujtahidin dalam kalangan umat Muhammad SAW sahaja. Maka tidak disandarkan ijmak syarie kepada para ahli agama-agama yang lain kerana pengkhususan ijmak hanya kepada umat Nabi Muhammad yang mempunyai perlindungan daripada kesalahan.

Ijmak juga tidak diikat pada ketika Nabi SAW masih hidup. Kerana apabila Nabi SAW mengakui sesuatu hukum yang dipercayai orang ramai, maka hukum itu disandar kepada al-Sunnah bukan kepada al-Ijmā`, sekiranya Nabi menyelisihi mereka maka kesepakatan itu terurai.

Al-Ijmā` juga hanya kepada hukum syarak sahaja seperti Wajib, Haram, Sah, dan Rosak (Al-Fasād). Tidak dianggap ijmak pada isu bahasa Arab seperti kesepakatan al-Fā` menunjukkan al-Ta`qīb (Ulasan), atau isu akal seperti fenomena alam, atau isu keduniaan seperti pandangan, peperangan, pengurusan kepimpinan dan seumpamanya yang berkaitan hal uruf dan adat yang tidak bersangkut dengan perbuatan mukallaf.

RUKUN IJMĀ` DAN SYARATNYA:

Ijmā` tidak mempunyai rukun lain melainkan satu sahaja iaitu kesepakatan para Mujtahid. Apa-apa yang tidak mendapat kesepakatan diantara mereka maka tidak diikat dengan al-Ijmā`.

Syarat ijmak ada 6, iaitu:

1. Para mujtahid itu hendaklah terdiri daripada beberapa orang.

Tidak menjadi Ijmak sekiranya hanya seorang mujtahid sahaja yang menyatakannya kerana makna kesepkatan itu tidak sampai melainkan dengan kewujudan beberapa orang ulama lain. Sekiranya tidak ada mujtahid yang menyebutkannya melainkan seorang atau dua orang sahaja maka ia tidak diikat dengan Ijmak dalam maksud syarak.

2. Hendaklah berlaku kepakatan daripada semua Mujtahid terhadap hukum syarak berkenaan.

Sekiranya ramai para mujtahid yang berpandangan seperti itu tetapi bukan keseluruhannya, maka ia tidak diikat dengan Ijmā`. Demikian juga jika sedikit ulama yang berpandangan beza dan ramai bersepakat, kerana Ijmak hendaklah kesepakatan daripada semua mujtahid di dalam negara Islami. Demikian juga tidak menjadi ijmak daripada orang yang bukan Mujtahid.

3- Ijmak tersebut meliputi semua Mujtahid umat Islam ketika itu.

Ia meliputi keseluruhan negara Islami. Tidak diikat Ijmak sekiranya ia hanya kesepakatan di negara tertentu seperti di Hijjaz, Haramain, Mesir dan Iraq sahaja. Demikian juga sekiranya hanya Ahli Bait sahaja atau Ahli Sunnah sahaja bersepakat tetapi Syiah tidak.

4- Kesepakatan berkenaan ditunjukkan oleh setiap Mujtahid secara jelas sama ada dengan cara percakapan, perbuatan, ketika bersendirian atau bersama-sama.

5- Berlaku kesepakatan dalam kalangan ahli Ijtihad yang bersifat al-Adālah dan menjauhi al-Bid`ah kerana dalil-dalil menunjukkan kepada kehujahan Ijmak menunjukkan kepadanya.

Al-Adalah menurut jumhur diperlukan kerana Hukum Ijmak bersifat mulzim (wajib dilaksanakan), maka ia hendaklah sabit daripada jalan Ahli al-Syahādah. Keahlian al-Syhādah pula mewujudkan sifat al-Adālah, sepertimana yang disebutkan di dalam al-Quran:

وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِنْكُمْ

… Ambillah penyaksian daripada kalangan orang yang adil daripada kamu…

(Al-Ṭalāq: 2)

Daripada sudut menjauhi Bidaah pula, sekiranya Bidaah itu ialah Bidaah Mukaffarah, maka pelakunya bukan lagi seorang Islam. Sekiranya Bidaah itu Ghāir Mukaffarah dan mengajak orang kepada melakukannya maka jatuh sifat al-Adalah daripadanya kepada ketaksuban kepada kebatilan tanpa dalil yang boleh disandarkan. Tidak guna pakai pendapatnya di dalam Ijmak, justeru itu tidak disandarkan Ijmak pada isu Khilaf al-Rāfiḍah pada hal kepimpinan al-Syaikhāin (Abu Bakar dan Umar), demikian juga isu khilaf al-Khāwarij pada kepimpinan Ali Karamallah wajahah.

6- Para ulama yang berijmak itu hendaklah bersandar dengan sandaran syarie sama ada daripada nas ataupun Qiyās; kerana fatwa tanpa sebarang sandaran adalah satu kesalahan, demikian juga ia adalah berpandanga terhadap agama dalam keadaan tanpa sandaran ilmu. Ia dilarang oleh Allah melalui firman-Nya:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ

36. dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; …

(Al-Isrā’: 36)

Para ulama yang bersepakat itu masih tidak bebas menggunakan akal semata-mata di dalam menentapkan hukuman syarak.

Bersambung…







[1] (Nota Kuliah) Ayat ini secara lengkap seperti berikut: 71. dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! sekiranya kedudukan Aku Dalam kalangan kamu, dan peringatan Yang Aku berikan kepada kamu Dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa Yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah Aku berserah diri. oleh itu, Tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.
[2] (Nota Kuliah) Mujtahid adalah orang yang -dengan ilmunya yang tinggi dan lengkap- telah mampu menggali dan menyimpulkan hukum-hukum Islam dari sumber-sumbernya yang asli seperti Al Qur'an dan Hadits. Mujtahid inilah yang menjadi rujukan (marja') bagi orang awam dan kelompok muqallid.
Muqallid ialah: orang-orang awam yang belum atau tidak sampai kepada derajat ijtihad. Mereka ini diwajibkan bertaqlid kepada seorang mujtahid atau marja' yang telah memenuhi syarat. Pendeknya bahwa muqallid adalah orang yang ber-taqlid atau mengikuti seorang mujtahid

No comments

Powered by Blogger.